Friday, June 28, 2013

PENDIDIKAN RAKYAT DIUTAMAKAN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah menipu rakyat dalam soal pendidikan sebaliknya sentiasa komited memberikan tahap pendidikan terbaik kepada semua rakyat pelbagai kaum termasuk kaum India.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan yang melulu antaranya tuduhan bahawa kerajaan tidak menepati janji dalam menawarkan 1,500 tempat kepada pelajar kaum India melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat matrikulasi.

Tegas beliau, kerajaan sehingga hari ini tetap memegang janji tersebut dan sebagai bukti pada tahun lalu serta tahun ini, jumlah kuota pelajar India ke matrikulasi telah pun dipenuhi.

''Inilah komitmen yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kami di Kementerian Pendidikan. Kita penuhi tuntutan 1,500 tempat untuk pelajar-pelajar India melanjutkan pelajaran ke pusat matrikulasi pada tahun ini dan tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Kulasegaran berkata, kuota tersebut tidak memberi faedah kepada pelajar kaum India.

Menyentuh isu sama, Muhyiddin turut menjelaskan, jumlah 1,500 tempat itu dibuat selepas tapisan daripada beberapa ribu pelajar India yang membuat permohonan sama untuk ke pusat-pusat matrikulasi.

''Daripada sejumlah beberapa ribu pelajar yang memohon untuk masuk ke matrikulasi kita tapis dan sebahagiannya tidak memenuhi kriteria.

''Dari segi peratusan kelayakan, kita terpaksa turunkan sedikit kerana ada kuota dan kita juga mahu penuhi janji meskipun mereka tidaklah begitu berkelayakan dari segi tahap kompetensi mereka," ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) Muhyiddin berkata, isu pendidikan merupakan isu yang amat utama kerana perkara itu melibatkan kemajuan generasi akan datang.

Beliau berkata, kerajaan sejak dahulu lagi begitu komited menjadikan sistem pendidikan negara sebagai sistem terbaik, sekali gus mampu melahirkan kumpulan sumber manusia yang baik.

''Sebab itu apabila dilihat dari sudut belanjawan negara, lebih 21 peratus daripadanya diluluskan untuk sektor pendidikan dengan melibatkan satu jumlah yang besar.

''Namun peruntukan sahaja tidak memadai. Kita perlu memenuhi tuntutan masyarakat yang mahu sistem pendidikan yang bermutu dan berimpak besar. Sebab itu kita membuat kajian-kajian dan beberapa laporan telah pun dibentang untuk menambah baik sistem pendidikan negara," ujarnya.

Persoalan sama ada wujud kehendak politik bagi memajukan sistem pendidikan negara Muhyiddin berkata, seharusnya isu itu tidak perlu dibangkitkan.

''Pimpinan dahulu dan sekarang sentiasa memberi perhatian besar kepada bidang pelajaran. Selain memberi peruntukan besar, kita juga sentiasa berusaha membuat penambahbaikan terhadap bidang ini sepanjang masa," katanya.

Menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), beliau berkata, tiada kerajaan di dunia ini yang menyediakan sejumlah RM42 bilion pinjaman untuk anak- anak melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi kerana keluarga tidak berkemampuan.

''Ini merupakan komitmen luar biasa yang telah kita laksanakan. Sekiranya ada kekangan pembayaran balik, kita tetap akan ambil kira. Sebab itu terdapat beberapa kelonggaran bagi membolehkan pelajar-pelajar yang telah tamat pengajian membuat pembayaran balik tanpa ada bebanan," ujarnya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Abdul Aziz, Muhyiddin berkata, penggabungan antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan membolehkan pihak kementerian menyelaras dan memperhalusi kedua-dua pelan pendidikan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2020.

Selain itu, katanya, penggabungan itu juga akan dapat memberi peluang kementerian membuat penambahbaikan dan penjajaran yang lebih komprehensif dengan memberi penekanan terhadap lima perkara utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

By: Saifulizam Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik