Wednesday, June 26, 2013

JAKARTA KENA PERBETUL AMALAN "TEBANG BAKAR".

Kegagalan kuat kuasa peraturan pembakaran terbuka jejas negara jiran negara jiran.

Saya berada di Singapura ketika keadaan jerebu di republik itu mencecah tahap berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setinggi 400, minggu lalu. Teruknya keadaan itu menyebabkan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong muncul di televisyen menggariskan langkah yang diambil kerajaan bagi menangani masalah itu. 
Jerebu, asap daripada amalan pembakaran hutan di Sumatera bagi membersihkan tanah untuk pertanian, dibawa tiupan angin barat daya bukan saja memberi kesan kepada Singapura, tetapi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia. Antara langkah awal Singapura menghadapi jerebu yang dikatakan terburuk sejak 15 tahun lalu itu ialah menubuhkan Jawatankuasa Jerebu Antara Kementerian bagi menyelia usaha menyeluruh pada peringkat nasional. Hsien Loong turut mengingatkan rakyat Singapura bahawa keadaan itu dijangka berterusan untuk beberapa minggu. 



“Kita perlu menyesuaikan tindakan kita dengan perubahan keadaan dan melindungi diri kita dengan cara lebih praktikal,” katanya.

Malangnya, jerebu yang agak pulih di seberang Tambak Johor, rupanya berpindah ke Semenanjung sejak kelmarin. Keadaan bertambah teruk semalam sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan darurat bencana jerebu di daerah Muar dan Ledang Johor berikutan IPU di kawasan itu melebihi 500, iaitu tahap kecemasan.

Ambil langkah perlu

Serentak itu, semua kementerian dan agensi yang terbabit dalam pengurusan jerebu di semua peringkat, diarah mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat. Beliau juga mengarahkan semua pihak terbabit bertindak berpandukan garis panduan khas menghadapi darurat bencana jerebu sedia ada. 
Keadaan di sekitar Lembah Klang semalam, walau IPU tidak seteruk di beberapa daerah di Johor, agak membimbangkan dengan jarak penglihatan ada yang sehingga setengah kilometer. E-mel TV3 dihujani ratusan gambar keadaan semasa jerebu daripada orang ramai.

Malaysia dan Singapura sudah mempunyai panduan khas menghadapi bencana ini kerana sejak lebih 20 tahun lalu, hampir saban tahun pada musim kemarau, rantau ini dilanda jerebu. Puncanya sama iaitu pembakaran hutan di Sumatera. 

Tentu ramai belum lupa dengan jerebu paling teruk dihadapi di rantau ini pada 1997 sehingga Sarawak diisytiharkan darurat, manakala Dewan Rakyat membahaskan usul khas mengenainya. Selain pembakaran terbuka di Sumatera, fenomena El Nino ketika itu memburukkan keadaan. Walaupun Indonesia menuduh pembukaan ladang yang dimiliki oleh syarikat Malaysia dan Singapura sebagai punca jerebu, Presiden Suharto secara terbuka memohon maaf kepada kedua-dua negara.

Pada masa sama, pelbagai jawatankuasa peringkat ASEAN dan mesyuarat diadakan bagi menangani bencana merentas sempadan itu. Berapa pertubuhan antarabangsa dan kerajaan asing ketika itu memberi pelbagai syor dan cadangan kepada Indonesia bagi menangani masalah pembakaran hutan tahunan ini, sekali gus mengatasi bencana jerebu untuk jangka panjang.

Kini selepas 15 tahun jerebu paling buruk itu berlaku dan Indonesia sudah tiga kali bertukar presiden, pembakaran hutan untuk aktiviti pertanian yang dikaitkan sebagai punca jerebu, masih menjadi amalan.

Kambing hitam

Setiap kali jerebu teruk berlaku, syarikat dari Malaysia dan Singapura yang melabur dalam sektor peladangan di sana, dipersalahkan. Betulkah syarikat Malaysia dan Singapura sebegitu ‘kiasu’ atau mereka dijadikan kambing hitam untuk menutup kegagalan menguatkuasakan undang-undang atau peraturan (jika ada) alam sekitar berhubung pembakaran terbuka?

Setahu kita, pembukaan ladang sawit atau getah hanya memerlukan pembersihan hutan sebelum tanaman dilakukan. Jika itu dilakukan 15 tahun lalu, ladang itu kini tentu sudah mengeluarkan hasil dan tidak memerlukan pembersihan hutan. Hanya pertanian tradisional memerlukan tebang dan bakar setiap tahun.

Mungkin kerana itu, Singapura kali ini meminta nama syarikat dari republik itu yang didakwa oleh Kementerian Perhutanan Indonesia terbabit dalam kegiatan pembakaran haram, untuk dikenakan tindakan.

Walaupun tanggungjawab penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terhadap syarikat dari Malaysia dan Singapura yang berdaftar di sana terletak dalam bidang kuasa Indonesia, mungkin tindakan lain boleh dikenakan terhadap syarikat ini di negara masing-masing.

Bagaimana jika punca sebenar adalah amalan pertanian dan peladangan tradisional negara itu yang menjadikan ‘tebang dan bakar’ sebagai jalan mudah dan murah?

Jawapannya ialah sejauh mana kesungguhan Indonesia untuk memperbetulkan amalan itu dan kepedulian Jakarta terhadap rakyat negara jiran yang turut menerima kesannya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik