Thursday, June 6, 2013

JATUHKAH KERAJAAN BN PERAK?

by: Yusof Harun.
SEPERTI dalam mana-mana perlumbaan sama ada perahu layar, marathon ataupun lari 100 meter, peserta yang sampai ke garisan penamat dahulu adalah lazimnya diisytiharkan sebagai pemenang. Kaedah ini diguna pakai sejak Greek Purba lagi, tamadun yang dikatakan mencipta demokrasi.

Namun bagi sesetengah manusia di sini, definisi kemenangan dan makna definisi menurut suara ramai mengambil laluan bertentangan dalam konteks falsafah politik baru yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim dan tamadun baru yang dipimpinnya. Mereka melihat yang hitam itu merah dan yang menang itu kalah.

Untuk rekod, ke saat ini, walaupun seluruh dunia menerima kemenangan BN dalam PRU13 pada 5 Mei lalu, Anwar masih lagi meyakini barisan parti yang dipimpinnya menang dan BN kalah. Ini dilakukan dengan lagak dan gaya yang sudah menjadi trademark kepada personalitinya – politik konfrontasi.

Rakyat terkejut dengan budaya dan tamadun politik konfrontasional yang menjadi asas kepada PR apabila mereka berjaya membentuk beberapa buah kerajaan negeri setelah tsunami politik PRU12.

Malang buat PR, honeymoon yang belumpun genap setahun berakhir apabila kerajaan PR tumbang ekoran tiga Adun mereka keluar meninggalkan gabungan longgar itu.

Mereka tak dapat elak dari dibelenggu sindrom hilang kuasa. Ia bukan saja sepanjang 2009 hingga PRU13, ia juga rupa-rupanya menjadi igauan sehingga sekarang.

Benar bukanlah sesuatu yang semudah menyarung cincin ke jari seseorang yang disayangi bagi pembangkang yang berusaha meraih simpati dan mengulangi kejayaan 2008. Justeru tidak hairan jika mereka berharap sesuatu keajaiban berlaku seperti apa yang menimpa mereka tempoh hari.

Mereka membayangkan malah kini di tahap mengeksploitasi isu dua Adun BN keluar  meninggalkan komponen itu yang secara kasar ia boleh menyebabkan kerajaan BN tumbang.

Inilah opsyen pintu belakang yang dinanti-nantikan oleh orang seperti Anwar dan rakan-rakan mereka di Perak. Penafian walaupun dibuat oleh kedua-dua tokoh itu namun pembangkang mematahnya dengan berkata “penafian selalunya tanda berita itu benar.”

Kes klasik berlaku pada tahun 1961 sebaik Terengganu dikuasai Pas. Akibat lompat parti, kerajaan Pas pimpinan Daud Abd Samad tumbang apabila diadakan undi tidak percaya.

Selain itu, kita menyaksikan Umno menunggu 18 tahun sebelum menumbangkan kerajaan Pas Kelantan pada 1978. Pas menyalahkan Umno kerana pengisytiharan Mageran punca kekalahan mereka tanpa sedikit pun mengakui kelemahan mereka.
  
Kelalaian dan “in fighting” menyebabkan kerajaan itu bertahan 12 tahun sebelum Pas melalui pakatan mega dengan puak Ku Li merampas semula negeri itu. Jalinan Pas dan Semangat 46 membuahkan sesuatu yang positif macamlah dibuat Umno dan Berjasa sebelumnya.

Kesepakatan politik yang dijuruterai Pas dan dijadikan idea sejak 2008 berjaya melemahkan pengaruh Umno dan BN. Malang kerjasama Pas bukan dengan parti Melayu tapi dengan DAP, walaupun ironinya secara terangan DAP menentang hudud dan negara Islam.  

Hari ini kita dengar Malaysian spring cuba dihidupkan di negara ini dan dikaitkan dengan orang yang sama mencetuskan projek 16 September.

Selain dari itu kedengaran budak-budak Pas (dan PKR) begitu ghairah menganalisis tentang sembilan Exco baru yang dilantik MB Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Konon MB meminggirkan tokoh senior kerana mereka bukan dari ”kem”nya serta terdapat rasa tidak puas hati sehingga ada yang bakal meninggalkan BN.

Bahkan mereka dakwa MB juga tidak pilih Exco mengikut daerah seperti dijanji awal dulu.

Seperti umum ketahui dalam PRU12, PR Perak peroleh kuasa dengan kelebihan tiga wakil rakyat berbanding BN hanya 28. Kini sejarah macam menguji pula BN apabila mereka kini menguasai kerajaan negeri dengan memenangi 31 kerusi berbanding 28 pembangkang.

Namun demikian, walaupun nisbah kemenangan kecil tapi semangat demokrasi tetap wujud. Justeru bagi pembangkang, kerajaan BN kali ini tidaklah sestabil macam kerajaan BN di tempat lain. Mereka lupa pada 2004, BN tewas satu kerusi pada Pas Kelantan, 23-22,  dari 45 kerusi Dun.

Tetapi itulah sistem dan amalan dalam kerangka demokrasi sejak Greek Purba lagi.  Yang menang, hatta dengan kelebihan satu suara sekalipun tetap menjadi kerajaan dan yang kalah harus akur dan menghormati yang menang.

Begitu pun, kewujudan manusia yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kekalahan tidak dapat dielakkan. Itulah sebabnya seorang pengasas demokrasi bernama Democratus menyimpulkan: “Dan sekali lagi, banyak dari kalangan haiwan mempunyai pandangan bertentangan dengan pandangan kita.”

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik