Thursday, June 27, 2013

MENGUJI KEMATANGAN AHLI PARLIMEN.

Wakil rakyat mesti manfaat Dewan untuk kesejahteraan negara 

Persidangan Parlimen Ke-13 bermula semalam. Ia adalah antara hari penting dalam kehidupan demokrasi berparlimen. Sesi pertama Parlimen semalam bermula dengan majlis pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan angkat sumpah taat setia semua 222 Ahli Dewan Rakyat. 

Yang Dipertua Dewan juga mengambil tanggungjawab besar untuk menjadikan Dewan Rakyat sebagai institusi yang bertanggungjawab memanifestasi inspirasi rakyat dan negara bagi mencapai matlamat 
demokrasi sebenar. 
Perbahasan perlu dilengkapi hujah konkrit dan kajian terperinci dan bukan hanya cakap atau hujah politik yang hanya mementingkan sentimen”

Ahli Dewan bersumpah untuk jujur menunaikan kewajipan sebagai Ahli Dewan, menumpahkan taat setia sebenar kepada negara dan memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan. Itulah tiga perkara penting yang perlu dilakukan oleh Ahli Dewan Rakyat yang mulia itu. 

Sungguh tinggi nilai sumpah taat setia kedua-dua komponen Dewan Rakyat, Yang Dipertua dan juga semua ahli.

Deklarasi atas kejujuran kepada mandat yang dipikul dan perakuan taat setia kepada negara serta tanggungjawab menjaga dan mempertahankan Perlembagaan cukup jelas. Dengan mandat diberikan rakyat, Ahli Dewan Rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab untuk negara, bukan hanya untuk pengundi atau penyokong parti politik yang mereka wakili. Satu lembaran baru dalam khidmat sebagai seorang wakil rakyat. 

Jelasnya Parlimen bukanlah institusi politik walaupun ia tidak terasing dan tidak berpisah daripada politik. Saya fikir perkara ini perlu jelas dalam minda semua Ahli Dewan Rakyat dan juga khalayak. Oleh itu suara politik di luar Parlimen tidak perlu diangkat ke dalam Parlimen yang mulia itu hanya semata-mata tujuan parti politik masing-masing. 
Impak kepada demokrasi

Bagi khalayak pula, kita perlu melihat tanggungjawab Ahli Dewan ini secara keseluruhan. Ahli Dewan adalah wakil rakyat Malaysia keseluruhannya, bukan hanya wakil rakyat kepada kawasan mereka. 

Oleh itu, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bukan perkara remeh atau perkara mudah. Kita perlu faham bahawa selepas melalui proses pilihan raya, mereka yang dipilih itu diangkat menjadi Parlimen yang kita kenali sebagai lambang kepada sistem Demokrasi Berparlimen yang kita terima dalam Perlembagaan Persekutuan, maka sudah tentu tanggungjawab Ahli Dewan juga perlu memberi impak kepada demokrasi.

Perlu kita mengambil perhatian bahawa, Ahli Dewan bukan semata-mata wakil rakyat. Ahli Yang Berhormat sebenarnya menduduki kerusi satu daripada tiga organ atau institusi kerajaan, iaitu Badan Perundangan. Mereka bertindak sebagai penggubal undang-undang bagi negara ini. Pada Parlimen itu terletak kuasa menggubal undang-undang seperti jelas disebut dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan. 

Sebagai menjalankan tanggungjawab besar ini, Ahli Dewan Rakyat hendaklah mengambil pendekatan mementingkan negara dan bukan parti politik yang diwakili saja. Kita tidak nafikan bahawa dalam konteks semasa Parlimen dan politik tidak dapat dibezakan. Namun, kita harus memulakannya di sini. 

Ketika berbahas dan berhujah kita mengharapkan Ahli Yang Berhormat memberi penekanan kepada kepentingan perbahasan terbabit, sama ada bagi tujuan penggubalan undang-undang, isu semasa atau polisi kerajaan. Perbahasan perlu dilengkapi hujah konkrit dan kajian terperinci dan bukan hanya cakap atau hujah politik yang hanya mementingkan sentimen bukannya kandungan. Jika kita mahukan budaya politik matang, Ahli Dewan perlu memulakannya sebagai pencetus dan juga pelopor.

Semak dan imbang

Dalam konteks demokrasi, Parlimen menjadi mekanisme semak dan imbang atas tindakan pihak eksekutif, terutama Jemaah Menteri. Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan tanggungjawab Parlimen mengenai perkara ini. Perkara 43(3) ini menyatakan Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen. Apabila Jemaah Menteri bertanggungjawab kepada Parlimen, maka Parlimen, menerusi Ahli Dewan Rakyat utamanya, hendaklah memastikan Jemaah Menteri melaksanakan tanggungjawab. 

Bagi melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang, Ahli Dewan hendaklah sedar tentang kepentingan bercakap atau berhujah di atas fakta. Walaupun hakikatnya mempunyai kebebasan dalam menyuarakan hujah dan pendapat, seperti kehendak Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan serta akta berkaitan, Ahli Dewan juga bertanggungjawab mendisiplinkan diri menggunakan ruang Dewan bagi tujuan kepentingan rakyat dan negara. 

Sebagai rakyat kita mengharapkan perbahasan lebih matang oleh Ahli Yang Berhormat pada sidang Parlimen kali ini.

By: Shamrahayu A. Aziz.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik