Tuesday, June 4, 2013

JANGAN MUDAH KABUR MATA.

By: Amran Abdul Manaf.

SAYA bukan antara orang Melayu yang menyokong kaedah boikot yang disarankan sesetengah pihak khususnya melibatkan produk, jenama mahupun perkhidmatan berkaitan Yahudi ketika kemuncak isu Gaza dan Palestin, mahupun boikot produk dan perkhidmatan Cina selepas PRU-13.

Walaupun saya tidak menyokong, saya nampak satu kesan positif kepada pengguna Melayu dan Islam. Mereka mulai sedar majoriti perniagaan, produk dan perkhidmatan itu milik atau mempunyai kaitan dengan orang Yahudi mahupun orang Cina.

Apabila orang Melayu dan Islam mahu memboikot, mereka menghadapi kesukaran kerana kebanyakan produk dan perkhidmatan harian bukannya milik Melayu, bumiputera mahupun milik orang Islam.

Lebih mengejutkan, pendedahan kempen boikot menunjukkan begitu banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan nama atau perkataan Melayu dan Islam bagi mengaburi mata pengguna, tetapi milik kumpulan yang mahu diboikot itu juga.

Fakta ini agak menyedihkan. Langkah pertama untuk kita bangkit dalam perjuangan ekonomi bangsa adalah dengan menyedari di mana kedudukan kita kini dan menginsafi betapa banyak produk serta perniagaan di negara ini milik orang lain.

Isteri saya antara yang serius menyertai kempen boikot ini tetapi baru mula menyedari begitu sukarnya mencari produk mahupun perkhidmatan yang sama daripada orang Melayu atau Islam sebagai ganti.

Akhirnya, boikot hanya boleh dibuat untuk produk atau perkhidmatan yang boleh digantikan. Yang lain terpaksa juga menggunakan produk atau khidmat kumpulan yang ingin diboikot tadi.

Saya sendiri telah lama mengambil pendekatan mengutamakan produk Melayu, bumiputera dan Islam tetapi tidak memboikot secara total produk berkaitan Yahudi mahupun Cina kerana sedar sukar untuk berbuat demikian.

Selain itu, saya juga melihat mutu produk dan perkhidmatan. Jika terlalu teruk saya tetap tidak guna tetapi jika kualiti dan harga tidak jauh bezanya, saya tetap utamakan yang Melayu atau Islam.

Satu lagi yang perlu disedari orang Melayu, bumiputera dan Islam, golongan yang bising kerana produk dan perniagaan mereka diboikot itu juga sebenarnya telah lama berpakat sesama mereka memboikot produk orang Melayu dan Islam.

Oleh itu, apabila orang yang 'diboikot' mula menghentam kerajaan kerana tidak menghalang kempen tersebut, saya juga terfikir kenapa pula mereka boleh boikot produk orang Melayu, bumiputera dan Islam sejak sekian lama?

Kenapa dikatakan boikot perniagaan Cina akan menjejaskan ekonomi negara serta pelaburan asing sedangkan perbuatan boikot perniagaan Melayu tidak pula menjadi masalah?

Sungguhpun saya tidak menyokong boikot oleh mana-mana pihak sekalipun. Saya tetap melihatnya sebagai hak individu. Adalah hak mereka bagaimana mahu belanja, guna atau simpan wang masing-masing, seperti juga hak demokrasi mengundi siapa yang kita sokong.

Jika Red Bean Army dikatakan meningkatkan kesedaran pengundi, kempen boikot juga perlu diperakui meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna Melayu dan Islam.

Kini, semakin ramai betul-betul sedar sejauh mana pegangan kaum lain dalam ekonomi negara. Nama produk dan perkhidmatan tidak menjamin pemiliknya Melayu atau Islam, malahan sedar agenda boikot sudah lama dilaksanakan terhadap peniaga Melayu dan Islam.

Tidak perlulah bermain perang psikologi songsang dengan menuduh pihak tertentu rasis ataupun menindas. Apa yang saya nyatakan di sini semuanya hakikat dan fakta sebenar sekadar untuk difikirkan sendiri semua rakyat Malaysia.

Fikir sendiri yang mana dirasakan betul atau salah. Pilih sendiri untuk sertai boikot atau tidak kerana akhirnya, hak dan kuasa membeli itu milik individu dan tidak boleh dipaksa-paksa.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik