Thursday, June 6, 2013

CHINA PERLU LEBIH BERSIFAT TERBUKA.

By: Azmi Hassan.

TIDAK dapat dinafikan isu pertindihan sempadan maritim Laut China Selatan yang melibatkan kedaulatan beberapa negara ASEAN merupakan satu masalah yang agak genting dan jika tidak ditangani dengan sempurna ia mampu mencetuskan konflik bersenjata.

Masalah pertindihan sempadan ini menjadi lebih rumit apabila ia turut melibatkan dua kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat (AS). Beijing terlibat secara langsung kerana ia merupakan salah satu negara luar ASEAN yang mendakwa sebahagian besar kawasan Laut China Selatan adalah milik mereka.

Manakala AS pula terpaksa turut terlibat secara tidak langsung kerana menurut Washington untuk memastikan laluan perkapalan kawasan tuntutan bertindih itu bebas daripada sebarang ancaman. Masalah menjadi bertambah rumit apabila negara ASEAN yang terlibat membuat percaturan sama ada memihak kepada Washington atau Beijing dalam mencari penyelesaian kemelut ini.

Washington dan Beijing saling tidak mempercayai antara satu sama lain dengan membuat tuduhan wujudnya agenda tersirat daripada perlakuan tersurat kedua-dua kuasa besar tersebut. Beijing umpamanya sering menuduh Washington cuba mengekang kebangkitan China di rantau Asia Pasifik apabila Presiden Barack Obama memperkenalkan strategi pengimbangan kuasa yang lebih memberi perhatian terhadap rantau Asia berbanding dengan Eropah sebelum ini.

Sementara Washington pula sering merasa sangsi terhadap niat sebenar China dengan agenda permodenan angkatan tentera mereka kerana Beijing dipercayai menyembunyikan jumlah sebenar perbelanjaan pertahanan tahunan mereka daripada diketahui masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis makan malam Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-27 beberapa hari lepas berpendapat Laut China Selatan sepatutnya menjadi pemangkin kepada penyatuan bukan sahaja dalam kalangan ASEAN tetapi juga kuasa besar yang terlibat.

Tetapi sifat curiga-mencurigai yang sudah sekian lama wujud antara dua kuasa besar ini telah menjerumus kepada keadaan yang agak mustahil untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai titik persefahaman, malah berkemungkinan isu sebaliknya akan tercetus.

Ketika era Perang Dingin antara AS dan Soviet Union beberapa dekad yang lepas, situasi yang serupa wujud kerana kedua-dua kuasa besar ini saling mempamerkan pendirian syak dan prasangka antara satu sama lain. Senario sebegini wujud kerana tidak ada perbincangan secara terbuka mengenai dasar pertahanan yang diamalkan dan akibatnya ialah masing-masing membuat tafsiran mengikut acuan sendiri.

Krisis Peluru Berpandu Cuba umpamanya yang tercetus pada tahun 1962 antara Soviet Union dan AS yang hampir menjerumus kepada perang nuklear adalah kerana timbul salah faham antara kuasa besar tersebut.

Pada era Perang Dingin perbincangan secara bersemuka mengenai dasar pertahanan kedua-dua kuasa besar itu tidak berlaku dan amat berbeza dengan suasana hubungan diplomatik AS dan Rusia yang lebih terbuka hari ini.

Kesangsian AS ataupun ASEAN terhadap niat sebenar China mengenai dasar Laut China Selatan ada dalilnya kerana Beijing tidak begitu terbuka mahu membincangkan dasar mereka. Era sebelum 1990-an menyaksikan bagaimana China menyisihkan diri daripada arus masyarakat antarabangsa di mana penglibatan Beijing dalam forum antarabangsa jarang berlaku.

Walaupun situasi hari ini jauh berbeza berbanding dua dekad lepas di mana Beijing banyak turut serta dalam perbincangan umpamanya dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN + 3, Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus dan juga Forum Serantau ASEAN (ARF), keterbukaan Beijing terutama sekali yang melibatkan pengamalan diplomasi pertahanan begitu dicurigai.

Umpamanya penerimaan Beijing terhadap Kod Tatacara Laut China Selatan masih belum dapat ditentukan secara sahih. Begitu juga dengan pengisytiharan bandar Sansha sebagai pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang dituntut menimbulkan banyak pertanyaan mengenai niat sebenar Beijing.

Awal tahun ini agensi pemetaan negara itu telah mempamerkan peta baru China yang termaktub 80 peratus kawasan Laut China Selatan yang dituntut Beijing. Sebelum ini pun dalam pasport antarabangsa tertera peta China yang secara tersurat mempamerkan Laut China Selatan adalah milik mereka.

Tidak wujudnya sifat terbuka China terutama sekali mengenai dasar yang berkait dengan Laut China Selatan menyukarkan lagi keadaan untuk meyakinkan AS atau ASEAN bahawa Beijing ikhlas mahu menyelesaikan kemelut tuntutan bertindih maritim.

Tidak boleh dipersalahkan Beijing seratus peratus dalam hal ini kerana dasar Washington juga banyak menimbulkan syak wasangka. Kehadiran kapal perang pesisir AS iaitu USS Freedom yang pada ketika ini berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Changi bukan sahaja memberi isyarat tidak baik kepada China malah juga kepada rantau Asia Tenggara.

Minggu hadapan Presiden Obama akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping di California dan tema perbincangan akan berkisar mengenai hubungan strategik kedua-dua kuasa besar. Walaupun pertemuan diadakan jauh dari rantau Asia Tenggara tetapi apa yang pasti adalah isu Laut China Selatan bakal menjadi topik utama perbincangan.

Presiden Obama sudah pasti akan mendesak supaya Beijing lebih bersikap telus dan terbuka mengenai isu permodenan Angkatan Tentera China (PLA) terutama sekali yang melibatkan PLA-Laut. Presiden Jinping juga hampir pasti akan menyeru AS supaya menerima kehadiran China sebagai rakan strategik Washington untuk kebaikan semua.

Adalah menjadi harapan pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut mampu menjernihkan keadaan yang lebih telus supaya perasaan syak wasangka terhadap niat sebenar sama ada Washington atau Beijing di rantau Asia Pasifik dapat dikurangkan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik