Tuesday, June 25, 2013

HIKMAH: SATU SIFAT DIDOKONG BUKAN DIPINGGIRKAN.

INDIVIDU, kelompok masyarakat masing-masing ingin idea atau kehendak mereka didengari dan seterusnya diperakukan dan dituruti oleh orang lain. Sebagai contoh seorang bapa sudah tentu ingin anaknya menuruti kehendaknya. Sudah tentu sebagai bapa maka banyak perkara yang ingin diberikan kepada si anak. Maka patuh dan taat dengan kehendak si bapa merupakan satu kelebihan kepada anak yang masih mentah dalam kehidupan, yang belum makan asam garam sebagai seorang dewasa, yang mungkin sedang alpa dan tidak sedar kepentingan contohnya belajar dengan baik sebagai jaminan masa hadapan.

Begitu juga bagi seorang yang mempunyai ilmu dan kepandaian, maka sudah tentu mereka ingin mengajak masyarakat untuk sama-sama menikmati sesuatu kebaikan berdasarkan pengetahuan dan kepakaran yang ada pada mereka.Maka sudah tentu betapa beruntungnya masyarakat yang mempunyai individu berpengetahuan yang memberi maklumat untuk kebaikan bersama. Kepada pemimpin masyarakat, sudah tentu mereka ingin mengajak ahli masyarakat ke arah kebaikan. Apa sahaja status kita, maka sudah tentu kita ingin mengajak orang lain kepada sesuatu. Apapun, bagaimana anak-anak, masyarakat dan orang lain boleh akur dan mengikut kebaikan yang ingin dianjurkan kepada mereka? Salah satu caranya adalah dengan menggunakan pendekatan berhikmah.

Mengikut Kamus Dewan hikmah atau hikmat bermaksud kepandaian dan kebijaksanaan. Dalam bahasa Inggeris hikmah boleh dikenali dengan perkataan wisdom. Dalam ayat al-Quran, Allah menjelaskan bahawa usaha dakwah atau mengajak orang kepada kebaikan memerlukan pendekatan nasihat yang penuh hikmah dan peringatan secara baik. Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl ayat 125).

Hikmah boleh didefinisikan sebagai pengetahuan yang mendalam dan pertimbangan yang waras ketika menentukan tindakan, ketika mengambil keputusan dalam sesuatu perkara dengan mengambil kira sebab dan kesan yang timbul akibat tindakan dan keputusan yang ingin dibuat.

Dalam risalah Islam, selain memahami al-Quran dan penyucian diri dengan bertaqwa, hikmah merupakan salah satu aspek penting dibawa nabi Muhammad SAW yang perlu ada dalam jiwa dan peribadi individu Muslim. Pentingnya hikmah, ia sudah pun menjadi sebahagian daripada ajaran para Rasul AS terdahulu. Al-Quran sendiri telah menyebut bahawa Nabi Ibrahim, Musa dan Isa AS telah diutuskan untuk mengajar hikmah kepada umat mereka.

Antara contoh hikmah yang ditunjukkan nabi SAW ialah ketika memberi amanat dan pemilihan individu yang boleh mengurus dan bekerja sehingga kegagalan tanggungjawab yang diberikan hampir tidak ada kerana sesuai dengan kehendak dan fitrah masyarakat manusia. Ini tertera dengan amanat baginda SAW kepada Muaz bin Jabal yang dihantar untuk misi dakwah ke Yaman agar bersikap positif, buat sesuatu yang mudah, ringkas dan bukan sebaliknya. Dalam pemilihan duta kepada raja Negus daripada Abyssina, Nabi SAW memilih Amr al-Haddarami yang merupakan kenalan lama kepada Raja Negus. Begitu juga ketika awal dakwah Islam, pada masa Nabi SAW dan para sahabat ditentang habis-habisan oleh kaum Quraish, Nabi SAW meminta umat Islam tidak menguar-uarkan syahadah mereka secara terang-terangan dalam masyarakat dan solat pada siang hari dilakukan secara senyap berbanding solat sebelah malam yang biasanya dilakukan di rumah dan terlindung.

Secara ringkas hikmah mengajar manusia untuk bertindak bukan sahaja dengan tepat tetapi juga sesuai pada masa dan tempat. Sifat hikmah adalah dinamik yang sesuai dengan perubahan masyarakat dan kehidupan mereka. Dengan itu pendekatan berhikmah begitu sesuai diguna pakai untuk menguruskan apa-apa urusan.

Dalam menyesuaikan amalan hikmah dalam kehidupan seharian kita, maka tidak dapat tidak ia merupakan satu sifat yang perlu diberi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita lakukan apatah lagi untuk mengajak pihak kedua, masyarakat bahkan pihak yang tidak bersetuju dengan kita termasuk musuh untuk melihat perkara yang ingin kita sampaikan, kebaikan yang ingin diberikan akhirnya boleh meroboh keengganan mereka daripada menerima seruan dakwah dan idea baik yang ingin dilakukan, disampaikan.

Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila kebaikan tidak dapat disalurkan kepada pihak kedua gara-gara pendekatan tidak tepat, berbau ancaman, keangkuhan, tiada hormat menghormati dan menggunakan kedudukan. Ini adalah satu kerugian. Siapakah yang ingin menerima nasihat jika ia dilakukan dengan ayat, nada kasar dan angkuh? Walaupun nasihat itu baik tetapi akhirnya ia tidak membawa apa-apa kebaikan dan memenuhi objektiviti yang dikehendaki. Bersikap, pendekatan lembut dan diplomasi merupakan sebahagian daripada aspek hikmah. Nabi SAW sendiri bersikap lembut.

Begitu juga dalam masyarakat kita, mengajak kepada perpaduan dan kepatuhan kepada perkara yang baik perlu dibuat secara berhikmah. Ia perlu dibuat dengan pendekatan mudah, praktikal dan berperingkat-peringkat mengikut tahap kemampuan masyarakat. Apabila hikmah dijunjung dan didokong maka sudah tentu apa-apa kebaikan, mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan memberi impak positif kepada sasaran.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik