Tuesday, June 4, 2013

HENTIKAN SEGALA PROVOKASI KEBENCIAN.

By: Mohamad Abdullah.

SEORANG mahasiswa pemimpin pelajar merasa amat tertekan apabila media sosial digunakan untuk menghentam dan memalukannya semata-mata kerana dia mempunyai pandangan yang berbeza dalam perjuangannya sebagai pemimpin mahasiswa.

Wajahnya di-super imposed menjadi rupa berwajah khinzir dan diletakkan di laman sosial malah juga menggunakan gambar anjing mengawan dan meletakkan wajah pelajar di situ dengan paparan begitu besar menjangkau hampir 5,000 like.

Walaupun perbuatan ini boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa, malangnya ia tidak akan dapat mengubah penghinaan dan tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa itu. Perbuatan tidak wajar ini adalah sebahagian daripada perang siber yang menjatuhkan maruah dan air muka sesama anak muda yang masih belajar dan dimalukan dengan begitu sekali.

Anak muda ini hanya pemimpin pelajar biasa yang hanya ingin menjadi dirinya sendiri dengan pandangan politik yang menyokong kerajaan. Kesilapannya hanya kerana dia berada dalam satu demonstrasi yang diadakan di luar kampus dan melontarkan kata-kata yang tidak boleh diterima oleh satu kelompok yang mengadakan demonstrasi dan provokasi tersebut.

Dalam satu kejadian lain sekumpulan lagi pelajar membuat perhimpunan di luar kampus dengan disertai oleh orang politik, membuat provokasi yang menimbulkan kemarahan orang lain. Pelajar tersebut mendakwa dipukul dan menyalahkan orang lain termasuk universiti kerana dikatakan tidak menjaga keselamatannya.

Nampaknya anak-anak muda hari ini terdedah dengan didikan yang berbahaya, bermain dengan api, membuat provokasi dan akhirnya membuat tuduhan-tuduhan yang dilabelkan dengan pelbagai perkara. Mereka membaling batu dan sembunyi tangan, seolah-olah puncanya terletak di bahu orang lain.

Perlakuan-perlakuan yang dibuat menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak apatah lagi mendorong kemarahan orang lain, menjatuhkan maruah dan memalukan sesiapa yang dianggap tidak sehaluan dengan dakwaan-dakwaan yang memalukan apatah lagi menggunakan media sosial sehingga memberikan tekanan perasaan dan kesan buruk kepada seseorang.

Jika inilah budaya yang yang dijadikan amalan hidup masyarakat kita dalam menangani krisis, perasaan tidak puas hati dan sebagainya , maka kita sebenarnya mengundang kepada masalah-masalah yang jauh membimbangkan pada masa hadapan. Inilah padahnya apabila anak-anak kita ditanam dengan api kebencian, kemarahan yang keterlaluan, menghasut dan menggunakan seluruh saluran komunikasi yang ada untuk membakar perasaan dan darah muda mereka sehingga tidak lagi rasional dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.

Apabila anak-anak dididik dengan cara seumpama ini, mereka tidak segan silu untuk berdemonstrasi, bergerak di jalanan dan mengambil tindakan-tindakan agresif apabila tuntutan tidak dipenuhi. Hukum rimba mula mengambil alih perundingan, perbincangan dan diplomasi. Orang lain dianggap berbuat serong apabila pihaknya kalah atau gagal dalam sesuatu usaha dan hanya dia yang betul sepanjang masa.

Ramai yang makin lupa teras dan asas perjuangan menegakkan kedaulatan negara, adab dan kesantunan bangsa. Sebahagian daripada anak-anak kita ditanam dengan anggapan yang sejarah dan kisah masa lalu tidak perlu dilihat lagi, sebaliknya hanya lihat ke hadapan untuk mencapai kejayaan.

Segala kepayahan, kesusahan dan kesukaran yang dilalui oleh mereka yang berjuang untuk meletakkan negara ini sebagai rumah yang selesa didiami dan dikongsi bersama dalam kepelbagaian bahasa, budaya, amalan hidup malah bangsa dan etnik yang ada diperlekehkan dan dianggap dongeng.

Pada akhirnya dihalalkan segala perlakuan yang bertentangan dengan nilai dan norma yang ada, yang dianggap haram dan tidak wajar kepada sesuatu yang benar walaupun sedar harga yang dibayar adalah darah serta ancaman keruntuhan sebuah tamadun yang telah dibina teguh bersama sekian lama.

Kesenangan dan kemudahan hidup yang dinikmati dianggap mudah dan sering tidak disyukuri. Tidak ramai dalam kalangan generasi muda hari ini yang sedar betapa kejayaan mengekalkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial adalah hasil daripada sikap toleransi, kerjasama, persefahaman dan kerja keras secara berterusan yang menyebabkan begitu banyak pihak cemburu apatah lagi dengan keupayaan untuk Malaysia terus menjadi negara berdaulat dan bebas dalam menentukan jalannya sendiri.

Lihat sahaja kesan yang terjadi apabila ada sahaja yang mempertikaikan apa jua yang dilakukan kerajaan dengan membangunkan persepsi penyalahgunaan kuasa atau paling tidak meletakkan apa sahaja kesalahan dan kesilapan di bahu pemimpin yang dipilih dan diamanahkan berada dalam pelbagai kementerian yang bertanggungjawab dalam proses pembangunan negara yang sepatutnya lebih berfokus kepada hal-hal dasar.

Persepsi yang dengan sengaja dibina melalui pelbagai cara termasuk secara maya mendorong kepada perlakuan-perlakuan jelik tanpa rasa bersalah, walaupun kesannya ditanggung sahabat handai dan saudara mara sendiri, semata-mata kerana berbeza ideologi dan pegangan.

Papan cerita yang dibangunkan begitu meyakinkan sehingga orang tidak dapat membezakan antara cerita dengan khayalan malah ditanam sehingga seolah-olah tidak ada sekelumit pun kebenaran dan kejayaan yang dibuat. Siapa sahaja yang menyokong dianggap musuh dan ditekan, diasak malah dijadikan bahan untuk dipandang serong oleh orang lain.

Apatah lagi pada hari ini perlu diakui yang terdapat sebahagian anak muda yang menganggap perjuangan menegakkan bangsa itu tidak lagi penting, sebaliknya perlu melihat kepada isu-isu sejagat yang lebih bersifat universal, rasuah, keadilan sosial, pembahagian kek ekonomi dan sebagainya.

Mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada anak bangsanya suatu hari nanti semata-mata kerana telah berjaya pada hari ini dan menganggap tidak perlu lagi dibantu oleh sesiapa. Sikap angkuh apabila berjaya, menidakkan sokongan dasar-dasar yang ada selama ini sehingga mengangkatnya kepada kedudukan sekarang dan merasai seakan-akan sudah mampu berdiri sama tinggi dengan orang lain menjadikan sebahagian lupa diri dan berkhayal tentang kehebatannya.

Setiap kali berhujah, kesalahan diletakkan kepada dasar sedia ada, pemimpin yang dianggap rasuah dan gila kuasa atau pun kronisme yang kononnya begitu berleluasa walaupun tidak dapat dibuktikan dengan jelas segala tuduhan, sekadar tuduhan liar, lebih berupa persepsi daripada kebenaran.

Berhentilah untuk menanamkan api kebencian dan mengambil mudah dalam membuat tuduhan. Berhentilah daripada terus mengheret anak-anak kita ke jalanan dan melakukan provokasi yang boleh memusnahkan keharmonian dan kedamaian masyarakat. Berhentilah daripada mendidik anak-anak kita melanggar segala peraturan dan undang-undang, bersikap kurang ajar dan tidak merasa bersalah apabila menimbulkan kesusahan kepada orang lain.

Usaha juga perlu dirancang dengan strategi yang tepat untuk memastikan perlakukan-perlakuan ini dapat dipatahkan segera jika kita benar-benar cintakan negara ini.

Pasukan yang kuat perlu dibangunkan untuk menghadapi serangan ini dengan serius dan segera kita lakukan tindakan-tindakan yang dapat membanteras daripada api kebencian terus bersarang dan digantikan dengan semangat cintakan negara, agama, bangsa dan kedamaian yang ada demi kelangsungan kita pada masa hadapan.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik