Wednesday, June 5, 2013

PERANAN INSTITUSI RAJA.

SEJAK kebelakangan ini, pelbagai kontroversi telah melanda khususnya ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang baharu berlalu dengan memberi kesan cukup mendalam kepada masyarakat berbilang kaum.

Walaupun kaitannya lebih cenderong kepada aspek politik tanah air, kontroversi tercetus ternyata boleh meninggalkan 'parut' yang sukar untuk dihilangkan begitu sahaja.

Lebih membimbangkan ia boleh menjadi ancaman atau mewujudkan budaya negatif dalam kalangan generasi masa kini apabila kedudukan Raja-Raja Melayu turut diheret dalam kancah politik sehingga terpaksa membawa kepada campur tangan pihak berkuasa.

Penggunaan media sosial secara meluas di negara ini seperti 'facebook', portal dan laman blog turut membawa 'trend' atau budaya baharu kepada segelintir individu dan pihak tertentu yang menyalahgunakan kemudahan terkini itu, sama ada untuk mempertikai atau menghina Institusi Raja.

Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat yang cintakan negara mengenai tabiat buruk tersebut kerana bidang kuasa Raja-Raja Melayu cukup luas serta menjadi lambang pemerintahan negara ini berteraskan Perlembagaan Malaysia.

Persoalannya, apakah zaman sudah berubah, generasi masa kini sudah tidak mempunyai kesedaran tentang pentingnya Institusi Raja di negara ini? Kenapa sejak akhir-akhir ini, semakin ramai berani melemparkan pelbagai tuduhan dan penghinaan berbanding masyarakat terdahulu yang cukup menyanjung tinggi kedudukan Raja-Raja Melayu?

Justeru memandangkan fenomena tersebut yang semakin meruncing, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Institusi Raja (SIRaj) 2013 yang yang diadakan di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga esok (5 Jun hingga 6 Jun).

Sudah pasti ia menarik tumpuan masyarakat pelbagai peringkat khususnya generasi muda untuk menghayati pentingnya peranan Raja-Raja Melayu dalam amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, walaupun universiti berkenaan merupakan intitusi pengajian tinggi (IPT) kejuruteraan, peranannya dalam membentuk sahsiah masyarakat tetap menjadi agenda utama melalui pelbagai program yang diatur sejak kebelakangan ini.

"Memang UniMAP universiti kejuruteraan tetapi peranannya dalam menjalankan tanggung jawab sosial perlu dilaksanakan khususnya dalam membangunkan insan terpelajar tetapi mempunyai peribadi murni," tambah beliau dalam wawancara khas sempena SIRaj 2013 pejabatnya di Kampus Induk UniMAP, Arau, Perlis baru-baru ini.

Menurut Kamarudin, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan seminar berkenaan atas kesedaran bahawa ramai di kalangan anggota masyarakat khususnya generasi muda kurang mendapat maklumat terperinci mengenai Institusi Raja dan peranannya dalam menjana kemakmuran negara.

"Ramai mungkin tidak mengetahui perkembangan sejarah Raja-Raja atau Kesultanan Melayu bermula sejak dahulu sehingga ke hari ini.

"Mungkin ini antara faktor menyebabkan mereka tidak meletakkan Raja-Raja Melayu di kedudukan tinggi sehingga sanggup mencerca dan menghina sistem pemerintahan beraja, budaya yang perlu diperbetulkan supaya keharmonian dikecapi sekarang berkekalan," tambah beliau.

Sehubungan itu, kata Kamarudin, UniMAP menerusi pembentukan Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) yang dilancarkan baru-baru ini akan memastikan agenda mempertahan dan memartabatkan Institusi Raja diutamakan.

Dengan menyasarkan lebih 400 peserta termasuk pelajar dan kakitangan IPT, anggota pasukan keselamatan dan beruniform serta pegawai kerajaan, korporat dan swasta, SIRaj 2013 menampilkan pihak istana, pakar-pakar sejarah dan cendekiawan untuk membentangkan kertas kerja berkaitan Institusi Raja.

"SIRaj 2013 dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menghimpunkan pelbagai bentuk maklumat penting tentang Institusi Raja di negara ini selain membincangkan mengenai hal ehwal negara-negara yang turut bersistemkan pemerintahan beraja seperti Thailand, Brunei, Kemboja dan sebagainya.

Mencuri tumpuan tentulah kehadiran Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan menyampaikan titah ucaptama dalam seminar tersebut.

"Lain-lain pembentang kertas kerja termasuk Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria; pakar sejarah yang terdiri daripada Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling serta bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot.

Jelas Kamarudin, seminar tersebut merupakan permulaan kepada program anjuran UniMAP melalui pusat berkenaan yang merancang untuk mengatur lebih banyak agenda berkaitan Institusi Raja.

"Mengenai penubuhan PKIRM yang diketuai oleh Ramlah, selain mempunyai tujuan untuk menyimpan pelbagai maklumat dan sejarah mengenai Raja, ia bertujuan untuk:

n Menjadi satu tempat khusus untuk mengkaji hal ehwal berkaitan Institusi Raja sebagai satu institusi istimewa alam sistem pentadbiran Malaysia.

n Melahirkan satu pusat dokumentasi atau data bank bagi Institysi Raja Malaysia yang tekah wujud 11 Masehi, namun maklumat mengenai institusi ini masih bertaburan dan tidak kemas kini.

n Memberi kefahaman yang jelasdan relevan serta membekalkan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat tentang peranan, kedudukan dan sumbangan Institusi Raja supaya rakyat akan terus mendokong dan mendaulatkan Raja Berpelembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

n Meletakkan martabat yang tinggi terhadap Institusi Raja dalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara dan negeri dengan menyediakan modul kursus dan latihan tentang protokol, adat istiadat, prosedur dan lain-lain hal berkaitan Institusi Raja.

n Menyebarkan ilmu pengetahuan dan kefahaman mengenai Institusi Raja melalui penerbitan akademik, separa akademik atau popular tentang Institusi Raja bagi melestarikan kepentingan Institusi Raja Malaysia.

n Menjalankan kerjasama dengan mana-mana pusat kajian Institusi Raja antarabangsa bagi memperkukuhkan kewibawaan Institusi Raja Malaysia di mata dunia.

Kamaruddin berkata, menerusi SIRaj 2013 yang merupakan program pertama PKIRM, ia dijangka membawa perubahan besar terhadap Institusi Raja khususnya dalam menyedarkan generasi masa kini supaya menghormati Raja.

Dengan matlamat itu, harapan tinggi diletakkan ke atas SIRaj 2013 supaya menjadi perintis ke arah negara maju dan makmur di bawah payung Raja-Raja sebagai tonggak atau lambang pemerintahan Malaysia yang berdaulat.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik