Sunday, June 2, 2013

PEMBANGUNAN YANG RAKYAT MAHU.

By: Norden Mohamed.

Sudah tiga minggu PRU13 berlalu. Setakat artikel ini ditulis, semua negeri sudah selesai menamakan barisan exco dan mengangkat sumpah, kecuali Selangor.

Semua kerajaan negeri yang terpilih sedang merangka dan mula memikul tanggungjawab majukan negeri masing-masing.

Suasana yang semakin tenang disulami dengan himpunan Blackout 505. Walau apa pun debat yang dikemukakan, tempoh petisyen pilihanraya telahpun bermula.

Mudah-mudahan, gelanggang hujah akan berpindah daripada tempat terbuka ke dalam mahkamah. Rakyat telah putuskan pihak manakah yang popular. Namun, sistem demokrasi di negara ini pula sudah menggariskan pihak manakah yang selayaknya memerintah.

Bila majoriti kerusi Dun di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dimenangi Pakatan Rakyat, ia adalah isyarat yang pasti bahawa rakyat di negeri-negeri tersebut sudah yakin dengan pilihan mereka. 

Khususnya untuk Pulau Pinang dan Selangor, mereka tidak bermaksud untuk bertukar selera sekadar hendak cuba-cuba seperti ketika mengundi pada PRU12 dahulu. Tetapi mereka secara jitu mahu PR menjadi pemerintah mereka.

Bagi negeri-negeri yang secara jelas mahukan BN semula seperti Kedah dan Perak atau negeri-negeri lain yang kekal di bawah BN, itu juga adalah keputusan rakyat.

Secara keseluruhannya, ALLAH SWT yang telah menggerakkan hati-hati manusia untuk memilih kerajaan yang dikehendakiNYA.

Justeru itu, jangan buang masa lagi. Kita kena bergerak ke hadapan, memikirkan bagaimana hendak memajukan negeri dan negara. Pertelingkahan dan polemik yang retorik hanya membuang tenaga.

Andainya kita asyik bertelagah sesama sendiri, kita tidak akan menjadi gagah di mata dunia. Kita tidak akan dipilih menjadi contoh dan rujukan negara lain dalam pelbagai bidang yang kita terokai. Dan, kita tidak akan memenangi mana-mana perlumbaan di peringkat dunia yang jauh lebih mendebar dan mencabar.

Dalam pada itu, BN yang diberi kepercayaan memerintah negara seharusnya sudah dapat menterjemah kehendak rakyat. Hakikat bahawa sokongan rakyat kepada BN di luar bandar dan juga sebahagian daripada rakyat bandar adalah kerana agenda pembangunannya.

Tetapi, pembangunan apa? Dengan lebih 200 program 1Malaysia yang dilancar dan dilaksanakan, ia sememangnya memberi manfaat kepada rakyat. Namun, ia berpaksi kepada pembangunan material, iaitu wang dan benda. BN, yang cekap mengurus ekonomi negara mampu memberi dan membangunkan apa sahaja.

Namun, pembangunan material semata-mata tidak mencukupi walau berapa banyak ia diberi dan ditabur. Seperti seorang ayah yang kaya memberi wang dan menyediakan apa sahaja yang diinginkan oleh si anak, walaupun berapa banyak pun yang diberi, jiwa mereka tidak dapat dibeli. Bila-bila masa sahaja dia akan berpaling arah.

Ini adalah kerana, pembangunan material hanya satu komponen daripada pembangunan manusia. Ia hanya melahirkan keseronokan, tetapi tidak membahagiakan.

Seharusnya, satu lagi komponen pembangunan, iaitu pembangunan intelektual turut diberi. Rakyat yang dibangunkan melalui pendidikan sudah pandai-pandai belaka.

Mereka mahu bertanya. Jika mereka tidak menemui jawapan, mereka akan mempersoal pula. Mereka sudah menjadi masyarakat madani. Nilai-nilai seperti keadilan sosial, ketelusan, ketulusan, kesaksamaan atau kesamarataan harus dibicarakan dengan terbuka.

Dialog, debat dan wacana perlu digalakkan supaya pembangunan intelektual yang didahagakan rakyat dapat dilayani. Membangunkan intelektual masyarakat secara akademik semata-mata tidak mencukupi.

Bukalah ruang kepada rakyat untuk bercakap dan melaung sampai pecah anak tekak asalkan mereka tidak bertembung secara fizikal. Ia sebenarnya adalah satu bentuk makanan yang diperlukan untuk mengintelektualkan masyarakat.  

Satu lagi komponen pembangunan manusia iaitu pembangunan spiritual juga memang diperlukan. Menyediakan masjid tidak mencukupi dan memadai.

Mewujudkan sekolah agama, tahfiz serta kolej dan universiti belum tentu dapat membangun jiwa mereka. Jika pembangunan material dapat dilihat, pembangunan intelektual pula dapat dihidupkan dengan penglibatan rakyat, pembangunan spiritual pula memerlukan para pemimpin sendiri mempamerkannya.

Pemimpin yang menjadi kebanggaan rakyat adalah pemimpin yang tegas, berani dan berketrampilan hebat. Pada waktu yang sama, dia juga disayangi dan dihormati rakyat kerana tawaduknya.

Di atas pentas, dia berpidato dengan tangan yang terjulang, di atas sejadah dia berdoa dengan tangan yang menadah. Dari jauh, dialah pemimpin yang harus bergerak di hadapan. Bila dekat, dialah pemimpin yang akan duduk bersentuh lutut dengan rakyatnya.

BN belum dapat menterjemah pembangunan intelektual dan pembangunan spiritual seperti yang diingini oleh rakyat. Sebaliknya, PR pula handal dalam kedua-dua aspek ini.

Bagaimana pun, PR pula belum pandai menterjemah pembangunan material. Kelembabapan membangun atau menyenggara prasarana masih belum dapat diurus dengan cekap. Mereka harus belajar mengurus pembangunan material daripada BN pula.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik