Wednesday, June 5, 2013

PERANGI RASUAH, PENERIAM JUGA PEMBERI.

by: Johan Jaaffar.
  
Tidak ada satu perkara yang lebih dibenci oleh rakyat hari ini selain daripada rasuah. Rasuah menjadi modal bualan dan isu panas dalam pilihan raya. Persepsi bahawa pemimpin dan penjawat awam mengamalkan rasuah berleluasa di negara ini. Walaupun banyak tuduhan terhadap mereka itu tidak berasas dan berniat jahat tetapi di fikiran sebahagian besar rakyat, semuanya dianggap sahih. 

Perang membasmi rasuah tidak boleh dibuat separuh jalan. Atau sekadar melepaskan batok di tangga. Ini merupakan jihad pemimpin dan rakyat. Sebarang usaha untuk memerangi rasuah mesti dilakukan tanpa memilih bulu dan was-was. 
Saya cenderung untuk melihat ke Indonesia dalam konteks memerangi rasuah. Memang benar satu masa dulu rasuah di negara itu menjadi kronik. Seorang wartawan terkenal Indonesia Mokhtar Lubis menganggarkan ‘kebocoran’ akibat rasuah di Indonesia sejak tahun 1980-an mencecah 30 peratus. Malah Indonesia dianggap salah sebuah negara paling korup di dunia. Bagaimanapun sejak kebelakangan, hal ini ternyata sudah berubah. Kebencian rakyat terhadap rasuah memuncak di Indonesia, sebahagiannya kerana keterbukaan media dan gerakan massa yang menyokong usaha membanteras rasuah. 

Ambil sahaja contoh usaha mendirikan ibu pejabat baharu Komisi Pemberantasan Korupsi atau KPK. Apabila Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) keberatan membiayainya, rakyat Indonesia bangun mengumpulkan dana bagi mendirikan ibu pejabat baru itu. Persatuan Penjaja Jalanan Indonesia (PPKLI) misalnya menggesa 54 juta ahlinya menderma Rp1,000 (35 sen) seorang untuk tujuan itu. 

Sumbangan basmi rasuah 

“Koin untuk KPK” menjadi gerakan massa yang hebat. Rakyat kecil Indonesia menganggap mereka perlu menyumbang kepada usaha membasmi rasuah. Rakyat menunjukkan kuasa sebenar mereka. Sumbangan mencurah-curah masuk. Tidak cukup dengan itu, ada juga gerakan untuk mengumpulkan sejuta batu bata bagi membantu mendirikan ibu pejabat KPK. 

Gerakan massa yang unik ini dikenal sebagai ‘Koalisi Masyarakat Sipil Koin untuk KPK’ dan ‘Gerakan Rakyat Peduli KPK.’ Mesejnya jelas, KPK mendapat sokongan rakyat. Perkataan ‘peduli’ itu maksudnya mengambil endah, mengambil tahu atau ‘concern’. Tidak cukup dengan itu, anak-anak muda Indonesia memakai kemeja-T yang jelas menunjukkan kebencian terhadap rasuah. “Sang Koruptor – Apa Agama Kamu?” dan “Jalan Pantas Ke Neraka – Jadi Koruptor” adalah antara yang paling popular. 
Sejak kebelakangan ini banyak pimpinan politik Indonesia yang dibawa ke muka pengadilan. Siasatan KPK tidak memandang bulu mendapat pujian orang ramai. Banyak kes berprofil tinggi yang sebenarnya disiasat oleh KPK. 

KPK siasat banyak kes 

Imej baharu KPK memang cukup baik di kalangan rakyat Indonesia. Sejak agensi itu beroperasi sebagai KPK pada tahun 2003 ia telah menyiasat banyak kes. Daripada segi statistik, kejayaan KPK dalam pendakwaan kes yang membabitkan perolehan kerajaan dan belanjawan adalah 100 peratus. Beberapa tokoh terkenal Indonesia – lelaki dan perempuan – telah disiasat, diadili dan dijatuhi hukuman setimpal. Salah seorang tokoh berprofil tinggi yang disiasat dan di dakwa ialah bekas Menteri Sukan, Andi Mallarangeng. 

Perlu diingat, KPK mempunyai rekod yang kurang baik sebelum itu. Ada beberapa kes yang membabitkan pegawai tertingginya. Malah dalam satu kes, terdapat pegawai tertinggi yang bersekongkol bagi menjatuhkan nama baik pengerusi KPK sendiri, Antasari Azhar. Tetapi KPK kini berjaya memulihkan imej itu. 

Sokongan massa tidak sahaja dilihat dalam usaha mengumpulkan koin tetapi juga peranan yang dimainkan oleh media dan penulis bebas. Salah sebuah koleksi rencana yang terbit dua tahun yang lalu ialah Korupsi Yang Memiskinkan yang disunting oleh Maria Hartiningsih. Buku ini mengandungi rencana yang menyentuh pelbagai isu. Sasarannya ialah bagi memperingatkan rakyat Indonesia bahawa rasuah ‘mensabotaj hak rakyat untuk hidup sejahtera.’ Secara terus terang penulis-penulisnya membongkar keburukan yang berlaku akibat rasuah dan bagaimana hak rakyat dinafikan oleh penerima rasuah. 

Buku ini juga membawa mesej yang jelas: Rasuah dan kemiskinan adalah dua muka pada kepingan siling yang sama. Kedua-duanya merupakan musuh terbesar yang harus diperangi. Tanpa ditangani dengan berani dan cekap, rakyat akan terus tinggal miskin kerana peruntukan untuk mereka ‘dirampok’ oleh pengkhianat. 

Hanya dengan komitmen untuk membanteras rasuah, barulah keadilan sosial akan berlaku dan ketidakseimbangan ekonomi dapat ditangani. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diberikan taring secukupnya untuk memerangi rasuah. SPRM harus menjalankan tugasnya secara profesional. Banyak cadangan telah dikemukakan bagi memperbaiki tadbir urus dan pendekatannya. Ini masa yang terbaik untuk SPRM membuktikan bahawa ia sebenarnya badan bebas dan berintegriti. Perasuah, siapapun mereka – jerung atau bilis – ialah musuh rakyat nombor satu. 

SPRM – bertindaklah! Rakyat akan menyokong.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik