Thursday, June 20, 2013

MENDAULATKAN SPR.

Mamanda hulubelalang..ingat tau..singh is king, kata Karpal Singh!

Salam 2 all.

Sejak daripada PRU-10 khususnya, sudah mula kedengaran suara-suara sumbang mempertikaikan institusi Suruhanjaya Pilihanraya ( SPR ). Keadaan semakin parah apabila pembangkang tewas dalam PRU-12 (2008), apabila jari mula dituding kepada SPR sebagai punca utama kekalahan mereka.

SPR dijadikan kambing hitam. Pembangkang secara sistematik mula merancang mengenakan tekanan terhadap SPR. Himpunan haram yang dilabel Bersih-1, Bersih-2 dan Bersih-3 diadakan kononnya untuk mengenakan tekanan awam keatas SPR dengan pelbagai tuntutan.

Kejayaan pembangkang ialah apabila Parlimen menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Select Committee) untuk Penambahbaikan Pilihanraya.

Hampir kesemua tuntutan pembangkang telah dipenuhi oleh Jawatankuasa Khas Parlimen ini, termasuk menggunapakai kaedah kuno ‘dakwat kekal’ untuk kononnya menghalang pengundian berganda, atau dalam istilah pembangkang, ‘pengundi hantu’.

Walaupun SPR mencadangkan penggunaan kaedah ‘biometrik’ yang lebih moden dan canggih, namun pembangkang beriya-iya menolaknya dan tetap berkeras mahukan penggunaan kaedah dakwat kekal.

Namun apabila kaedah dakwat kekaldilaksanakan dalam PRU-13 baru-baru ini, pembangkang pula beriya-iya pula mencari kesalahan dan kelemahan kaedah tersebut.

Tidak pernah saya lihat dalam sejarah pilihanraya didunia ini termasuk dinegara ketiga dan mundur dimana pembangkang beriya-iya cuba ‘menghapuskan’ kesandakwat kekal pada jari pengundi selepas mengundi.

Walaupun langsung tidak ada sebarang bukti yang sahih, dan langsung tidak ada bukti adanya pengundi yang telah dicalitkan dengan dakwat kekal boleh mengundi semula buat kali kedua, namun pembangkang terus memainkan sentimen ini untuk menimbulkan kebencian kepada SPR. Kesemua ini adalah dengan satu tujuan, untuk memperlekeh dan mempertikai kredibiliti SPR; dan sekali gus keputusan pilihanraya!

Sebenarnya masalah dinegara ini bukannya dengan sistem pilihanraya, atau institusi SPR. Masalahnya ialah Malaysia mempunyai pembangkang yang “demo-crazy”, langsung tidak bertamadun, yang kerjanya tidak lain hanya menyalak dan menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri!

Sedangkan mereka sendiri saperti ayam yang gah berkokok, tetapi tahi penuh berselaput diekor!

Lihat sahaja cara “demokrasi” dilaksanakan di dalam PKR dan DAP! Sehingga ahli mereka sendiri mendedahkan konspirasi kotor dan jijik, pembohongan, penipuan, putar belit, amalan kronisma dan macam-macam lagi semasa pemilihan parti mereka!

Sejak kekalahan mereka dalam PRU-13, pembangkang tidak henti-henti menyalahkan SPR. Mereka mengadakan road-show, himpunan haram dan lain-lain untuk menekan SPR. Mereka memberi label “Blackout 505” -kononnya berlaku penipuan dan pembohongan oleh SPR dalam mengendalikan PRU-13 dengan fitnah kononnya SPR mahu memenangkan Barisan Nasional!

Malah mereka sampai mahu mengadu kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Hussein Obama kononnya berlaku penipuan termasuk oleh SPR sehingga menyebabkan mereka kalah dalam PRU-13. Saya cukup pasti Obama akan bersetuju dengan saya yang pembangkang Malaysia ini memang sahih demo-crazy!!!

Terbaru, pembangkang mendesak supaya kesemua anggota SPR, terutamanya Pengerusi, meletak jawatan. Malah mereka mendesak supaya SPR diletakkan dibawah penguasaan dan penyeliaan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen yang akan diketuai pembangkang.

Persoalannya ialah adakah tuntutan ini wajar? Dan adakah Kerajaan patut akur dan tunduk kepada desakan pembangkang ini?

Untuk mengupas isu ini, kita wajib melihat sumber penubuhan dan fungsi, kuasa dan kedudukan institusi SPR itu sendiri.

Peruntukkan berkenaan penubuhan SPR dan perkara berkaitan dengan keahliannya dan perjalanan pilihanraya umum di Malaysia terkandung didalam Bab 8 Perlembagaan Persekutuan dalam Bab Pilihanraya.

Secara khusus, perkara berkaitan SPR dan institusinya terkandung didalam Artikel 114. Soal perlantikan, penggajian dan penamatan ahli SPR semuanya disebut didalam Artikel 114 yang mengandungi tujuh perkara.

PERLANTIKAN

Fasal (1) dan (2) Artikel 114 menyentuh tentang soal perlantikan ahli SPR.

Suruhanjaya Pilihanraya hendaklah dilantik olehYang DiPertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tiga ahli lain.

Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Yang DiPertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihanraya yang mendapat kepercayaan awam.

Jelas daripada peruntukkan diatas bahawa kuasa melantik ahli SPR adalah kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja!

Langsung tidak disebut berkenaan kuasa Parlimen untuk melantik mana-mana ahli SPR!

Jadi cadangan pembangkang untuk memberi kuasa kepada Parlimen untuk menentukan perlantikan ahli SPR bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, malahan ianya suatu cubaan rampasan kuasa keatas kuasa dan bidangkuasa Tuanku Yang DiPertuan Agong

Dalam ertikata lain, ianya suatu penderhakaan kepada Tuanku Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu!

Mengapakah kuasa perlantikan ahli SPR diberi secara khusus dan mutlak kepada Yang DiPertuan Agong dengan konsultasi bersama Raja-Raja Melayu tanpa langsung merujuk kepada Perdana Menteri, Kerajaan mahupun Parlimen?

Ini adalah kerana SPR adalah institusi yang akan mengendali, menyelia dan menjalankan pilihanraya yang akan menentukan sebuah Kerajaan bagi Malaysia. Dan ianya adalah Kerajaan yang bernaung dibawah kuasa Raja-Raja Melayu; kerana negara ini adalah dahulunya dikuasai oleh Raja-Raja Melayu.

Sudah barang pastilah penentuan pembentukan mana-mana Kerajaan bagi negara ini mesti mendapat perkenan Tuanku Raja-Raja Melayu. Dan untuk memastikan itulah maka kuasa melantik ahli SPR diberi secara mutlak kepada Tuanku Yang DiPertuan Agong setelah berunding dengan Raja-Raja Melayu yang lain!

Namanya pun KeRAJAan! Ianya adalah badan pentadbiran dibawah naungan dan kuasa RAJA. Ia bukan government saperti yang difahami barat -iaitu sekadar govern – mentadbir.

Di Malaysia ianya disebut KERAJAAN – pentadbiran negara dibawah naungan dan kedaultan RAJA-RAJA MELAYU.

Sebab itu semua urusan Kerajaan dibuat atas nama dan bagi pihak SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG ataupun URUSAN SERI PADUKA BAGINDA!

PENAMATAN / PEMECATAN

Fasal (3), (4) dan (4A) Artikel 114 Perlembagaan Persekutuan memberikan peruntukkan tentang penamatan khidmat atau pemecatan jawatan mana-mana ahli SPR.

Secara ringkasnya, seseorang ahli SPR hanya boleh tamat atau ditamatkan perkhidmatannya saperti berikut:

1. mencapai umur 65 tahun;

2. meletak jawatan dengan mengutus surat yang ditandatanganinya sendiri kepada Yang DiPertuan Agong;

3. hilang kelayakan dibawah fasal (4A) iaitu adalah seorang bankrap, bekerja makan gaji dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan bergaji diluar tugasnya, atau seorang ahli mana-mana Majlis Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

4. secara khusus kepada Pengerusi SPR, beliau akan hilang kelayakan sebagai Pengerusi jika menjadi ahli mana-mana pertubuhan atau badan, samada diperbadankan atau tidak, dan samada bergaji atau tidak (kecuali pertubuhan atau badan yang menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela yang berfaedah kepada masyarakat).

5. Dan tiada mana-mana ahli SPR boleh dipecat kecuali atas alasan-alasan dan dengan cara yang sama saperti seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Maknanya dalam soal pemecatan seorang ahli SPR, ianya disamatarafkan dengan status seorang Hakim Mahkamah Persekutuan!

Alasan serta prosedur pemecatan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan diperuntukkan didalam Artikel 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna seseorang ahli SPR hanya boleh diambil tindakan untuk dipecat jika beliau tidak berkeupayaan disebabkan kelemahan otak atau tubuh untuk menjalankan tugas sebagai ahli SPR.

Dan untuk tujuan itu, sebuah tribunal khas mengandungi tidak kurang daripada lima (5) orang Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi (termasuk Hakim daripada negara Komanwel) hendaklah dilantik oleh Yang DiPertuan Agong untuk membicarakan ahli SPR tersebut.

Dan Tribunal Khas tersebut, setelah menjalankan perbicaraan, hendaklah mengemukakan lapuran dan cadangan mereka kepada Yang DiPertuan Agong.

Dan hanya Yang DiPertuan Agong sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk menerima cadangan Tribunal itu dan memilih samada mahu memecat atau tidak ahli SPR tersebut!

Langsung tidak disebut kuasa Kerajaan atau Parlimen untuk menamatkan atau memecat mana-mana ahli SPR!

Sekali lagi kita bertanya persoalan mengapa dalam soal penamatan atau pemecatan mana-mana ahli SPR, ianya diberi khas kepada Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu?

Kerana SPR adalah institusi dibawah naungan Raja-Raja Melayu!

Jadi cadangan pembangkang untuk memberikan kuasa penamatan dan pemecatan mana-mana ahli SPR diletakkan dibawah kuasa Parlimen adalah satu cubaan rampasan kuasa Yang DiPertuan Agong!

Ianya adalah satu penderhakaan kepada Tuanku Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu!

PENGGAJIAN DAN SARAAN

Berkaitan soal saraan hidup dan penggajian ahli SPR, ianya diperuntukkan dibawah Fasal (5) dan (6) Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen hendaklah dengan undang-undang membuat peruntukkan bagi saraan ahli-ahli SPR, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang DiSatukan.

Saraan dan lain-lain syarat jawatan bagi seorang ahli SPR tidak boleh, selepas perlantikannya, dibuat apa-apa perubahan yang kurang baik baginya.

Ini sahaja satu-satunya peruntukkan dalam Perlembagaan yang menyebut tentang kuasa Parlimen berkaitan ahli dan institusi SPR – iaitu menentukan gaji ahli SPR!

Itupun gaji dan syarat perlantikan ahli SPR tidak boleh dikurangkan oleh Parlimen!

Kalau gaji pun tidak boleh dikurangkan, adakah logik tuntutan pembangkang untuk Parlimen diberi kuasa menyelia dan menentukan perlantikan, kedudukan dan penamatan seseorang ahli SPR.

Jangan kata memecat ahli SPR, kurangkan gaji mereka pun Parlimen secara sarih dan jelas dilarang sama sekali melakukannya!

Apakah maksud ini semua?

Ini bermakna Perlembagaan Persekutuan mahu memastikan kedudukan dan status seseorang ahli SPR adalah bebas sama sekali daripada Parlimen.

Tidak masuk akal bagi sebuah badan yang menentukan perjalanan pemilihan seseorang Ahli Parlimen tiba-tiba terpaksa tunduk kepada badan ahli Parlimen tersebut!!!

RUMUSAN

Malaysia telah melalui sistem Pilihanraya Umum sebanyak 13 kali. Sistem pilihanraya first-past-the post sudah dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya berpuluh tahun tanpa sebarang masalah.

Malah, sistem yang sama, institusi yang sama yang telah dilalui oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Daripada seorang politikus jalanan, sistem dan institusi yang sama menaikkan Anwar selama 16 tahun daripada jawatan Timbalan Menteri kepada Pemangku Perdana Menteri!

Selama 16 tahun Anwar Ibrahim menikmati hidup sebagai pemimpin UMNO menjawat pelbagai jawatan kanan didalam Kerajaan Malaysia melalui sistem dan institusi yang sama. Tidak pernah kita mendengar selama 16 tahun itu sepatah haram pun daripada Anwar mempertikai sistem pilihanraya mahupun institusi SPR!

Tetapi kenapa tiba-tiba, setelah dipecat oleh Tun Mahathir kerana akhlak rendah dan salahlaku seks luar tabi’e, dan setelah menyertai dan mengetuai pembangkang; tiba-tiba kedengaran suara sumbang mempertikai sistem pilihanraya kita dan institusi SPR?

Sebab itu saya ulangi sekali lagi.

Kita tidak ada masalah dengan sistem pilihanraya negara ini. Kita tidak ada masalah dengan institusi SPR yang mengendali dan melaksanakan pilihanraya kita selama ini.

Masalah sebenarnya ialah kerana kita mempunyai pembangkang yang tidak bertamadun. Kita punya pembangkang yangdemo-crazy!

Sebab itu saya berharap Kerajaan tidak tunduk kepada desakan dan tekanan pembangkang untuk meletakkan SPR dibawah seliaan Parlimen.

Ini adalah kerana meletakkan SPR dibawah institusi Parlimen bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malah ianya adalah satu penghinaan kepada Tuanku Yang DiPertuan Agong! Ianya adalah satu penderhakaan kepada Raja-Raja Melayu!

Saya mencadangkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan berikut:

1. mengklasifikasikan mana-mana orang atau pertubuhan yang terus-menerus mempertikai, memperlekeh dan menghina institusi dan ahli SPR sama saperti mempertikai, memperlekeh dan menghina Perlembagaan dan Yang DiPertuan Agong;

2. menjadikan tindakan atau perbuatan mana-mana orang atau pertubuhan yang mempertikai, memperlekeh dan menghina institusi dan mana-mana ahli SPR sama saperti penghinaan terhadap Mahkamah atau contempt of Court, dan boleh dikenakan tindakan penghinaan ataucontempt dihadapan mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi dengan hukuman berat!

3. mengenakan tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah, samada criminal defamation, hasutan jenayah atau dibawah mana-mana peruntukkan yang bersesuaian terhadap mana-mana individu atau pertubuhan yang mempertikai, memperlekeh atau menghina mana-mana ahli atau institusi SPR;

4. sekiranya individu yang terlibat adalah seorang anggota Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara), atau Ahli mana-mana Dewan Undangan Negeri, maka perbuatan mempertikai, memperlekeh dan menghina SPR atau mana-mana ahlinya sudah mencukupi sebagai suatu alasan untuk suatu prosiding dan tindakan melucutkan keahlian mereka diambil dengan segera;

5. memperkasakan institusi dan ahli SPR dengan membuat peruntukkan yang jelas didalam suatu undang-undang yang akan melindungi institusi dan mana-mana ahli SPR daripada terus menerus dicemuh, dihina, dipertikai dan diperlekeh oleh mana-mana individu dan pertubuhan;

6. memperkasakan institusi dan ahli SPR dengan membuat peruntukkan undang-undang yang memberi imuniti dan kekebalan kepada institusi dan ahli SPR sama saperti imuniti dan kekebalan yang diberikan kepada mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi dan Ahli Majlis Parlimen;

7. menggubal suatu peruntukkan sama saperti Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan iaitu bahawa apa-apa isu samada kelakuan, perbuatan atau tindakan institusi dan ahli SPR tidak boleh dibincangkan atau dibahaskan dalam mana-mana Majlis Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) atau mana-mana Majlis Dewan Undangan Negeri kecuali dengan suatu usul tersendiri dan notis mengenainya telah diberi oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen atau DUN tersebut;

8. memperkasakan SPR dengan penambahan peruntukkan yang mencukupi berserta penambahan pegawai dan kakitangan untuk menghadapi cabaran masakini;

9. menjadikan institusi SPR sebuah badan yang diletak secara langsung dan terus dibawah kuasa dan seliaan Majlis Raja-Raja Melayu dengan suatu peruntukkan perundangan yang jelas.
DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!

By: Zulkifli Noordin.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik