Monday, June 17, 2013

KERENAH PEMBANTU CERMINAN KETUA.

Pagi semalam penulis menerima panggilan telefon daripada pejabat seorang kenamaan negara. Suara Anis yang lembut memang penulis kenal kerana sering berurusan dengan pejabatnya. Anis adalah pembantu kesetiausahaan kepada seorang tokoh yang mempunyai kaitan rapat dengan UKM. Sepanjang berurusan dengannya, Anis sentiasa memaparkan khidmat profesionalnya. Bukan saja suara yang selesa didengar, tutur katanya juga sopan dan menghormati penulis atau pembantu yang sering menghubunginya. 

Ternyata Anis melayani semua orang yang ingin berurusan dengan ketuanya sebagai penting dan harus diraikan. Walaupun tidak semua undangan kepada ketuanya dapat dipenuhi, kesantunan Anis memberikan maklum balas tidak menyebabkan kita kecewa. 

Ini amat berbeza dengan Haniza (bukan nama sebenar) pembantu kepada seorang kenamaan yang penulis berpengalaman beberapa kali berurusan dengannya. Walaupun penulis sebagai ‘pelanggan’ kepadanya berkomunikasi dengan sangat santun kerana berpegang kepada etika penjawat awam, layanan yang diberikan Haniza sebaliknya. 

Apakah pembantu ini tidak dijelaskan visi dan misi bagi seorang ketua yang diamanahkan memegang portfolio yang tertentu? Apakah mereka tidak dilatih untuk memahami, menghayati dan menterjemahkan konsep bersantun kepada pelanggannya? Apakah ketua pula sangat naïf terhadap kepincangan yang berlaku pada kalangan pembantunya? Apakah mereka menganggap rakyat yang berhubung itu, tidak penting buat masa ini kerana pilihan raya sudah berlalu?

Walaupun tidak bercakap dengan kasar, pendekatannya menjawab panggilan telefon penulis sangat dirasai tiada kesungguhannya. Turut dirasai layanan yang diberinya sambil lewa dan seolah-olah panggilan penulis itu tidak penting. Walhal persoalan yang hendak dibincangkan adalah perkara besar yang sangat relevan dengan portfolio yang disandang ketuanya.

Penulis ingin mengundang ketuanya sebagai perasmi kepada satu aktiviti besar untuk universiti. Undangan kepada kenamaan itu dirasakan amat bersesuaian dengan kedudukannya sebagai peneraju sebahagian daripada program transformasi negara yang sering dilaungkan oleh pemimpin tertinggi. Bertepatan dengan program yang direncanakan, tentulah penganjur akan mengenal pasti tokoh yang paling sesuai dan relevan untuk melancarkan program itu di kawasan yang ditentukan. 

Penulis menjangkakan, pelancaran majlis itu tentu akan memperoleh liputan media yang luas. Sekali gus, dari sudut politik akan turut melonjakkan reputasinya sebagai seorang pemimpin yang berjaya bersama-sama mendukung program transformasi negara. Publisiti yang diberikan kepadanya sudah pasti menggambarkannya seorang pemimpin yang berkesan dan mampu meningkatkan popularitinya. Dalam konteks berpolitik di Malaysia, begitulah aliran dan gerak kerja yang masih diperlukan. 

Namun, disebabkan sikap sambil lewa bahkan ada masanya dirasakan terpapar perilaku kesombongannya dan berpilih-pilih, menyebabkan penulis membatalkan hasrat mengundang ketuanya itu. Malah, penulis dapat berasakan seolah-olah mesej yang ingin disampaikan ialah ketuanya sangat sibuk, justeru aktiviti yang penulis utarakan tidak penting. Sekiranya ketuanya tidak hadir program ini, tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Survival ketuanya pada kedudukan tingginya tidak bergantung kepada publisiti yang bakal diberikan. Beliau ada kekuatan sendiri untuk terus tegak dan boleh bertahan lama pada kedudukannya sekarang. 
Laksana aku janji

Menghadapi contoh senario ini, penulis sering bertanya sendiri dan teman. Apakah pembantu ini tidak dilatih untuk menjadi pegawai yang profesional sebagai penjawat awam dalam sektor perkhidmatan di negara ini? Apakah beliau tidak memikirkan bahawa beliau adalah cerminan kepada ketuanya? Terlupakah beliau terhadap aku janji ketika mula melapor diri sebagai seorang penjawat awam wajib memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jelata? Apakah pembantu ini tidak dijelaskan visi dan misi bagi seorang ketua yang diamanahkan memegang portfolio yang tertentu? Apakah mereka tidak dilatih untuk memahami, menghayati dan menterjemahkan konsep bersantun kepada pelanggannya? Apakah ketua pula sangat naïf terhadap kepincangan yang berlaku pada kalangan pembantunya? Apakah mereka menganggap rakyat yang berhubung itu, tidak penting buat masa ini kerana pilihan raya sudah berlalu? 

Penulis percaya, pengalaman ini bukanlah pengalaman pertama dihadapi oleh orang awam yang berurusan dengan sektor awam. 

Banyak rungutan dan aduan awam yang terpapar dalam akhbar sejak sekian lama walaupun pelbagai kempen sudah dilaksanakan. Pelbagai kenyataan etika kerja dan piagam pelanggan dipaparkan. Pastinya ada kejayaan yang dicapai dalam membentuk budaya kerja cemerlang dalam sektor awam. Namun, masih ada segelintir yang masih memikul budaya lapuk yang mungkin berfikir, ‘aku berkuasa, aku tidak perlukan kamu, kamu yang mahukan khidmat aku, maka tunggu sajalah. Kalau ada, adalah, kalau tidak ada, tidak boleh buat apa-apa.’

By: Abd Razak Hussin.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik