Tuesday, June 4, 2013

ISMA TOLAK ANWAR DPRING.

By: AIDCNews.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menolak Anwar Spring satu peniruan ‘Arab Spring’ di Timur Tengah ke Malaysia.

“Hal ini telah mencetuskan kebimbangan di kalangan banyak pihak bahawa Malaysia akan mengalami keadaan huru-hara terutama apabila merujuk kepada ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau tidak menerima keputusan pilihan raya dan terus menganjurkan perhimpunan bantahan di seluruh negara,”katanya kepada ismaweb.net.

Menurutnya, inspirasi peniruan ‘Arab Spring’ semakin jelas kelihatan semasa perhimpunan nyalaan lilin yang dilakukan oleh penyokong Adam Adli yang berkumpul di hadapan Balai Polis Jinjang baru-baru ini.

“Dalam perhimpunan tersebut, terdapat satu kain rentang yang tertulis ‘Kita semua Adam’ yang mengambil inspirasi slogan ‘Kita semua Khaled Said’ yang menjadi pencetus dalam revolusi rakyat di Mesir, “katanya lagi.

Di samping itu, ISMA memuji pendirian Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan yang menolak daripada terbabit dalam menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan dan perhimpunan jalanan.

Peristiwa revolusi yang berlaku beberapa buah negara di Timur Tengah seperti di Tunisia, Mesir, Yaman dan lain-lain Presiden ISMA perlu dijadikan pengajaran bagi rakyat negara ini kerana tidak semua revolusi berjaya bahkan menambahkan lagi keburukan kepada negara setelah kerajaan baru tidak dapat mengawal keadaan yang huru-hara.

Oleh yang demikian, ISMA sekali lagi menolak sebarang seruan penukaran kerajaan melalui cara revolusi yang bakal mencetuskan keadaan huru-hara sama ada melalui himpunan di jalan raya, rusuhan dan demonstrasi yang berbahaya.









Sementara itu, Naib Presiden 2 ISMA, Tuan Haji Abdul Rahman Mad Dali memberi amaran kepada pertubuhan liberal, Suaram agar tidak mempertikaikan kedaulatan agama Islam dan kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera telah diakui dalam sejarah persefahaman antara kaum di negara ini.

“ISMA memberi amaran kepada Suaram dan pertubuhan liberal yang lain agar tidak mempertikaikan perkara yang sudah lama dipersetujui. Kalau kita tak beri amaran, nescaya banyak lagi isu seperti UiTM, MARA malah institusi raja-raja pun mereka akan minta dihapuskan berdasarkan hujah-hujah kesamarataan dalam perjuangan hak asasi manusia yang ditaja oleh barat,” katanya kepada ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Suaram yang mahu polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dimansuhkan kerana hanya membenarkan orang Melayu dan bumiputera melanjutkan pengajian di universiti itu.

“Saya berasa pelik kerana mereka seolah-olah baru sahaja mengenali konsep negara dan saya lihat mereka ada motif lain iaitu mahu menukar identiti negara.

“Kerajaan telah menubuhkan UiTM untuk membangunkan orang Melayu dan itu adalah hak orang Melayu. Ia telah diterima oleh semua pihak seperti mana bangsa Cina dan India mendapat hak kewarganegaraan,” ujar beliau.

Katanya lagi, Malaysia mempunyai cara tersendiri dalam mentadbir negara yang berbilang kaum. Justeru undang-undang luar seperti konvensyen antarabangsa tidak terpakai sepenuhnya dalam negara ini.

“(Konvensyen) PBB bukan kiblat kita. Mana yang selari dengan Islam kita terima, mana yang bercanggah kita tolak. Malaysia sudah pun diakui terbaik dalam mentadbir negara yang berbilang bangsa. Tidak ada isu mengapa UiTM perlu menukar polisi,” ujarnya lagi.

Oleh itu, katanya ISMA menyeru pihak-pihak lain agar mempertahankan perlembagaan persekutuan yang mencerminkan identiti negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaga kedudukan hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputera.

Minggu lalu sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan Pengarah Suaram mahu polisi UiTM yang hanya menerima pelajar Melayu dan bumiputera dimansuhkan sambil menyifatkan polisi itu telah mendiskriminasi kaum lain dan ia bercanggah dengan konvensyen PBB berkaitan penghapusan semua jenis diskriminasi kaum.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik