Thursday, June 27, 2013

KESEIMBANGAN KESEJAHTRAAN EKONOMI RAKYAT.

INDEKS kesejahteraan rakyat yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam Bajet 2014 nanti memberi banyak makna kepada rakyat Malaysia.

Rakyat sememangnya ternanti-nantikan kesejahteraan yang bukan sahaja holistik tetapi juga seimbang untuk semua peringkat dan lapisan rakyat. Apakah komponen-komponen yang wajib dimasukkan dalam indeks kesejahteraan rakyat?

Pertama, tidak lain tidak bukan komponen ekonomi. Sebagaimana angka-angka ekonomi yang dicatatkan sejak akhir-akhir ini, ekonomi negara berada dalam landasan yang kukuh untuk bergerak menuju ke negara maju. Namun demikian, bagi kebanyakan rakyat, bukan sekadar angka-angka yang menakjubkan yang sering kali diumumkan.

Bukan semua rakyat memahami maksud tersurat dan tersirat angka-angka ekonomi tersebut. Bahkan, terdapat rakyat yang tidak peduli pun angka-angka tersebut. Yang mereka pedulikan adalah pendapatan mereka bukan sekadar mencukupi tetapi cukup selesa dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan kata lain, mereka tidak menjalani kehidupan yang susah dan serba tidak mencukupi.

Kita boleh lihat kebanyakan rakyat Malaysia kini sering bercakap mengenai pendapatan yang tidak mencukupi dan kos kehidupan pula meningkat dengan begitu ketara sekali. Kuasa beli rakyat semakin berkurangan.

Rata-rata rakyat terutamanya di bandar-bandar besar berada dalam tekanan kewangan. Memang benar, kita boleh lihat terdapat rakyat Malaysia yang kaya raya di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur. Mereka ini mempunyai sejumlah kereta mewah yang berharga ratusan ribu, bahkan jutaan ringgit sebuah, rumah banglo mewah yang cukup besar, simpanan wang yang sangat banyak serta aset-aset lain yang tidak pernah terfikir oleh rakyat yang berpendapatan sederhana ke bawah.

Namun demikian, kebanyakan rakyat tidak dapat menjalani kehidupan sebagaimana segelintir golongan kaya raya ini. Jurang kekayaan amat besar. Yang kaya semakin kaya, manakala yang miskin pula semakin susah. Maka, tiada keseimbangan kekayaan yang meliputi semua golongan rakyat Malaysia.

Di samping itu, indeks kesejahteraan tidak boleh sesekali meminggirkan keseimbangan ekonomi meliputi semua kaum. Rakyat tidak mahu kekayaan hanya dikuasai oleh sesebuah kaum sahaja. Ini tidak langsung menggambarkan kesejahteraan rakyat, bahkan menandakan majoriti rakyat Malaysia masih ditakuk yang sama meskipun negara sudah semakin bergelar negara maju. Kekayaan ekonomi tidak boleh sesekali dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja.

Kekayaan yang hanya dikuasai oleh sesuatu kaum akan menyebabkan kaum-kaum lain berasa terpinggir. Keadaan sebegini boleh memudaratkan negara dalam tempoh jangka masa panjang. Kerajaan perlu berani mengubah senario ini agar ekonomi negara dikuasai oleh semua kaum. Jika ini tidak dapat dilakukan, usah kita berbangga dengan pencapaian indeks keseimbangan yang ingin diguna pakai nanti.

Kedua, komponen pendidikan. Dalam mengejar kekayaan yang merangkumi semua kaum dan lapisan rakyat, rakyat juga tidak kira status mampu mengakses sistem pendidikan negara sehingga ke peringkat menara gading. Tidak kurang juga, nilai-nilai murni diterapkan dan dihayati oleh rakyat. Ketika ini, kita lihat terdapat kekurangan dalam sistem pendidikan negara apabila nilai-nilai murni tidak dihayati dan diamalkan oleh generasi muda. Lihatlah bahasa yang digunakan di laman-laman sosial. Perhatikan juga sikap rasa hormat mereka dengan orang tua, guru dan juga pensyarah. Malahan sering kali kita dengar, terdapat pelajar yang sanggup bergaduh dengan guru. Pernahkah kita mendengar kes pelajar bergaduh dengan guru 25 tahun lalu? Tidak! Mungkin ada yang tertanya-tanya apa kena mengena nilai-nilai murni dengan indeks kesejahteraan? Sudah tentu ada hubungan. Ini kerana apakah yang akan terjadi kepada kesejahteraan rakyat, jika terdapat ramai golongan yang biadab, dan suka bergaduh? Sudah tentu mereka ini mengganggu ketenteraman awam dan menyusahkan rakyat.

Jadi, mahu tidak mahu, nilai-nilai murni perlu dijadikan budaya dalam amalan hidup rakyat Malaysia, di samping menerapkan dan mengutamakan ajaran agama agar moral rakyat berada pada tahap terbaik berdasarkan pegangan agama yang kukuh.

Ketiga, keselamatan rakyat. Keselamatan ini termasuklah kes-kes jenayah seperti ragut, rompak, rogol, bunuh, rasuah dan penyelewengan. Rakyat mahukan keadaan yang sejahtera tanpa bimbang keluar rumah bagi menjalani kehidupan yang selamat dan selesa.

Pada masa sama, kesejahteraan rakyat akan tergugat jika rasuah dan penyelewengan berleluasa. Ini kerana ia bakal meningkatkan kos kepada rakyat.

Keempat, kesihatan rakyat. Ini termasuklah kelestarian alam sekitar agar tidak berlakunya bencana alam yang menjejaskan kehidupan mereka. Umpamanya, jerebu yang melanda negara kita pada masa sekarang menjejaskan kesihatan rakyat. Ini belum termasuk keadaan alam sekitar yang saban hari semakin rakus ditelan oleh pembangunan dan akhirnya menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh berlaku.

Komponen terakhir tidak lain tidak bukan adalah kecekapan dan keberkesanan sektor awam dan swasta. Ini kerana setiap hari kita akan menggunakan khidmat kedua-dua sektor ini. Tanpa kecekapan dan keberkesanan sektor awam dan swasta, mustahil rakyat akan dapat memperoleh kualiti perkhidmatan yang terbaik. Hanya dengan kecekapan dan keberkesanan sahajalah yang akan menjadikan rakyat semakin gembira, selesa dan berasakan bahawa mereka dihargai pada setiap masa. Barulah rakyat tidak merungut atau dengan kata lain kesejahteraan mereka sentiasa dijaga dengan sebaik mungkin.

PENULIS ialah Pensyarah KananPerakaunan dan KewanganPusat Pengajian Perakaunan (SOA)Kolej Perniagaan (COB)Universiti Utara Malaysia

By: Rohami Shafie.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik