Tuesday, June 4, 2013

MEMAHAMI REALITY KUASA DYMM YANG DIPERTUAN AGONH.

TIDAK kira siapa yang mencerca dan bersikap biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, individu itu mesti diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Tidak kira individu itu Melayu, Cina, India atau rakyat daripada etnik-etnik lain, jika terbukti melakukan perbuatan tidak beradab itu, seharusnya langkah penguatkuasaan undang-undang disegerakan. Kalau tindakan pencegahan terhadap individu terbabit tidak dibuat, dibimbangi ia akan diulangi orang lain atau pihak-pihak berkepentingan.

Kita tidak mahu pengalaman lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, pihak terbabit melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap negara dan raja sehinggakan disebabkan kurang berkesan tindak balas undang-undang, perkara itu menjadi kebiasaan.

Oleh demikian, apabila titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mahu semua pihak di negara ini akur dengan keputusan PRU-13 bukan sahaja dipandang remeh, malah dicerca oleh pihak dan kumpulan berkepentingan - tindakan tegas wajar disegerakan.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dari sudut Perlembagaan untuk mengetahui hal ehwal kerajaan. Baginda menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja, diiringi oleh Perdana Menteri (PM).

Setiap awal pagi Rabu sebelum mesyuarat Kabinet, PM menemui baginda untuk memaklumkan perkembangan negara dan perkara-perkara yang mungkin menarik perhatian baginda. Baginda boleh menggunakan sesi ini untuk memberi pandangan kepada PM.

Pada masa lalu Yang di-Pertuan Agong bebas untuk menyuarakan pendapat dalam pelbagai perkara.

Baginda boleh mencadangkan sesuatu kepada PM atau memberi teguran mengenai tandas kotor atau jamuan negara yang menjemukan pada malam sebelumnya, dari segi keselamatan hingga soal pembinaan istana, daripada permasalahan Islam berbilang mazhab kepada pembinaan hotel - semua ini pernah dibangkitkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. Yang di-Pertuan Agong juga boleh menitah mana-mana Menteri untuk memberi taklimat kepadanya.

Dalam realiti, Yang di-Pertuan Agong menikmati fungsi eksekutif jika tidak kuasa de facto eksekutif. Bahagian IV Bab 1 Perlembagaan Persekutuan menegaskan banyak perkara penting berkaitan perkara tersebut.

Ada beberapa perkara, terutamanya sejarah feudal telah terserap ke dalam Perlembagaan Malaysia. Salah satunya adalah perkataan 'Raja' dan 'kerja', disatukan untuk menjadikan kerajaan di mana Sultan atau Raja adalah lambang kuasa dan kedaulatan.

Negeri Melayu berdaulat yang kuno bertakhtakan Raja atau Sultan masih lagi subur di dalam negeri-negeri yang diketuai Sultan di Semenanjung pada hari ini. Kini Raja digelar sebagai Raja Berperlembagaan tetapi hakikatnya mereka masih mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar ke atas masyarakat, khususnya orang Melayu.

Dari fakta keputusan pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong sudah dapat memastikan ketua parti mana yang layak dan dapat menguasai keyakinan bilangan besar, iaitu parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat. Frasa 'percaya dapat menguasai' ini mungkin disalahtafsirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak sepenuhnya membuat penilaian dan pemilihan secara subjektif dalam pelantikan seseorang Perdana Menteri.

Tetapi, apabila diteliti keseluruhan ayat ini dan atas dasar prinsip yang diterima, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik sesiapa sahaja yang beliau berkenan. Orang yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri mestilah seseorang yang dapat menguasai keyakinan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.

Artikel 40 memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hampir dalam semua perkara bertindak atas nasihat Kabinet. Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong dipandang sebagai pemegang kuasa tertinggi kerana semua perkara yang dilaksanakan sebagai sebuah kerajaan dilakukan bagi pihak baginda. Kedudukan baginda sebagai Komander Tertinggi Angkatan Tentera menunjukkan lingkungan kedudukan baginda sebagai eksekutif yang tinggi.

Dan walaupun pada masa yang lampau pelantikan Perdana Menteri tidak pernah menjadi isu kerana Barisan Nasional (BN) selama ini menguasai lebih dari dua pertiga bilangan besar, kecuali pada 2008 dan terbaharu, PRU-13 di mana BN hanya menang dengan majoriti mudah, pada masa akan datang keadaan mungkin akan menimbulkan kesulitan.

Disebabkan majoriti yang dicapai amat tipis, kerajaan dari sudut undang-undang tidak boleh meminda Perlembagaan. Keduanya, ia tidak dapat setegas seperti sebelum 2008. Bahkan, prestasi BN yang hambar pada 2008 telah mencetuskan kebangkitan kumpulan-kumpulan pembangkang yang tidak menentu daripada DAP, PKR dan Pas. Malah, DAP kini telah berjaya menarik sebahagian besar kaum Cina sebagai penyokong tegar mereka - suatu perkembangan yang tidak pernah berlaku 10 tahun lalu.

Dengan peningkatan prestasi pakatan pembangkang selepas PRU-12, seorang bekas Perdana Menteri berpendapat jika BN kalah dalam PRU-13, orang Melayu akan hilang kuasa politik. Namun syukurlah ini tidak berlaku. Jika ini berlaku, maka suatu ketika orang bukan Melayu akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi politik yang berdasarkan bilangan dalam sesebuah demokrasi sering mentakrifkan sempadan kemungkinan. Selagi orang Melayu bersatu dan tekad dalam semangatnya untuk mengekalkan kuasa, ia akan menjadi sukar bagi orang bukan Melayu dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kisah Kabinet Malaysia banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah kerana UMNO membekalkan jumlah yang besar dalam keahlian Dewan Rakyat (88 kerusi).

Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.

Oleh itu, selagi UMNO mengekalkan status quo kekuatan dan pengaruhnya, sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO mengetuai Kabinet sebagai PM.

Pihak-pihak di luar UMNO yang berusaha habis-habisan untuk meletakkan pemimpin utama mereka ke tampuk kuasa perlu akur dan memahami realiti ini.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik