Monday, June 17, 2013

LANSKAP BARU POLITIK KELANTAN.

Perluas penglibatan Tokpa ekonomi Kelantan beralih, ambil peluang realisme baru Pas Melihat Kelantan sebagai tuan rumah, mendengar bacaan peserta di majlis peringkat kebangsaan ke-56 Tilawah al-Quran memberikan saya semangat dan kemegahan baru.

Ingatan zaman budak di kampung melayang kembali mendengar 'orang berlagu' (bacaan kitab suci) di segala perjumpaan dan majlis tatkala itu amat menggembirakan saya. Semenjak berusia 10 tahun lagi saya kelana menerima pendidikan di luar negeri kelahiran.

Semenjak itu saya tinggal dalam perantauan, hanya pulang ke Kelantan tahun 1974 untuk bertanding kerusi baru Parlimen Machang, 1986 kerusi baru Parlimen Kok Lanas hinggalah keseluruhan calon Umno di negeri itu ditewaskan oleh pakatan Semangat 46 dan Pas dalam PRU 1990.

Pada tahun 1996, tinggal dunia politik untuk jadi Duta Khas di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York hingga tahun 2000. Balik untuk menerajui kumpulan media NST antara 2001-2003, satu tahun awal- setahun sebelum kontrak tamat - telah dibuang tanpa beradab oleh Badawi, tatkala itu tauke Malaysia.

Semenjak 2004, jadi penulis bebas. Gap years di Cambridge, Harvard dan dalam 'buangan' di United Kingdom dan aktif dalam bisnes permodalan atau investment.

Antara pemimpin Umno kelahiran Kelantan yang hidup dalam perantauan adalah Mustafa Muhamed- berpendidikan di Melbourne University,  Australidan dan Universiti Boston di Amerika Syarikat - anak kelahiran Bachok, berjaya dalam politik bukan di Bachok tetapi di Jeli.

Seorang lagi ialah Tengku Razaleigh Hamzah, kelahiran Kota Bharu tetapi kubu politiknya di Ulu Kelantan, daerah yang terkenalnya Gua Musang. Ramai anak Kelantan di perantauan terutama di Lembah Kuala Lumpur-Klang mencari kehidupan, menimba ilmu; mati dan dikebumi di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Tidak sedikit orang Malaysia salah sangka kerana spinning kononnya Kelantan adalah negeri termiskin di Malaysia.

Sebenarnya, tidak begitu. Sila rujuk pada kajian rasmi dan sebaliknya negeri mana di bawah tangga Kelantan mempunyai peratus kemiskinan tegar tertinggi.

Berdasarkan modal manusia Kelantan yang ramai, berbakat, dinamik, berdikari dan rajin, Kelantan bisa melonjak ke depan. Apa lagi kerana saya jangka landskap politik dan ekonomi kita bakal berubah.

Di Kelantan, sudah wujud pendekatan realisme baru kerajaan Pas di bawah kepimpinan Menteri Besar baru Ahmad Yakob. Saya telah pun menulis tentang ini terlebih dahulu dalam sebuah kolum bahawa Tokpa atau Setapa- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Adun Air Lanas - bisa menjadi 'perantara' kerjasama yang berhemah antara Kota Bharu dan Putrajaya. Syukur Alhamdulillah membaca kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang agak sependapat dengan saya.

Inilah satu-satunya peluang terbaik Kota Bharu dan Putrajaya memulai kerjasama secara realis berdasarkan menang-menang. Saya berharap Tokpa dan MB Kelantan akan mengadakan rundingan secepat mungkin mencari ikhtiar merealisasikan keinginan rakyat Kelantan pada pembangunan dan modenisasi yang akan menguntungkan semua pihak.

Sudah tiba masanya rakyat Kelantan didahulukan bukan persaingan politik. Kempen politik boleh tunggu musim PRU14.

Suara sumbang daripada mereka mempunyai agenda peribadi (dan mereka wujud dalam kedua parti) sudah pun berbunyi. Sudah ada pengucapan
demikian - tidak secara sindiran lagi- tidak mahu kedua kerajaan mengeratkan hubungan dan kerjasama. Di bidang mana boleh, Umno dan Pas wajib berdamai.

Sepanjang saya ingat tiada luka parah berlaku antara kedua parti Melayu, Islam ini. Kalau pun ada yang tidak suka pada party- to- party relations, jaringlah kerjasama goverment- to- goverment; diempukkan juga wajib dimesrakan segera.

Pewaris politik tidak harus menanggung lain luka, lain menyiuk, yakni pemimpin lain, (baik Umno dan Pas) yang membuat kesalahan (wrong political calculations) orang lain pula yang berasa susah dan menanggungnya. Saya tidak menyindir, baik yang hidup atau mati, tetapi kalau mereka terasa tersindir merekalah yang berbuat sesuatu yang disindirkan itu!

Kalaulah saya Tokpa tak usah lagilah terlampau 'loghat' sangat ... tumpulah lebih masa pada Kelantan. Malaysia akan terus maju siapa pun menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, siapa pun perdana menteri apa lagi seorang yang berkaliber seperti Najib Razak! Rafidah Aziz, begitu lama sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sekarang simbol promosi Air Asia.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berfungsi, kata musuhnya, lebih baik. Kalau mu tidak ada pun kementerian itu terus berperanan. Kalau demo tolong Kelantan, demo akan disanjungi dan diingati.

Jasa mu akan dikenang lebih daripada di Kuala Lumpur. Percayalah. Anda telah melakukan sebaik boleh bagi Malaysia; sekarang buatlah pula jasa kepada negeri kelahiranmu, lainlah kalau demo mimpi nak jadi Timbalan Perdana Menteri, satu impian yang sukar menjadi kenyataan.

Tidak mustahil tetapi tidak berkemungkinan meramal seorang politikus senior di Kuala Lumpur.
Sebaliknya, jadilah pelopor kerjasama erat dua hala ini- Kota Bharu-Putrajaya. Jangan lepas kesempatan ini, kimah atau nilaian luhur ini. Bertindaklah seperti anda telah berjaya mentransformasikan Jeli, Gua Musang oleh KuLi.

Mu transformasilah pula Bachok, Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas, Tumpat agar bandar ini tidak terus bagai hidup segan mati tak mahu. Dinamikkanlah bandar ini seperti Kota Bharu, Wakaf Che Yeh, Kok Lanas, Tunjung, Tanah Merah, Wakaf Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian.

Kerajaan Pas kelihatan sedia bekerjasama terutamanya MB Ahmad Yakob dan Timbalannya Nik Mohd Amar. Mereka telah menghulur tangan salam muhibah kepada demo dan Putrajaya.

Maka mu dan juga Najib wajib membalasnya dengan hemah dan kalau boleh lebih daripada itu. Ambillah peluang apa yang ditegaskan oleh Speaking, "no more spinning, de-escalate frictions and tensions. Go for realpolitik." Apa pun, actions speak louder than words.

By: TS Abdullah Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik