Thursday, June 20, 2013

JANGAN MEMPERBODOHKAN DIRI SENDIRI.

PADA Sabtu lalu, rancangan Majalah 3 terbitan TV3 memaparkan mengenai kehidupan anak-anak muda di Bandung, Indonesia yang terpaksa bermain muzik di jalanan demi mencari sesuap nasi. Mereka yang digelar 'pengamen' berada di jalan-jalan utama di bandar itu untuk meraih simpati berikutan kesusahan hidup.

Mereka tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran atau terkandas dalam pelajaran kerana kemiskinan. Justeru dengan berbekal peralatan muzik seperti gitar atau biola, mereka menyanyi di pinggir-pinggir jalan bagi mencari sumber kewangan.

Tetapi pada hari yang sama di Kuala Lumpur pula, sekumpulan anak muda termasuk antara mereka penuntut universiti mengadakan perhimpunan haram di hadapan pusat beli-belah Sogo, kononnya sebagai 'pemanas' bagi merancakkan kempen untuk menggalakkan orang ramai ke perhimpunan haram pada Sabtu ini di Padang Merbuk.

Jelas sekali, kelompok anak-anak muda ini sudah terpengaruh dengan mainan politik sempit pembangkang sehingga tidak tahu mensyukuri segala nikmat biar pun hidup jauh lebih selesa, aman dan selamat berbanding anak-anak muda di Bandung.

Kelompok ini terpengaruh dengan satu kumpulan yang menamakan diri mereka Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Solidariti ini biar pun mengiktiraf diri mereka sebagai badan bukan kerajaan (NGO) tetapi ia adalah hasil produk 'kilang' perjuangan politik sempit Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka inilah yang bertanggungjawab menganjurkan forum yang dipenuhi dengan kata-kata hasutan untuk mengajak rakyat turun ke jalanan kononnya bagi memprotes keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang didakwa dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) melalui penipuan.

Hakikatnya, mereka bukanlah pejuang rakyat apatah lagi penegak keadilan tetapi mereka sekadar menjadi 'hamba' kepada agenda politik sempit PKR yang kecewa berikutan kegagalan pemimpin utama mereka ditabalkan sebagai Perdana Menteri.

Difahamkan, 'flashmob' itu akan diadakan sekali lagi pada Jumaat ini di Jalan Tun Perak dan Puduraya, ia sebelum itu akan dimulakan dengan pidato Perdana di Sungai Besar, Selangor pada Khamis dan di Temerloh, Pahang pada Khamis dan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Aneh sekali, kesemua acara ini diadakan dengan tujuan kononnya untuk membantah keputusan PRU-13 sedangkan ketika puak-puak 'solidariti' dan PKR ini begitu ghairah mahu berbuat demikian dalam masa yang sama kesemua pemimpin pakatan pembangkang sudah sepakat untuk menghadiri majlis angkat sumpah anggota Parlimen pada 24 Jun ini.

Oleh itu, jelaslah anak-anak muda yang kononnya mahu memperjuangkan keadilan tersebut hakikatnya tidak menyedari mereka sekadar boneka yang diperalatkan oleh ahli-ahli politik pembangkang khususnya PKR bagi melahirkan perasaan mereka.

Kalau betullah apa yang diperjuangkan oleh solidariti itu mewakili pakatan pembangkang, kenapakah perhimpunan di Sogo tersebut tidak ada seorang pun pemimpin pembangkang yang hadir? Ketika kesemua mereka disumbat ke dalam trak polis kerana mengingkari arahan supaya bersurai, pemimpin-pemimpin pembangkang bersenang lenang menyaksikan peristiwa itu.

Selain itu, kalau benarlah apa yang diperjuangkan oleh solidariti itu membawa suara anak muda kenapakah anak muda yang hadir hanya 'beberapa kerat' sahaja? Jelaslah nama solidariti anak muda itu sendiri hanya menampakkan sikap 'syok sendiri' sedangkan terdapat majoriti anak muda tidak akan menghabiskan masa mereka dengan aktiviti-aktiviti bodoh seumpama itu.

Turut mendapat perhatian, tidakkah kelompok yang bergabung dalam solidariti itu tidak faham bahawa mereka sedang dipermainkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang tanpa disedari. Ia memandangkan kalau betullah pembangkang tidak mengiktiraf keputusan PRU-13, kenapakah mahu mengangkat sumpah anggota Parlimen?

Bukankah dalam sidang akhbar yang dianjurkan oleh pertubuhan tersebut, mereka menyeru supaya semua pemimpin pembangkang tidak berbuat demikian sebagai tanda protes kepada kerajaan BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?

Justeru janganlah memperbodohkan diri sendiri dan membiarkan diri dipermainkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang. Adalah lebih baik soal politik diserahkan kepada orang politik untuk menguruskannya. Janganlah hanya menjadi boneka apatah lagi robot yang boleh diarah melakukan kerja-kerja tidak berfaedah seolah-olah diri kita tidak mempunyai maruah diri.

Kepada pemimpin-pemimpin pembangkang pula, mereka janganlah berasa syok sendiri dengan andaian kononnya perhimpunan haram yang dilakukan oleh anak-anak muda itu menunjukkan golongan muda menyokong mereka. Keputusan PRU-13 sudah membuktikan hanya segelintir sahaja yang menyokong mereka dan pembangkang beruntung apabila kaum Cina yang sudah menerima pelbagai nikmat hasil pemerintahan BN turut mengundi mereka.

Jika benarlah pembangkang memperjuangkan demokrasi, maka gunakanlah saluran demokrasi untuk menyelesaikan masalah bukannya terus menghasut rakyat untuk turun mengadakan demonstrasi pada 22 Jun ini.

Perhimpunan pada tarikh berkenaan sudah sah akan menjadi perhimpunan haram kerana Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan Padang Merbuk digunakan manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula tidak akan mengeluarkan permit.

Oleh itu, kalau pakatan pembangkang mahu juga meneruskan hasrat mereka maka jelaslah mereka bukan sahaja tidak menghormati demokrasi malahan bersedia meletakkan diri dalam kelompok yang tidak tahu menghormati undang-undang.

Berikutan kedegilan tersebut, maka mereka perlu bersedia untuk menerima apa juga tindak balas daripada pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam.

Tindakan tegas pihak polis khususnya dalam menyuraikan perhimpunan haram itu pasti akan disokong oleh rakyat yang cintakan keamanan.

Kita tidak mahu huru-hara yang berlaku di negara-negara tertentu akibat demonstrasi yang berasaskan politik merebak ke negara ini. Malah di negara-negara berkenaan, tidak ada polis hanya sekadar menjadi pemerhati, mereka pasti bertindak tegas untuk menyuraikan perhimpunan haram seumpama itu.

Apa pun kepada golongan muda yang bergabung dalam solidariti, jadilah insan dewasa dalam melakukan tindakan. Cukup-cukuplah kita menyaksikan 'kelahiran' beberapa individu yang mendakwa mahasiswa sanggup menggadaikan masa depan mereka semata-mata terhasut dengan politik pembangkang.

Solidariti yang kalian sokong tidak akan mampu mengubah keputusan pilihan raya umum lalu. Kerajaan BN sudah pun mentadbir dan ahli-ahli Parlimen pembangkang sudah bersedia untuk mengangkat sumpah manakala di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, PKR, Pas dan DAP sedang mentadbir tanpa sebarang masalah melalui penubuhan sebuah kerajaan hasil satu pilihan raya umum yang kalian terpekik terlolong di pinggir-pinggir jalan kononnya berlaku penipuan.

Adalah lebih baik jika solidariti yang ditubuhkan itu digerakkan bagi tujuan mensejahterakan negara dan bukannya menganggu gugat ketenteraman awam sehingga gerakan pertubuhan itu dianggap solidariti menghancurkan masyarakat.

By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik