Wednesday, June 5, 2013

DEMOKRASI TALIAN HAYAT PAS.

by: Mohd Izani Mohd Zain.
  
Pandangan beberapa pemimpin parti pembangkang baru-baru ini menolak bentuk keganasan termasuk demonstrasi jalanan amat menarik untuk dikupas. Misalnya, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang tidak menyokong sebarang demonstrasi jalanan yang membawa lebih banyak keburukan kepada negara. 

Sebaliknya, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia termasuk penyokong PAS khususnya dan pakatan pembangkang amnya menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini dengan hati yang terbuka. 
Kenyataan Mohd Amar itu disokong oleh beberapa pemimpin PAS yang lain antaranya Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang meminta semua pihak menerima keputusan PRU-13 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara. 

Kenyataan beberapa pemimpin utama PAS ini boleh menggambarkan kepercayaan, pendirian dan keyakinan PAS terhadap sistem demokrasi di negara. Malah sebelum ini, bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Nohd Noor dalam temu bual dengan Berita Minggu bertarikh 7 Januari 2001 yang lalu mengakui bahawa demokrasi adalah produk terbaik Barat yang pernah dihasilkan. 

PAS lebih berpengalaman 

Sebagai sebuah parti politik pembangkang yang lebih senior berbanding DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS sudah ‘masak’ dengan permainan politik dan demokrasi. Hasil penyertaan PAS dalam demokrasi melalui pilihan rayalah, parti itu mendapat peluang untuk memerintah di Kelantan dan Terengganu. Pendek kata, dengan demokrasi, PAS boleh melaksanakan apa yang mereka dakwa sebagai ‘Islam Pemerintah’ di kedua-dua negeri berkenaan. 

Penyertaan dan keberhasilan PAS dalam demokrasi melalui pilihan raya adalah salah satu contoh bagaimana hubungan Islam dan demokrasi di Malaysia berjalan dengan baik. Ini juga menggambarkan Malaysia adalah sebuah negara demokratik Muslim yang berjaya dan wajar dicontohi dalam Dunia Islam masa kini. 
Ini berbeza dengan situasi di beberapa negara sebelum ini apabila parti yang menggunakan agama sebagai asas perjuangan ditolak secara tidak demokratik dalam sistem politik mereka seperti apa yang berlaku terhadap Parti Refah di Turki dan Front Islamique Salvation (FIS) di Algeria. Kedua-dua parti ini diharamkan atas alasan mengancam kedudukan pemerintah yang terdiri daripada golongan sekular dan tentera. 

Keputusan PAS untuk terus komited dalam proses demokrasi melalui pilihan raya sebenarnya tidak disenangi oleh beberapa gerakan Islam di dunia. Ini pernah diakui oleh Mohamad Sabu dalam Dewan Rakyat pada 1993 bahawa penyertaan PAS dalam proses demokrasi melalui pilihan raya dikritik kerana ia sama sekali tidak akan mencapai kemenangan. 

Penyertaan PAS terhadap demokrasi diuji apabila prestasi buruk dalam pilihan raya umum khususnya pada 2004. Pilihan raya umum itu, PAS hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen berbanding 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum 1999. 

Hal ini menimbulkan polemik dalam kalangan ahli parti sehingga timbul cadangan akar umbi agar PAS memboikot dan memulaukan pilihan raya. Keputusan ini juga disebabkan oleh dakwaan perjalanan pilihan raya yang tidak bebas dan adil. 

Tolak pulau pilihan raya 

Namun di sebalik kekecewaan dan dakwaan itu, kepemimpinan PAS menolak cadangan memulaukan pilihan raya kerana masih yakin bahawa hanya melalui demokrasi dan pilihan raya, parti itu boleh bersaing bagi mendapatkan kuasa secara sah daripada rakyat. Lebih-lebih lagi, PAS masih percaya sistem itu adalah muwajadah silmiyyah atau cara lembut untuk mendapatkan kuasa politik tanpa sebarang keganasan. 

Berdasarkan pengalaman parti itu dalam sistem demokrasi di Malaysia, PAS adalah sebuah parti politik yang dewasa. Ia turut menyumbang kepada pembangunan dan kestabilan demokrasi di Malaysia selain parti pemerintah seperti UMNO, MCA dan MIC serta parti komponen yang lain. 

Namun ini tidak bermakna PAS boleh lari daripada isu dan cabaran dalam menyertai proses demokrasi di negara. Seiring dengan peredaran masa, PAS terpaksa berhadapan dengan kerenah pengikut dan penyokong parti yang pelbagai. Parti itu kini memiliki segmen pemilih dari bermacam latar belakang. 

Maka tidak hairanlah, apabila pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyokong demonstrasi jalanan mempertikaikan keputusan pilihan raya baru-baru ini, dicemuh oleh segelintir kecil penyokong parti itu dalam media sosial. Mereka mengkritik bahawa PAS harus terus bersama-sama dengan kebangkitan rakyat kerana parti itu perlu menghormati penyokongnya terutama kumpulan bukan ahli parti, NGO dan juga anak muda yang turut memberi kemenangan parti itu dalam pilihan raya yang lalu. 

Situasi ini seharusnya diuruskan dengan baik oleh PAS jika mahu sokongan terhadapnya kekal dan tidak berbelah bahagi. Apatah lagi, PAS pastinya tidak mahu dikaitkan dengan sebarang aktiviti keganasan politik yang akhirnya memberi imej negatif kepada parti. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik