Sunday, June 23, 2013

PERBEZAAN ANTARA TURKEY ANWAR.

KETEGASAN kepimpinan Turki terhadap peserta demonstrasi dilihat antara jalan terbaik bagi kerajaan menangani masalah yang timbul tetapi situasi berbeza dilihat berlaku di Malaysia di mana kerajaan dilihat lebih bertolak ansur.

DARI demonstrasi yang dikatakan bermula secara aman keadaan di Turki kini dilihat semakin tegang. Malah dalam kenyataan terbaru pihak kerajaan tidak menolak kemungkinan akan mengerahkan pihak tentera bagi menangani konflik di negara berkenaan.

Dalam soal ini, strategi yang digunakan oleh Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam menangani krisis tunjuk perasaan Turki boleh ditakrifkan sebagai agak keras dan keterlaluan kerana kekuatan organisasi keselamatan terutama polis telah digunakan secara maksimum untuk menahan dan mengekang mereka yang terlibat. Tetapi masalah penggunaan kaedah yang keras untuk menghadapi kumpulan tunjuk perasaan dalam saiz yang besar akan hanya berjaya buat seketika sahaja.

Walaupun pihak polis berjaya mengosongkan tempat tumpuan penunjuk perasaan iaitu di Dataran Taksim dan juga Taman Gezi, masalah baru telah timbul iaitu protes tersebut telah menjalar ke bandar lain seperti Ankara yang sebelum ini agak bebas dari sindrom protes yang lebih banyak berkisar di Istanbul. Keadaan di Turki masih boleh di kawal tetapi amat bergantung kepada bagaimana Erdogan meneruskan kaedah mengekang mengawal protes.

Tentangan terhadap rancangan pembangunan yang terletak di Taman Gezi hanyalah pemangkin kepada permulaan protes terhadap kerajaan Erdogan yang memerintah Turki secara ala diktator selama satu dekad. Memang benar pertembungan ini adalah di antara pihak Islam yang diterajui oleh kerajaan Erdogan melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) dan pihak sekular/liberal yang menjadi dalang protes iaitu Parti Rakyat Republikan (CHP). Sejak menerajui kerajaan pada tahun 2002, Erdogan cuba menerapkan cara hidup Islam kepada rakyat Turki yang sebelum ini begitu selesa dengan gaya hidup liberal yang lebih mirip kepada pengaruh Barat. Masalahnya ialah Erdogan tidak mahu langsung bertolak ansur terhadap mereka yang menentang dan menolak dari mendengar suara-suara bantahan.

Memang agak mendukacitakan dengan apa yang berlaku di Turki yang dianggap sebagai negara Islam moden dan progresif yang boleh dijadikan model untuk negara islam lain yang sentiasa bergolak. Erdogan telah berjaya membawa Turki kepada suasana ekonomi jauh lebih makmur dan ketika pemerintahan beliau jumlah rakyat dari golongan kelas menengah meningkat dengan begitu mendadak. Begitu juga Erdogan cuba menjadikan Islam sebagai cara hidup bertentangan dengan sebelum ini yang lebih mirip kepada cara hidup Barat.

Masalahnya adalah pendekatan yang digunakan oleh Erdogan agak terlampau keras kerana walaupun wujud sedikit bentuk bantahan akan dibalas oleh beliau dengan hukuman maksimum. Turki mampu menjadi perantara kepada dunia barat dan Islam tetapi malapetaka yang sedang melanda bakal melenyapkan segala kelebihan yang dimiliki sebelum ini dan ia merupakan kerugian yang besar kepada dunia Islam.

Kecenderungan Turki kepada Barat bukan sahaja melibatkan gaya hidup rakyat mereka tetapi yang lebih kritikal adalah ia juga melibatkan kebergantungan terhadap ekonomi Eropah dan pengamalan dasar luar. Sebab itu Turki begitu beria-ia dengan cita-cita menjadi sebahagian dari Kesatuan Eropah (EU). Begitu juga dengan dasar Erdogan menyokong pemberontak Syria adalah selari dengan kehendak Barat. Sememangnya ada persamaan di antara protes Turki dengan ungkapan Arab Spring terutama sekali yang melibatkan Tunisia dan Mesir iaitu proses menukar rejim pemerintahan melalui revolusi atau kebangkitan rakyat.

Walaupun dinafikan oleh mereka yang terlibat dalam protes di Turki yang kononnya mereka membantah cara pemerintahan autokratik Erdogan, tetapi hakikatnya adalah sebahagian besar mereka yang terlibat dalam protes adalah dari pihak pembangkang seperti CHP. Pada ketika ini AKP pimpinan Erdogan adalah popular di kalangan rakyat Turki dan pilihan raya Presiden tahun hadapan umpamanya besar kemungkinan menjadi milik AKP. Sebab itu pembangkang menggunakan strategi protes rakyat yang sekurang-kurangnya dapat menghakis populariti Erdogan dan kedudukan beliau di arena antarabangsa.

Bukan menjadi rahsia lagi Erdogan cuba membawa Turki ke arah sebuah negara Islam tetapi berbeza seperti mana yang terdapat di beberapa negara Arab. Sedikit sebanyak Erdogan telah berjaya tetapi sentiasa mendapat tentangan kerana rakyat Turki amat biasa dengan gaya hidup sekular dan juga liberal. Tambahan pula sentiasa terdapat anasir luar yang tidak mahu melihat sebuah negara Islam di Eropah.

Kuku besi

Kesalahan perlu juga diletakan kepada pendekatan Erdogan kerana beliau cuba melaksanakan rancangan tersebut dengan begitu cepat dan di sini timbul persepsi pemerintahan ala kuku besi. Cara pemerintahan Erdogan adalah perintah dan belah iaitu menggunakan konsep sama ada rakyat Turki menerima cara pemerintahan beliau dan jika sebaliknya mereka yang menentang dianggap sebagai musuh.

Pemerintahan Erdogan boleh didefinisikan mempunyai sifat kuku besi bukan sahaja cara pendekatan keras menghadapi protes tetapi juga cara beliau berurusan dengan pembangkang. Pendekatan keras Erdogan perlu dilihat dari sudut sejarah pemerintahan Turki yang banyak dipengaruhi campur tangan tentera. Sebab itu Erdogan sedikit demi sedikit telah cuba mengendurkan pengaruh tentera dengan menghakis kuasa pemimpin tertinggi angkatan tentera.

Memang begitu ironi sekali jika Anwar dan Erdogan disifatkan mempunyai pertalian persahabatan yang rapat kerana pendekatan politik kedua-duanya agak bertentangan. Erdogan telah memenangi pilihanraya tiga penggal berturut dalam suasana pilihan raya yang telus dan adil dan ini diakui oleh masyarakat antarabangsa. Tetapi pendekatan Anwar menggunakan protes keputusan pilihan raya Malaysia sebagai asas perhimpunan haram adalah sinonim dengan apa yang dihadapi oleh Erdogan ketika ini.

Cuma yang berbeza adalah Erdogan menggunakan pendekatan yang keras menghadapi protes ala Anwar di Turki tetapi pihak berkuasa Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan bantahan tetapi mesti mengikut lunas undang-undang sedia ada. Mungkin ada sesetengah pihak beranggapan kerajaan Malaysia terlalu berlembut, tetapi perlu ditekankan tindakan keras ala Erdogan di Malaysia boleh membawa mudarat jika tidak dilakukan dengan betul dan itulah yang sebenarnya dihajati oleh penganjur perhimpunan.

Sememangnya Anwar patut mencari teladan dengan apa yang berlaku di Turki lebih-lebih lagi jika beliau menyifatkan mempunyai hubungan intim dengan Erdogan. Masalahnya adalah Anwar bertindak sebagaimana pembangkang Turki CHP yang menjadi dalang utama protes. Dalam setiap pilihan raya sukar bagi CHP untuk menewaskan AKP pimpinan Erdogan.

Cara terbaik CHP melunturkan pengaruh AKP adalah menggunakan rakyat untuk melakukan protes dan pemusnahan Taman Gezi dijadikan pemangkin untuk membakar semangat mereka yang terpengaruh. Sama juga di Malaysia protes terhadap keputusan pilihanraya dan SPR hanyalah digunakan sebagai penyebab untuk membakar sentimen supaya kestabilan dan kepercayaan terhadap kerajaan memerintah dapat di hakis sedikit demi sedikit.

Suasana politik dan cara hidup di antara Turki dan Malaysia adalah jauh berbeza walaupun kedua-duanya adalah negara Islam. Tidak salah Turki dijadikan idola sebagai negara Islam kerana kepimpinan Turki d bawah Erdogan mempunyai kewibawaan untuk menjadi perantara kemelut yang melanda negara Islam seperti Palestin dan Syria.

Tetapi timbul persoalan apabila Turki hendak dijadikan acuan kepad model negara Islam di Malaysia kerana Erdogan menghadapi banyak rintangan dalam usaha beliau membawa Turki ke arah yang lebih bersifat Islam kerana kesilapan pendekatan beliau. Perlu diungkit ketika Presiden Barack Obama membuat ucapan yang ditujukan khas kepada negara Islam pada tahun 2009, beliau secara spesifik merujuk Malaysia sebagai negara Islam moden dan progresif yang perlu dicontohi oleh negara lain dan Obama langsung tidak menyentuh Turki dalam hal ini.

Masalah yang di hadapi oleh Erdogan dinilai sebagai lebih kritikal berbanding pada mula tercetus protes rakyat Turki tiga minggu lepas. Ini adalah kerana protes tidak terhad di Instabul sahaja tetapi telah merebak ke bandar raya lain. Lebih memburukkan lagi keadaan adalah ia tidak bersangkut paut dengan politik tempatan sahaja tetapi ada kena mengena dengan pihak ketiga di luar Turki. Apabila rakyat Turki telah dipergunakan oleh pihak ketiga dari luar maka keadaan dijangka akan menjadi lebih sukar untuk Erdogan kerana hasrat pihak ketiga lazimnya tidak selari dengan hasrat dan kehendak rakyat Turki.

Erdogan dan AKP pada ketika ini masih mendapat sokongan padu dari rakyat Turki terutama sekali dari golongan kelas menengah kerana kemakmuran ekonomi yang dikecapi adalah dari hasil usaha Erdogan. Turki akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 2014 dan selepas itu Pilihan Raya Parlimen pada tahun 2015. Walaupun digambarkan protes berlaku secara berleluasa tetapi sebenarnya hanya jumlah kecil yang terlibat secara langsung. Media terutama sekali dari barat cuba memperbesarkan isu protes dengan harapan memberi gambaran buruk terhadap kerajaan Erdogan.

Mungkin Erdogan telah dicela oleh pemimpin antarabangsa lain tetapi aura beliau masih kukuh di kalangan majoriti rakyat Turki kerana sebahagian besar rakyat Turki mengetahui senario sebenar.

Anwar sebenarnya telah mengambil iktibar dengan apa yang telah melanda Turki dan Erdogan. Cuma masalahnya adalah pengajaran tersebut digunakan sebagai modus operandi perhimpunan haram 505 untuk mencapai cita-cita politik beliau. Paling penting bagi rakyat Malaysia adalah perlu menyedari bahawa setakat mana mereka boleh dipergunakan demi mencapai cita-cita politik pihak tertentu.

Kemakmuran ekonomi Turki bakal terbantut kerana protes berterusan. Pemimpin tertinggi mereka telah dicela oleh masyarakat antarabangsa. Peranan Turki dalam menyelesaikan isu antarabangsa seperti Palestin dan Syria semakin terhakis. Begitu juga dengan krisis dalaman pemberontak Kurdis, Erdogan dilihat telah kehilangan kelebihan.

Jika masih ada yang berpegang kepada kepercayaan perhimpunan haram 505 mampu menyelesaikan tuntutan mereka, maka tidak menghairankan Malaysia juga boleh menghadapi hari gelap seperti Turki. Menjadi harapan perhimpunan Padang Merbok adalah kali terakhir kerana medan untuk berhujah di Parlimen akan bermula Selasa ini dan gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

By: Azmi Hassan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik