Thursday, June 20, 2013

CABARAN PERSEPSI BAGI GENERASI MUDA.

ANTARA cabaran penting yang perlu dihadapi oleh generasi muda disebutkan oleh Perdana Menteri di Jakarta ialah cabaran persepsi. Apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri itu banyak benarnya kerana bukan saja para pelajar, golongan profesional dan ahli akademik sebahagiannya percaya tetapi menganggap persepsi itu benar dan bertanggungjawab.

Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri di hadapan pelajar Malaysia di sana ialah persepsi membawa kepada pembohongan, maklumat yang tidak rasional dan data yang disebarkan ikut emosi semata-mata.

Kedatangan 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi adalah bukti jelas bahawa pembohongan berlaku dan orang boleh percaya. Amat sedih para pelajar yang sepatutnya sudah boleh berfikir, dan para profesional boleh membezakan benar dan salah. Sesetengah para akademik turut sama menyebarkan kenyataan palsu itu semata-mata atas sikap benci dan dendam kesumat yang melampau.

Berpegang kepada persepsi semata-mata tidak memadai. Presepi adalah tanggapan awal terhadap sesuatu. Benar atau salahnya persepsi itu bergantung kepada fakta dan data yang diterima.

Sesetengah bloggers yang mempunyai kepentingan tertentu tidak menghiraukan benar atau salah persepsi itu. Yang penting persepsi itu disensasikan dan dihebahkan seluas-luasnya supaya imej musuhnya menjadi rosak.

Apalagi kalau mengambil kaedah Islam. Al-Quran memberi pedoman mengenai datangnya berita dan maklumat daripada orang yang fasik sekalipun sila periksa akan benar salahnya berita itu.

Ajaran Islam sangat menjaga kebenaran sesuatu berita. Bayangkan ada warga bloggers yang tidak rasa berdosa akan apa yang disebarkan hanya berasaskan persepsi semata-mata tanpa ada usaha untuk melakukan kajian dan selidikan dan menggunakan akal-budi yang tinggi supaya tidak lahir fitnah yang menyebabkan dosa terjadi.

Tokoh pembangkang seperti Anwar Ibrahim sedang berhempas pulas menyatakan kepada dunia bahawa dia sepatutnya menjadi Perdana Menteri kerana undi popular memihak kepadanya.

Sejak bila Anwar menggunakan pendekatan undi popular sebagai ukuran kemenangan sedangkan sejak beliau dalam kerajaan dulu menang atau kalah sesuatu parti diukur dengan jumlah kerusi yang diterima. Takkan para pelajar, ahli akademik dan profesional tidak boleh menerima hakikat ini.

Anwar cuba menimbulkan provokasi di Malaysia. Sayangnya, kawan baiknya Recep Tayyip Erdogan di Turki sedang menghadapi badi tindakan Anwar di sini.

Di Turki penunjuk perasaan dihadapi dengan keras sehingga ada yang mati dan cedera. Pihak keselamatan di Malaysia tidak menghadapi demonstrasi sedemikian. Malangnya sehingga kini Anwar tidak mengutuk apa yang berlaku di Turki walaupun gas pemedih mata digunakan untuk menyurai pendemonstrasi.

Para pelajar Malaysia di luar negara yang mudah terpengaruh dengan budaya persepsi ini harus berfikir lebih matang dan dewasa. Sesetengah mereka beranggapan bahawa mereka dihantar keluar negara adalah suatu tanggungjawab kerajaan.

Indonesia menghantar ramai pelajarnya ke Malaysia. Apakah mereka sepenuhnya dibiaya. Nigeria menghantar ribuan pelajarnya di Malaysia. Apakah mereka sepenuhnya dibiaya. Thailand dan Singapura membenarkan pelajarnya belajar di Malaysia. Apakah mereka dibiaya. Jawabnya tidak.

Malaysia mampu menghantar pelajarnya keluar negara dan sebahagian besar pelajarnya dibiaya. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan kewangan menghantar mereka ke seluruh dunia.

Bahasa orang beradab dan beretika ialah terima kasih. Terima kasih harus membimbing para pelajar untuk mengkaji mengenai kedudukan ekonomi Malaysia, simpanan negara yang banyak, kadar kemiskinan yang semakin menurun, program menyantuni kelompok miskin yang semakin agresif, penubuhan institusi pendidikan dan kewangan Islam yang banyak adalah gambaran Malaysia yang maju dan makmur. Ia terjadi bukan kerana sumbangan pembangkang yang lebih banyak mengkritik daripada memberi pandangan membina.

Ada dua faktor yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional mampu bertahan dan UMNO sebagai tunggaknya. Pertama jejak rekod pencapaian BN menjadi bukti nyata bagaimana Malaysia melalui proses teransformasi.

Kedua, wujudnya resam kesinambungan (continuity) yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju, aman dan stabil. Malangnya politik penentangan semata-mata kerana dendam dan benci menyebabkan sesetengah para pelajar, ahli akademik dan golongan profesional tidak dapat memahami realiti pencapaian Malaysia lalu terpengaruh dengan persepsi luar yang didukung oleh fahaman hak asasi Barat yang tidak bertunjangkan agama dan etika Islami.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik