Thursday, June 20, 2013

MENCARI SALASILAH PENGISIAN PERLEMBAGAAN.

Peluang membentangkan kertas kerja pada Seminar Undang-Undang Bagi Diri Negeri Terengganu anjuran Muzium Negeri Terengganu kelmarin membuka ruang kepada saya untuk meneroka ke alam sejarah Undang-Undang Perlembagaan di Tanah Melayu. 

Bukan mudah untuk kita sebenarnya mencari salasilah pengisian Perlembagaan kita. Pelbagai isu sering menjadi persoalan dan masih lagi banyak lagi untuk ruang untuk kita berpolemik sekiranya mahu. Semakin dikorek sejarah, semakin menarik untuk kita mengkaji penggubalan Perlembagaan dan pengisiannya. 

Semakin menarik juga untuk kita memungut nilai yang ada dalam negara sendiri daripada kita merujuk dan mencari maksud dan nilai daripada sistem yang berada jauh daripada kita. Saya sering menegaskan, setiap undang-undang, sama ada undang-undang Perlembagaan atau undang-undang lain juga adalah sesuatu yang tumbuh dari bumi kita, bukan jatuh dari langit. Oleh itu, jenis tanah dan mineral yang membajai pokok undang-undang itu sebenarnya wujud dalam tanah kita sendiri. 

Teringat kata-kata guru undang-undang Perlembagaan saya, Allahyarham Profesor Emeritus Ahmad Ibrahim, figura yang terkenal itu, bahawa kita mempunyai semua penyelesaian kepada lacuna (kelompangan) dalam undang-undang. Prinsip Islam boleh dijadikan rujukan penyelesaian. 

Perubahan penting berlaku 

Berbalik kepada sejarah undang-undang Perlembagaan Persekutuan dalam tulisan sebelum ini saya pernah berkongsi bahawa sumber rujukan dalam pengisian Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjadi simbol kepada kemerdekaan negara kita ialah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. 

Sumber kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu itu pula ialah Perlembagaan Negeri Terengganu yang dinamakan sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk (1911) dan juga Perlembagaan Negeri Johor atau dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Negeri Johor (1895). Perlembagaan Negeri Terengganu itu pula bersumberkan Perlembagaan Negeri Johor. Susur galur Perlembagaan kita perlu kita fahami kerana ia amat penting dan amat berkait rapat dengan nilai yang kita perlu jelaskan kepada pengisian Perlembagaan. 
Tidak dinafikan dalam proses terbabit, beberapa perubahan penting sudah berlaku. Sebagai contoh, pengenalan konsep atau prinsip Demokrasi Berparlimen seperti yang disebut dalam Laporan Suruhanjaya Reid. Apatah lagi dengan pengalaman negara dan juga pengaruh lain seperti faham Perlembagaan daripada Westminster itu. 

Tetapi, dalam menerima apa juga perubahan kepada kandungan dan semangat asal Perlembagaan Negeri Johor dan juga Perlembagaan Negeri Terengganu itu, saya tidak fikir kita boleh menolak semua nilai dan semangat yang ada dalam kedua-dua Perlembagaan itu. Nilai murni yang tersirat dalam kedua-duanya perlu kita hidupkan kembali. Walaupun sudah seratus tahun lebih usia kedua-duanya, beberapa prinsip dan nilai yang ada begitu menyerlah akan kehalusan kita masyarakat Melayu Islam. 

Antara nilai dan prinsip yang saya maksudkan perlunya pengekalan semangatnya ialah perkara berkaitan dengan perkongsian saya sebut minggu lalu, iaitu keseimbangan antara sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Contoh yang saya bawakan dalam tulisan terbabit ialah pindaan kepada Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Mohor Besar Yang di-Pertuan Agong kepada apa juga Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Parlimen. 

Tiada lagi kegusaran Raja 

Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 mempunyai peruntukan berkaitan peranan Raja dalam hal perkenan kepada ketetapan yang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Negeri. Sekiranya keputusan atau ketetapan atau undang-undang dibuat Majlis Mesyuarat mengenai isi negeri Terengganu, ia hendaklah diberitahu kepada rakyat selepas mendapat perkenan Raja (Fasal 44). Sekiranya tiada perkenan Raja, maka ketetapan itu hendaklah dibawa kepada Majlis Mesyuarat sehingga tiga kali. 

Sekiranya masih lagi tidak mendapat perkenan Raja maka perkara terbabit tidak boleh dibincangkan lagi sehingga jangka masa setahun. Selepas masa setahun itu, perkara berkenaan bolehlah dibincangkan lagi untuk kali keempat. Selepas dibincangkan pada kali keempat ini, ketetapan terbabit boleh dibenarkan Raja kerana sudah tiada kecuaian (taqsir) lagi pada Raja atau tiada lagi kegusaran Raja (Fasal 45). 

Nilai yang mahu saya jelaskan ialah tiada lagi kegusaran Raja. Dalam prinsip demokrasi, kuasa Raja disebut veto tetapi apabila kita nilaikan peruntukan Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 itu, prinsip yang mahu disampaikan ialah sebagai mekanisme semak dan imbang dalam sistem yang undang-undang kita pernah perkenalkan.

By: Shamrahayu A Aziz.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik