Thursday, June 27, 2013

KALAULAH ASAP KITA MASUK INDONESIA.

SEHARI dua ini kita berasa tidak selesa bernafas ketika berada di luar. Mata pedih, kerongkong gatal-gatal dan kerap batuk. Tidak itu sahaja, cuaca suram, pandangan pun bertambah kabur, keadaan amat merimaskan.

Untuk ke sekian kalinya jerebu dari seberang menyerang kita. Tidak siapa dapat menghalang, serangan kali ini lebih ganas dari biasa. Ahad lalu daerah Muar dan Ledang – keduanya di Johor – diisytiharkan darurat apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 750, jauh melepasi paras bahaya.

Ketika rencana ini ditulis, keadaan di dua daerah berkenaan sudah kembali normal, sekolah sudah dibuka semula. Tetapi jerebu masih menyelubungi sebahagian besar Semenanjung. Sana-sini pandangan tidak jelas. Menara berkembar Petronas yang menjadi mercu tanda pun hampir hilang dari mata.

Singapura yang awal-awal ditimpa asap dari pembakaran hutan di Sumatera, telah menyuarakan rasa kesal, dan mahu Indonesia bertindak segera mengatasi masalah ini. Malaysia pun menyatakan rasa tidak senang dengan pembakaran berleluasa itu.

Pemuda Umno menghantar memo ke pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur. Setiausahanya, Datuk Megat Pirdaouz Tan Sri Megat Jonid menemui Akhmad Daya Handasah Irfan, Penasihat Menteri Luar di kedutaan berkenaan bagi menyampaikan rasa gusar dan keprihatinan di atas masalah jerebu.

“Pemuda Umno Malaysia dengan tegas telah menghantar satu memorandum meminta pihak Pemerintah Indonesia supaya mengambil tindakan lebih serius, terutama sekali dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang mungkin menyebabkan berlakunya jerebu ini,” katanya seperti yang disiarkan media.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam akan menghantar bantahan kepada rakan sejawatnya di Jakarta, meminta diadakan penyelesaian terhadap jerebu ‘buatan manusia’ yang kini sudah menjadi fenomena tahunan.

Memang, kita boleh marah dan menyatakan apa sahaja bantahan terhadap negara jiran yang menjadi punca jerebu. Indonesia yang sepatutnya bertindak tegas dengan menguatkuasakan pengharaman pembakaran terbuka.

Kita kepanasan dan sukar bernafas, mereka di sana tidak kisah pun keluhan kita.

Seperti kes-kes sebelumnya kita selalu diberitahu bahawa sukar untuk mengawal pembakaran terbuka sebab sudah menjadi adat orang sana bakar-bakar hutan untuk buat kebun.

Kalau kita banyak tanya, mereka akan kata si biang keladi di sebalik pembakaran ini ialah syarikat-syarikat gergasi Malaysia yang ada ladang kelapa sawit berskala besar di republik itu. Pendek kata ‘kong kali kong!’

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera.

“Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi, dan Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah,” katanya seperti laporan media.

Kenyataan itu mungkin meredakan sedikit kehangatan dan kemarahan di Malaysia dan Singapura, tetapi belum tentu Jakarta akan bertindak tegas dan segera dalam menyelesaikan isu ini.

Mereka hanya akan bertindak segera, agresif, dan melampaui batas sekiranya jerebu dari Malaysia mengotori udara Indonesia. Pasti kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta akan segera dikeronyok, dan dilempar najis oleh penunjuk perasaan di sana.

Kita bangsa bertamadun, tidak perlu agresif. Lakukan apa yang kita mampu, termasuk solat mohon hujan seperti yang disyorkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurutnya, solat seperti ini telah diamalkan pada zaman Rasulullah SAW untuk memohon pertolongan ALLAH SWT menurunkan hujan.

“Jadi, saya mengajak semua umat Islam supaya menggunakan pendekatan yang telah diajarkan kepada kita,” kata menteri itu.

Orang ramai juga perlu mematuhi garis panduan kecemasan daripada Majlis Keselamatan Negara, termasuk – sekiranya perlu – menutup sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan premis-premis lain.

Perlu juga memakai topeng hidung dan mulut. Tetapi peniaga topeng jangan ambil kesempatan menaikkan harga. Pada musim yang serba hangat lagi muram ini elakkan kegiatan luar seperti riadah, bersukan, berbondong-bondong ke pasar malam.

Bagi pasangan bercinta elakkan juga berdua-duaan di taman, sebab itu lebih berbahaya daripada jerebu!

By: Abdul Jalil Ali.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik