Friday, June 21, 2013

CARA ERDOGAN HADAPI DEMONSTRASI.

BERITA terbaharu yang disiarkan oleh agensi berita asing kelmarin menyebut Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan tidak menolak kemungkinan akan mengerahkan pihak tentera bagi menangani tunjuk perasaan di negara itu.

Tindakan tegas itu akan dibuat jika langkah memberi kuasa yang lebih kepada polis antirusuhan untuk menghentikan tunjuk perasaan yang semakin merebak tidak berjaya.

Sebelum ini, pihak berkuasa Turki telah menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan memukul penunjuk perasaan yang enggan bersurai daripada Dataran Taksim dan Taman Gezi di tengah Istanbul.

Bantahan itu dikatakan kerana menentang cadangan pihak pemerintah membina replika sebuah bangunan lama dan bersejarah yang pernah menjadi berek tentera kerajaan Uthmaniah satu masa lalu di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Erdogan menuduh alasan itu hanyalah helah pihak asing termasuk Amerika Syarikat (AS) dan parti pembangkang negara itu, Cumhuriyet Halk Partisi (CHP) yang berfahaman liberal dan pro-Mustafa Kemal Ataturk untuk mewujudkan Turki Spring bagi menumbangkan kerajaan.

Setakat ini, pihak polis telah menahan lebih 90 orang yang disyaki terlibat dalam bantahan antikerajaan sejak awal bulan ini atas dakwaan memusnahkan harta awam, menghasut dan menyerang polis.

Selain menggunakan kuasa polis, pihak pemerintah mengambil sikap berdiam diri apabila kumpulan prokerajaan menyerang penunjuk perasaan.

Apa yang berlaku di Turki itu mengimbau kita kepada situasi sama yang berlaku dalam negara apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan beberapa siri perhimpunan haram dan menggunakan media sosial bagi berkempen menjatuhkan kerajaan.

Cukup menarik untuk mengaitkan apa yang berlaku di Turki dengan situasi negara ini kerana Erdogan disebut-sebut sebagai kawan baik Anwar.

Dana daripada negara itu dikatakan telah mengalir masuk dengan banyaknya ke Malaysia bagi membiayai kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Anwar sebelum ini juga pernah mendakwa dirinya telah ditawar menjadi penasihat Erdogan dan Presiden Turki, Abdullah Gul.

Ketika Anwar menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu daripada kumpulan pro-Erdogan yang merupakan sahabat baiknya telah dilantik menjadi profesor di situ.

Tindakan tegas Erdogan dalam menghadapi penunjuk perasaan jelas membuktikan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kempen melalui media sosial dan kaedah menggunakan perhimpunan haram bagi menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara sah melalui pilihan raya.

Untuk rekod, parti pro-Islam, Adalet ve Kalkinma Partisi (AKP) yang diterajui Erdogan muncul sebagai pemenang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Turki pada 2002.

AKP juga berjaya mempertahankan kemenangan dalam PRU 2007 dan 2011 dan berkemungkinan besar akan bertanding semula pada PRU 2014/2015.

Bagi penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin (gambar), Anwar sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Turki yang jelas memberi isyarat bahawa kempen untuk menjatuhkan kerajaan yang sah melalui media sosial dan perhimpunan jalanan tidak boleh diterima oleh sesiapa pun termasuk Erdogan yang menjadi idola Anwar.

"Saya lihat tindakan yang diambil oleh Erdogan lebih keras berbanding kerajaan Malaysia yang saya lihat masih berlembut termasuk membenarkan perhimpunan diadakan secara aman dalam stadium.

"Ada laporan menyebut Turki menjadi antara negara tertinggi yang memenjarakan para wartawan, malahan Erdogan dilaporkan tidak toleran terhadap media-media yang mengkritiknya.

"Sikap lebih lembut oleh kerajaan Malaysia seharusnya disambut baik oleh Anwar dengan beralih menggunakan saluran sah untuk membentuk kerajaan.

"Beliau boleh tunggu pilihan raya akan datang atau membuat petisyen di mahkamah bagi mencabar keputusan PRU-13," katanya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam pada itu, Mohd. Roslan melahirkan kebimbangan jika pihak pembangkang berjaya mengguling kerajaan melalui demonstrasi besar-besaran kerana ia akan mewujudkan suasana politik yang kacau-bilau.

"Tidak mustahil pihak yang telah digulingkan akan menggunakan kaedah sama untuk menjatuhkan kembali kerajaan baharu yang diterajui Anwar dan ini adalah satu trend yang berbahaya.

"Bayangkan apa yang akan berlaku kepada ekonomi negara jika perhimpunan demi perhimpunan diadakan.

"Sudah pasti pihak pelabur akan memilih negara lain yang lebih aman dan stabil politiknya dan adakah ini yang dimahukan oleh Anwar," ujarnya.

Tambah beliau, hujah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bahawa mustahil untuk menukar kerajaan melalui peti undi kerana penipuan oleh Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh diterima.

"Walaupun kerajaan Malaysia masih di bawah BN, kuasa undi rakyat adalah kuat dan penipuan secara besar-besaran seperti didakwa pembangkang sebenarnya sengaja diada-adakan.

"Lihatlah kerajaan Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor tetap berada di tangan pembangkang. Jadi, jelaslah kuasa rakyat memang kuat," katanya.

Jika Erdogan bertekad mempertahankan kedudukannya, maka rakyat yang percaya kepada keluhuran undang-undang sudah pasti mahukan kerajaan yang dipilih secara sah tidak ditumbangkan melalui kaedah tidak bertamadun.

Kepada penyokong Anwar yang bersungguh-sungguh untuk menghadiri perhimpunan pembangkang pada Sabtu ini, fikirlah secara mendalam adakah anda mahu negara yang akan diwarisi kepada anak cucu kita berada dalam kacau-bilau.

By: Nizar Yatim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik