Wednesday, June 26, 2013

MISKIN BANDAR LEBIH TERUK.

MASALAH anak muda di bandar agak kurang disingkap secara teliti oleh sebahagian besar wakil rakyat. Seringkali andaian itu dan ini 'menerawang' akan keinginan sebenar yang dikehendaki golongan ini. Apa kemahuan anak muda bandar?

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari lebih senang menggunakan bidalan begini. "Biasanya kalau kita bawa kereta, mesti ada dua cermin yang penting. Satu, cermin besar di depan dan satu lagi cermin kecil di atas. Anak-anak muda ini telah sampai ke tahap cermin yang atas itu... cermin sejarah.

"Kalau kita tengok cermin di belakang, apakah maksudnya? Tetapi cermin itu kita kenalah tengok juga sekali-sekala, itu 'sejarah'. Tetapi apa yang di depan tu...cermin yang besar. Anak muda itu yang nak dilihatnya. Kalau kita cakap sejarah (cermin kecil di atas), mereka kata dah tengok cukuplah.

"Yang kat depan ini...harga barang, harga rumah serta program-program yang berfaedah untuk anak muda sama ada mereka dapat peluang pekerjaan atau tidak. Dalam kawasan Parlimen saya, apa yang peniaga mahu?

"Banyakkan gerai dinaik taraf, juga longkang, jalan raya ... ini perkara kecil tetapi besar bagi mereka. Ini adalah generasi internet. Sistem penyampaian kita melalui kerajaan sudah dianggap 'ketinggalan' bagi mereka," kata beliau dalam pertemuan dengan kami di pejabat pusat khidmat wakil rakyatnya di ibu negara baru-baru ini.

Generasi ini (orang muda), kata Ahmad Fauzi, telah melihat satu bangunan yang tinggi (Menara Berkembar Petronas) satu ketika dahulu. Tetapi berbeza dengan anak muda sekarang yang mahu melihat negara membina bangunan 300 tingkat.

"Kalau anda cakap hanya bangunan kepada mereka, mereka dah dapat 'tangkap' apa bentuknya kerana telah melihat 88 tingkat itu. Jadi, mesti ada perbezaan untuk menarik minat mereka...300... 400 tingkat apa pun, mesti ada perbezaan tentang bangunan yang telah mereka lihat.

"Mereka dah keluar daripada perbezaan itu, kalau anda (kerajaan) tak bagi beza dekat situ, dia (anak muda itu) tak (akan) nampak," kata beliau.

Ahmad Fauzi berkata, beliau pernah bertanyakan kepada anak-anak muda tentang apa yang mereka lihat dalam Kabinet (kerajaan).

Kata mereka: "Datuk! saya suka. Kenapa? Keseronokan anak muda ada pada Khairy Jamaludin Abu Bakar (Menteri Belia dan Sukan).

"Kepada mereka, Khairy itu 'pembaharuan'... bagi dia peluang, pengharapan. Dia (Khairy) jual pengharapan, saya jual fakta. Mana satu orang akan beli? Saya penonton bola sepak. Kau main tak betul, beri kasut bola Maradona pun main tak betul juga. Pengharapan dan keinginan (orang muda) untuk melakukan... mereka nak tengok begitu.

Ahmad Fauzi melihat isu utama yang dihadapi anak muda di bandar adalah isu perumahan mampu milik.

"Semenjak saya menjadi wakil rakyat pada 5 Mei (2013) lalu, tidak ada satu hari pun saya tidak menerima maklum balas daripada kalangan rakyat yang berkeinginankan rumah - sama ada disewa atau dibeli pada harga yang mampu dimiliki mereka.

"Tetapi saya tahu kekecewaan itu kerana difahamkan sudah ada lebih 35,000 permohonan yang layak untuk menduduki sistem perumahan dalam bandar raya KL ini. Tetapi, tidak boleh ditempatkan kerana kekangan tempat ini," kata beliau.

Bagi beliau, permintaan dan permohonan baharu dan lama untuk memiliki rumah masih belum dilihat untuk dijayakan.

"Macam kita wakil rakyat tertekan kerana kita tidak boleh membantu kerana tiada tempat (tanah untuk didirikan rumah mampu milik) di ibu negara.

"Kalau ada tempat, tidak bersesuaian pula dengan mereka kerana anak-anak bersekolah di sini dan sebagainya. Tetapi yang lebih ketara pada itu ialah tidak ada rumah untuk ditawarkan kepada mereka sekarang kerana saya difahamkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun mereka mempunyai 'simpanan' kepada unit-unit ini, tetapi unit-unit itu dikosongkan untuk persediaan kemungkinan bencana alam yang mana mangsa-mangsa bencana boleh dipindahkan ke unit berkenaan dengan cepat.

Ahmad Fauzi seterusnya menarik perhatian mengenai masalah utama di ibu kota. "Iaitu kos sara hidup yang tinggi, ditambah kehendak asas seperti rumah ini, kita tidak dapat capai. Dulu kita nak buat setinggan sifar, mungkin kita telah berjaya ke arah itu.

"Kita telah pindahkan melalui satu sistem Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA). Tetapi sekarang ialah keperluan rumah kecuali rumah-rumah pasangan yang baharu berkahwin. Ada yang sebuah rumah diduduki sehingga 11 orang kerana anak-anak yang berkahwin, menetap sekali bersama ibu bapa di situ," katanya.

Pernah beliau bertanyakan sebabnya. Jawapannya - mereka tidak mampu menyewa sehingga RM500 hingga RM600 sebulan.

"Kebanyakan duit pasangan yang baharu berkahwin 'pergi' (dihabiskan) kepada rumah. "Kalau mereka ada gaji RM1,500 sebulan, kalau tidak dapat sewa dengan DBKL, terpaksalah habiskan menyewa sesebuah rumah antara RM500 hingga RM600 sebulan. Itu belum termasuk kos elektrik dan air," katanya.

Jadi, di mana jalan penyelesaiannya? "Jalan penyelesaiannya ialah tanah-tanah milik kerajaan dalam Wilayah Persekutuan ini terutama dalam kawasan Parlimen saya, kalau masih ada (tanah), mestilah dijuruskan kepada perumahan mampu milik.

"Takrifan rumah mampu milik di bawah paras harga RM300,000, pada saya masih tinggi. Sistem rumah sewa jual RM124 sebulan ini pun masih ramai yang tak mampu nak bayar, inikan pula rumah berharga sehingga RM300,000.

"Takrifan rumah mampu milik bagi bandar ini walaupun saya tahu kekangan disebabkan tanah ini, kita mesti sedaya upaya kena cari jalan. Mungkin boleh dibangunkan semula tempat-tempat ini, dinaikkan semula rumah dan sebagainya.

"Kalau dulu ada rumah dua, tiga hingga lima tingkat dibangunkan semula, kini harganya naik mendadak, tinggi semuanya.

Ahmad Fauzi berkata, di Setiawangsa misalnya terdapat empat PPR iaitu Desa Rejang, Semarak, Sungai Bonus dan Kampung Baru Air Panas.

"Saya difahamkan lebih 80,000 unit di situ yang pada takrifan kita dalam 40,000 hingga 50,000 orang tinggal dalam sistem ini.

"Di sinilah kesusahan bandar yang kita boleh lihat. Yang bekerja, sakit kronik semuanya boleh dilihat dalam sistem ini. Masalah lif dan penyelenggaraan yang teruk. Saya baharu melawat ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, lif tak berfungsi dan terpaksa naik tangga ke tingkat lebih tinggi.

"Penyelenggaraan tak kemas, masalah parkir cukup ketara. Saya difahamkan oleh pihak DBKL mengenai PPR ini, empat unit bersamaan satu petak parkir kereta. Tetapi kita lihat sekarang, kadang-kadang satu unit sampai dua, tiga kereta pun ada," katanya.

Pembinaan sesuatu PPR, kata Ahmad Fauzi, perlu difikirkan untuk jangka masa panjang. "Takrifan miskin ini sudah berbeza. Apa yang dianggap mewah, itu bukan lagi sekarang. Pakai kereta dimengertikan suatu kemewahan atau kereta itu menjadi suatu keperluan sekarang?

Maka, takrifan miskin mestilah berbeza dengan cara menangani kemiskinan dalam bandar yang juga berbeza dengan luar bandar.

"Itu pasal saya nak lihat Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan lagi sekadar satu jabatan, tapi satu hari nanti diwujudkan sebuah kementerian khusus," kata Ahmad Fauzi.

By: Zulkifli Jalil.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik