Sunday, June 23, 2013

PENTINGNYA ILMU MENGURUS DIRI.

Al-Quran memberi pedoman manusia dijadikan untuk melakukan ibadah dan berperanan sebagai khalifah di muka bumi.

Konsep ibadah dalam erti kata luas tidak saja merujuk kepada ibadah khusus yang sifatnya rohaniah tetapi ibadah umum yang terhubung dengan cara hidup.

Konsep kekhalifahan tidak saja terbatas dalam kepimpinan tinggi tetapi juga kepimpinan keluarga, sistem dan masyarakat dan juga diri.

Kepimpinan diri adalah sesuatu yang amat utama sebelum menjadi pemimpin keluarga, masyarakat apa lagi negara dan ummah.

Dalam konteks ilmu, Islam tidak membataskan ilmu itu dalam konteks ilmu tauhid, ibadat, syariat, feqah dan akhlak, tetapi asas rohaniah dan amaliah ini sangat penting bagi membentuk dan mengurus diri.

Tanpa ilmu mengurus diri, manusia membentuk diri dengan pengaruh genetik dan persekitaran.

Ilmu mengurus diri terkait langsung dengan persoalan aqidah yang memberikan asas kesatuan hubungan dengan ALLAH membentuk tasawwur.

Tasawwur ini sangat penting apabila faktor ilmu ibadah terbina, syariat terjalin dan akhlak menjadi natijah akhir kehidupan.

Faktor akliah perlu dibangunkan. Akal menjana ilmu dan mengembangkan pemikiran. Tanpa ilmu kehidupan tanpa suluh dan manusia dalam kegelapan dan meraba-raba untuk mencari kebenaran.

Ilmu yang sifatnya zahiri akan hanya melihat sesuatu di sekitarnya saja. Ilmu yang batini menghubungkan yang nampak dengan ghaib memberikan interaksi antara akal dan naqal (wahyu).

Ia bakal membentuk tasawwur yang sepadu. Ia menyebabkan sesuatu itu berada dalam satu kesatuan (wahdah). Inilah watak diri yang tauhidik.

Diri yang tauhidik terhubung dengan proses tazkiyyah an nafs (pembersihan dan pengukuhan diri). Faktor diri dalam al-Quran merujuk kepada nafs iaitu diri atau rijal.

Faktor utama diri mengikut Rasulullah SAW ialah hati. Hadith Rasulullah SAW memberi asas. Dalam diri kamu ada seketul daging. Baik daging itu baiklah sahsiah dirimu. Itu disebut sebagai hati.

Membangun sahsiah tidak sekadar menumpu kepada seketul daging tetapi ruh yang bersama dengan daging itu menghidupkan jiwa, perasaan, emosi dan hati.

Kehalusan hati yang sifatnya ruhhiy mampu menjadikan jiwa tenang, emosi stabil dan terkawal, hati tulus dan telus. Apabila faktor hati diterjemah dalam bentuk amal ia menghasilkan amal soleh.

Hati yang telus dan tulus diperkukuhkan oleh ibadah, solat umpamanya membangun jiwa rukuk dan sujud. Jiwa rukuk dan sujud mencetuskan jiwa kehambaan yang tinggi- mendidik hati menjadi patuh, taat, akur dan tunduk.

Jiwa tauhidik yang dimiliki oleh manusia menyebabkan jiwa kehambaan terjadi. Apabila solat mengukuh jiwa kehambaan, syariat menjadi batas dan pengikat tingkah-laku manusia kerana manusia inginkan akhlak karimah. Rasulullah SAW adalah qudwah atau contoh terbaik dijadikan sumber ikutan berasaskan sirah dan sunnahnya sehingga terbentuklah peribadi Qurani yang dimilikinya.

Oleh itu amat penting diri terbangun dengan aqidah tauhid yang sifatnya merentasi, dihubungkan dengan ibadah yang menyuburkan lagi jiwa kehambaan tinggi, faktor syariah yang sifatnya memandu dan mempedoman kehidupan manusia mengarah kepada pekerti mulia supaya diri tercermin sebagai model contoh yang mampu diteladani.

Sebab itu ilmu mengurus diri tidak sekadar memberi fokus kepada pembangunan akal iaitu ilmu, tetapi bagaimana ilmu yang benar dan bermanfaat mencetuskan akal-budi tinggi hingga hati menjadi hebat kerana adanya resapan ilmu yang benar dan bermanfaat.

Resapan ilmu yang benar dan bermanfaat ini menjadikan hati itu hidup dan tidak mati. Hati yang mati tidak terhubung dengan ALLAH lalu perbuatan dirinya sering bercanggah dengan maksud aqidah, ibadah dan syariah.

Hati yang hidup ialah hati yang respons kepada ALLAH, kepada kehidupan dengan melakukan amal soleh dan kebaikan dan sentiasa berada dalam keadaan tenang (sakinah) kerana menyakini dirinya adalah milik ALLAH dan seluruh amal ibadah dalam hidupnya bakal kembali kepada ALLAH.

Inilah jiwa mardhatillah yang amat dituntut oleh Islam supaya rahmah dan ni’mah yang dikurniakan ALLAH diredai setulus hati, cabaran yang datang daripada ALLAH, dilalui seikhlas hati dan perginya kita menghadap Pencipta nanti adalah dalam suasana reda dan meredakan.

By: Sidek Baba.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik