Wednesday, June 5, 2013

KINI MASA BEKERJA UNTUK RAKYAT.

By: Dr Aminudin Mansor.

Kata-kata kadang-kadang tidak melambangkan perbuatan. Ada orang yang bijak berkata-kata tetapi belum tentu berkesan dalam pekerjaan. Manakala ada juga orang yang senyap dan pendiam tetapi kerjanya lebih berkesan dan dapat dirasakan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), inilah masanya untuk membuktikan apa yang dicakapkan dan dijanjikan dilaksanakan untuk rakyat. Rakyat telah menunaikan janji mereka dengan memilih pemimpin dan wakil rakyat. Kini tibalah pula masanya wakil rakyat yang dipilih bekerja untuk rakyat.

Ketika pulang ke kampung ramai yang bersungut jalan raya masih berlubang, jambatan rosak masih belum dibaiki, bekalan air bersih tidak mencukupi dan kadang-kadang bekalan air tidak ada terputus, terutama jika ada majlis kenduri kahwin.

Isu ini juga disungutkan oleh penduduk di bandar yang mengatakan banyak jalan tidak diturap masih berlubang dan wakil rakyat dipilih sudah tidak nampak batang hidungnya. Itulah sungutan dan rungutan mereka.

Banyak wakil rakyat yang berjanji; “inilah masa bekerja untuk rakyat”. Mereka mengharapkan janji-janji tersebut jangan hanya tinggal janji dan retorik kosong yang menyebabkan rakyat marah dan benci serta tidak mahu mengundi mereka lagi dalam PRU14.

Masanya tidak lama hanya lima tahun. Jika asyik terus berpolitik, berkempen dan berhimpun tak berhenti-henti bila masanya untuk melaksanakan janji-janji kepada rakyat.

Itu suara yang penulis dengar apabila melihatkan keadaan dan situasi yang berlaku sekarang.

Rakyat juga mengharapkan wakil rakyat yang menang, sama ada di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Parlimen memfokuskan pembangunan di desa-desa. Masih banyak kawasan desa yang ketinggalan dan tidak membangun serta tidak cukup dari segi infrastrukturnya.

Pembangunan luar bandar sangat penting seperti pembinaan jalan raya, membangunkan industri kecil, pembangunan usahawan desa bagi memberikan lebih peluang kepada belia di luar bandar.

Inilah cabaran lebih besar yang sepatutnya ditangani oleh wakil rakyat dan ia menjadi harapan rakyat setelah memilih mereka sebagai wakil rakyat.

Hal ini dapat mengelakkan rakyat di luar bandar tidak berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari pekerjaan. Pihak wakil rakyat juga mestilah mencari apa permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di sesuatu kawasan tersebut.

Sebagai contoh di bandar kesesakan lalu-lintas menyebabkan kawasan jalan di bandar sesak. Terdapat banyak kerosakan lampu isyarat yang tidak berfungsi.

Ada garisan kuning yang sudah hilang warnanya, pokok-pokok tua berbahaya kepada lalu-lintas dan orang ramai serta kenderaan tidak ditebang, jalan-jalan juga masih kekal berlubang dan tiada tanda-tanda untuk dibaiki.

Mempolitikkan sesuatu isu hanya membuang masa dan waktu. Semua isu boleh diselesaikan mengikut saluran yang betul dan jelas mengikut undang-undang. Isu keselamatan dan keharmonian penduduk juga penting.

Ramai penduduk di kawasan bandar bimbang jika isu keselamatan yang dijanjikan tidak diatasi akan menyebabkan rakyat marah.

Wakil rakyat adalah tempat rakyat mengadu hal berkaitan dengan kemudahan asas, keselamatan dan peluang-peluang perniagaan yang dapat diceburi oleh rakyat di sesuatu kawasan.

Jika hal ini tidak dapat diatasi rakyat tentunya akan kecewa memilih mereka sebagai wakil rakyat mereka.

Inilah masanya untuk membalas budi rakyat yang telah memilih mereka sebagai wakil rakyat di kawasan mereka. Jangan hanya masa berkempen kerap turun padang; apabila sudah menang muka pun tak nampak dipandang.

Kata kebanyakan pengundi yang ditemui “masa bekerja sudah sampai; jangan pula sampai lupa dan lalai.”

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik