Sunday, June 23, 2013

KOTA JAKARTA PERLUKAN "PEMBEDAHAN" DRASTIK.

Motosikal memadatkan lagi jalan raya di Jakarta terutama waktu puncak adalah panorama biasa kota yang semakin padat itu.

HARI ini kota Jakarta meraikan ulang tahun ke-486 penubuhannya. Berdasarkan hitungan berkenaan, kota metropolitan itu boleh dirumuskan terlalu tua.

Kerana sudah lanjut usia, maka kota itu juga saling tidak ubah seperti tubuh seorang manusia makin hari makin uzur. Keuzuran bagi sebuah bandar raya seperti Jakarta dapat dilihat pada persekitarannya.

Benar Jakarta sebuah bandar serba moden dan orangnya sangat sofistikated.

Namun, dalam kepesatan pembangunan itu, kota Jakarta juga memerlukan pembedahan yang drastik untuk mengembalikan semula kekuatannya mengurus tadbir tata hidup manusia yang menghuni di dalamnya.

Bahkan, Jakarta juga memerlukan kerja-kerja overhaul (baik pulih) terutamanya dengan dua pilihan utama yang ada iaitu mengatasi segera masalah kesesakan trafik atau memindahkan pusat pentadbiran kerajaan di luar bandar itu.

Itulah hal yang sudah lama didebatkan. Mungkin sudah lebih sedekad isu yang sama dibincangkan oleh pemimpin negara sehinggalah dalam kalangan rakyat secara umumnya.

Jakarta merupakan nadi atau jantung kepada 240 juta rakyat Indonesia. Kerana itu, ramai yang mahu menjadi sebahagian daripada warga Jakarta lantaran kepesatan pembangunan dan ekonominya.

Berikutan kota Jakarta menjadi tumpuan jutaan rakyat bergantung nasib ia secara tidak langsung menyumbang pada kepadatan.

Kesesakan trafik (dikenali sebagai macet) sudah sangat sinonim dengan kota itu sehingga ada frasa yang menyebut bukan Jakarta namanya kalau tidak macet.

Lantaran kesesakan yang luar biasa itu menyebabkan ada kajian yang mendapati kerugian material yang dialami oleh warga Jakarta akibat kemacetan mencecah angka Rupiah 28 trilion (RM9 bilion) setiap tahun.

Angka sebesar itu merupakan jumlah yang paling ideal untuk membangunkan ekonomi masyarakat.

Malang sekali, itulah hakikat yang berlaku di sebuah bandar yang setiap kali usai sambutan Aidilfitri akan menyaksikan jumlah penghijrahan yang besar dari luar ke kota itu.

Semuanya mahu mencuba nasib di Jakarta. Untuk rekod, sehingga tahun 2012 penduduk di Jakarta sahaja sudah mencecah angka melebihi 10.4 juta orang.

Mujur pentadbiran baru Jakarta di bawah pimpinan Gabenor baru, Joko Widodo melihat betapa pentingnya kota itu ditata dengan tertib.

Jakarta merupakan antara kota terpenting di rantau Asia seiring dengan kota-kota lain seperti Singapura, Kuala Lumpur, Shanghai, Hong Kong dan lain-lain.

Justeru, adalah penting bagi Jakarta diurus dengan tertib bagi memastikan ekonomi negara berkenaan dipacu dengan lebih dinamik pada masa depan.

Usaha Jokowi untuk membangunkan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) merupakan gagasan idea yang sangat bijak untuk mengatasi masalah kesesakan trafik dan banjir.

Begitu juga, projek pembinaan sistem pengangkutan monorel yang sudah dilancarkan juga tentu sekali akan menjadi titik permulaan ke arah menukar wajah lama Jakarta menjadi sebuah kota serba baru.

Biarlah dikatakan terlewat asalkan ada usaha bersungguh-sungguh untuk memberi imej baru kepada kota itu.

Pada masa sama, ada cadangan pemindahan ibu kota Jakarta yang perlu diambil pertimbangan yang serius oleh pemerintah.

Memindahkan pusat pentadbiran kerajaan seperti mana yang dilakukan negara jiran Malaysia merupakan pilihan paling terbaik buat Jakarta.

Usaha ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban masalah di Jakarta kerana kota itu sudah terlalu padat untuk menampung ledakan pembangunan dan penduduk.

Semoga kota ini akan terus berbakti kepada warganya. Dirgahayu Jakarta.

By: Saharudin Musthafa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik