Friday, June 7, 2013

IKTIBAR DARIPADA NASIB ROHINGYA.

By Mashitah Ibrahim.

ORANG Islam di Myanmar, atau Rohingya, bertapak di negara itu sejak abad ke-8. Mereka berasal daripada keturunan imigran India/Bangladesh dan Yunnan di China. Ada juga dari keturunan pedagang dan pelaut Arab zaman para sahabat, yang singgah di wilayah Arakan (atau Rakhine) dalam perjalanan ke China, biasanya untuk menambah bekalan atau membaiki kapal. Bilangan orang Islam bertambah sewaktu pemerintahan British.  Walaupun majoriti masyarakat Myanmar beragama Buddha, sebahagian penduduk Islam ambil keputusan untuk terus tinggal di negara itu selepas merdeka, malah ada yang berjaya dalam bidang perniagaan dan politik.

Keadaan berubah apabila Jeneral Ne Win pegang kuasa pada 1962. Ramai orang Islam yang berkhidmat dalam tentera dipecat. Diskriminasi dan tekanan ke atas penduduk minoriti Islam sering berlaku. Pemerintah menafikan hak kerakyatan kepada penduduk Rohingya yang tidak dapat membuktikan keturunan mereka tinggal di negara itu sebelum 1823. Pemerintah Myanmar tidak mengiktiraf hak penduduk Rohingya yang berjumlah lebih 800,000 orang. Pada 1982, hak kerakyatan mereka dilucutkan, justeru tidak boleh bergerak bebas atau berkahwin tanpa permit.
 
Pada 1997, hampir 1,500 sami Buddha mencetus provokasi di Mandalay, bandar ke-2 terbesar di Myanmar. Mereka berarak menjerit slogan anti-Islam dan gelaran ‘kalar’ kepada penduduk Islam, menyerang orang awam, merosak harta benda, serta membakar masjid, al-Quran, rumah kedai dan kenderaan. Pada 2001, apabila Taliban mengebom patung Buddha Bamiyan di Afghanistan, penduduk Islam di Myanmar jua menerima akibat. Di Taungoo dalam daerah Pegu, puak sami Buddha menyebar risalah anti-Muslim dan mendesak pemusnahan Masjid Hantha di kampung itu sebagai balasan. Seramai 20 jemaah bersolat terbunuh. Keganasan dua hari itu menyebabkan 200 orang Islam terbunuh, 11 masjid dan 400 rumah kediaman terbakar, malah banyak kedai dan harta milik orang Islam musnah. Pertubuhan termasuk Kesatuan Islam Se-Burma pula dilabel organisasi pengganas.

Sehingga hari ini, tiada lagi masjid yang diguna di Taungoo. Penganiayaan terhadap orang Islam tidak berhenti. Masyarakat Buddha tidak digalakkan berurusan niaga, berkahwin atau mengambil orang Islam sebagai pekerja. Barang keluaran orang Islam diboikot. Dalam enam bulan pertama 2012, seramai 166 Muslim terbunuh. Sejak Mac tahun ini, pertempuran antara penganut Buddha dan Islam masih berlaku di beberapa tempat ekoran Gerakan Buddhist 969 yang diketuai seorang sami bernama U Wirathu.

Pendek kata, keadaan di Myanmar cukup malap untuk penduduk Islamnya. Sejak tahun lalu, kira-kira 140,000 orang Rohingya terpaksa lari meninggalkan kampung halaman, kini tinggal di kem-kem pelarian. Malah ada juga yang bersembunyi di wat dan kuil. Ada yang nekad menaiki bot-bot kecil ke Acheh dan negara kita. Ramai yang mati di laut kerana bot karam. Dianggarkan dua juta orang Rohingya sudah meninggalkan Myanmar.

Pemenang Anugerah Nobel Muhammad Yunus dan Jose Ramos-Horta mengkritik dasar baru pemerintah Myanmar yang tidak membenarkan keluarga Rohingya mempunyai lebih dua anak. Melihat pada kekejaman dilakukan terhadap penduduk Islam serta usaha menafikan hak dan identiti mereka, keadaan ini boleh diibaratkan sebagai pembersihan etnik seperti pernah dilakukan ke atas penduduk Bosnia. Doctors Without Borders mengatakan Rohingya adalah kumpulan penduduk paling teraniaya di dunia.

Memang benar sudah ada usaha dilakukan oleh pertubuhan tertentu untuk membantu penduduk Rohingya. Namun jelas tidak mencukupi, justeru lebih banyak usaha perlu diambil khususnya oleh NGO bagi membantu mereka. Di peringkat kerajaan, ada had kepada usaha boleh dilakukan kerana Malaysia terikat dengan dasar Asean yang mana negara anggota bersetuju tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota lain. Bagaimanapun, dari perspektif kemanusiaan, usaha diplomasi perlu diteruskan.

Iktibar kepada kita ialah merasai betapa beruntungnya tinggal di Malaysia. Semua warganegara mendapat hak yang wajar dan dapat hidup dalam aman damai. Kemakmuran dan pembangunan yang ada di depan mata dan sedang kita kecapi mengambil masa begitu lama untuk dibina. Kerana itu, kita harus pertahankan. Usaha memusnahkan ketenteraman, cara hidup dan social fabric sedia ada merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab. Sekali musnah, bukan mudah untuk dibina semula. Malah, mungkin hilang semuanya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik