Sunday, June 23, 2013

MEMAHAMI ERTI BUDI DALAM HIDUP KITA.

SEPANJANG perjalanan hidup, terlalu banyak perkara yang kita tinggalkan di kiri kanan laluan. Ada yang kita terus ingat, dan itu dipanggil kenangan. Ada juga yang kita langsung terlupa.

Apa yang kita lupakan itu - sama ada sengaja ataupun tidak - bukan kerana ia tidak penting.

Namun disebabkan perubahan masa dan keadaan, apa yang kita pernah anggap terlalu penting itu pun akhirnya tidak lagi penting, malah mungkin langsung kita lupakan walau apa yang berlaku itu mungkin bukan kita sengajakan.

Saya terdetik untuk menulis mengenai isu ini setelah melihat status Facebook seorang rakan, yang pada suatu ketika pernah jadi orang  popular, sebagai wartawan dan personaliti televisyen. Rakan itu baru-baru ini menulis mengenai seseorang yang pernah mendapat status yang sangat penting dalam hidupnya.

Namun kini, dia sendiri tercari-cari ‘orang penting’ itu yang sudah tidak lagi ada khabar berita.

Cerita rakan itu, dia mula tiba di Kuala Lumpur dari kampung halamannya - yang berjiran dengan kampung saya - dengan hanya berbekal RM25, ‘mendarat’ di Puduraya, lebih 20 tahun lalu. Bekalan RM25 itu bagaimanapun tidak bertahan lama- jadi rezeki pencopek. Habis licin kena kebas!

Dalam ratap hiba mengenang nasib diri yang sudah tidak tinggal satu sen pun, rakan itu tiba di Kompleks Kotaraya di mana dia disapa oleh seorang pengawal keselamatan bernama Razali.

Kepada Razali, dia bercerita akan malang nasib diri. Berkongsi simpati, Razali menghulur RM10 untuk bekal alas perut dan juga tambang untuk dia ke rumah sewa rakan di Sentul.

Dengan sedikit panduan daripada Razali, akhirnya sampailah dia di rumah rakannya itu. Setelah mendapat kerja dan meraih gaji pertama, dia datang semula ke Kotaraya untuk melunaskan pinjamannya yang RM10 itu kepada Razali. Mereka akhirnya jadi kawan baik.

Namun perubahan demi perubahan yang dilalui selepas itu, akhirnya membuatkan mereka terpisah juga.

Rakan saya itu, akhirnya jadi orang yang berjaya dan ternama. Dia jadi wartawan, novelis, personaliti televisyen, kemudian jadi orang kanan menteri.

Kini, walaupun hidupnya sudah senang, namun saya percaya, dia masih terasa kekosongan, dan akan terus dihantui kekosongan itu selama-lamanya selagi dia tidak dapat bertemu semula dengan Razali.

Begitulah berertinya budi dalam hidup kita, yang pada masa benihnya ditabur, mungkin kita tidak anggap ia akan membawa makna terutama bagi orang yang memberi. Namun bagi orang yang menerima, budi yang dianggap kecil itulah segalanya. Ia boleh sahaja menjadi seperti penyambung nyawa.

Akhirnya, apa sikap kita dalam mengenang dan menghargai budi seseorang kepada kita, bagi saya, itulah nilai diri seseorang. 

Sekaya mana pun, setinggi mana pun kedudukan, atau segah mana pun kelulusan, jika terserlah perwatakan kita sebagai seorang manusia yang tidak mengenang budi, kita tidak akan dihormati.

Tingkat kehormatan menjulang, pun boleh runtuh dalam sekelip mata jika keburukan itu terdedah.

Apa dilalui rakan saya ini hanya sekadar contoh. Saya percaya kita masing-masing pun ada cerita yang tersendiri dalam hal menilai budi.

Saya sendiri tidak akan lupa semua watak yang berperanan menyokong kehidupan saya hingga kini.

Walaupun saya sekarang bukanlah seorang yang berjaya mana dari segi kedudukan dan taraf hidup, namun saya tidak pernah  lupa kepada watak-watak yang membantu saya hingga akhirnya berjaya juga jadi wartawan walaupun hanya berbekal sijil sekolah menengah.

Daripada rakan yang kenalkan saya kepada majikan pertama, majikan itu sendiri juga kepada seorang rakan sepejabat wanita yang menyindir dan memperlekeh saya (ketika itu dia di bawah saya dalam hierarki syarikat) hanya kerana saya tidak berijazah.

Atas sebab sindirannya, saya didihkan semangat dan akhirnya, dapat ijazah pertama dan kini menyambung lagi untuk yang lebih tinggi.

Walaupun dulu dia menyindir namun saya bukan sahaja sudah lama memaafkan, malah amat berterima kasih kepadanya kerana sindiran itu, saya dapat semangat untuk memajukan hidup.

Akhir sekali, yang paling dekat dengan kita - keluarga - merekalah yang paling berjaya. Dan yang sekali-kali kita tidak boleh abaikan budiNya, sudah tentu Dia yang menghidupkan kita di bumi ini.

Budi manusia kita hargai, nikmat ALLAH kita syukuri. Betapa hampirnya Dia dengan kita, lebih dekat daripada urat nadi kita sendiri!


By: Muhamad Mat Yakim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik