Saturday, June 1, 2013

PERSOALAN RASISME PERLU DITANGANI SEGERA.

By: Hassan Ali.

Masalah perpaduan kaum di negara ini telah cuba ditangani oleh pihak Kerajaan melalui penubuhan badan khusus seperti Jabatan Perpaduan Negara dan berbagai agensi yang lain. Agensi-agensi ini merata hingga termasuk di peringkat pendidikan awal kanak-kanak melalui pendidikan pra sekolah.

Yang jelas bahawa permasalahan yang begitu berat dan begitu penting dalam konteks pembangunan Negara bangsa kelihatan diletakkan keseluruhannya kepada tanggungjawab kerajaan. Sementara badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dilihat tidak menunjukkan komitmen yang setanding dengan apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Kesan PRU ke 13 bagi setengah pihak dilihat sebagai setakat Barisan Nasional dapat terus menerajui Negara dan kesemua negeri kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Tetapi lebih daripada itu, kesan langsung bersifat negatif berterusan dimarakkan tanpa henti-hentinya berlaku dibeberapa segmen masyarakat. Sesetengahnya berlaku di dalam jabatan-jabatan rasmi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan.

Peristiwa seorang guru yang mengajar di salah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Gelang Patah patut dijadikan bahan renungan yang serius. Guru tersebut dilaporkan bukan sahaja mengeluarkan kata-kata membenci sesatu kaum dan menghasut pelajar-pelajar dan masyarakat sekolah supaya membenci institusi-insitusi dan selok belok pentadbiran negara malah mengecilkan usaha pembentukan Negara Bangsa Malaysia. Tindakan guru tersebut sangat-sangat mendukacitakan kita semua dan pihak-pihak yang berwajib perlu menanganinya secara decisive.

Barangkali insiden yang berlaku di Gelang Patah boleh dikaitkan dengan epicenter baru yang dipilih oleh sebuah particauvinis cina untuk mengapi-apikan racism di kalangan rakyat. Ahli Parlimen yang baru di Gelang Patah yang terkenal dengan sikap rasis melampau mungkin merancang untuk menanamkan bibit-bibit kebencian antara kaum dengan menjadikan negeri Johor sebagai negeri yang mempunyai rupa penduduk yang boleh menerima fahaman racism ini.

JATI diberitahu bahawa sentimen racism yang semakin membarah dikatakan bukan sahaja berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah sahaja malah sudah mula berakar umbi di sekolah-sekolah lain termasuk maktab-maktab dan pusat pengajian tinggi hampir merata ke seluruh negeri Johor.

Kita diberitahu bahawa pihak polis telah mengambil tindakan yang sewajarnya berikutan dengan laporan yang dibuat oleh ibu bapa pelajar di sekolah yang terlibat. Tindakan segera yang diambil oleh polis sepatutnya diberi pujian.

Namun kadang-kadang timbul kesangsian di pemikiran rakyat berdasarkan insiden-insiden yang lalu dalam mana insiden-insiden sedemikian ditangani tanpa penghujungnya. Berikutan dengan itu tindakan yang diambil dilihat seolah-olah atas sebab-sebab yang sukar dimengertikan tindakan tegas yang diharapkan selalunya tidak menjadi kenyataan.

JATI difahamkan bahawa insiden yang telah dilakukan berulang kali sebelum ini tidak mendapat reaksi dan respons yang sewajarnya daripada pihak sekolah dan jabatan pelajaran yang berkenaan. JATI berpandangan sudah sampailah masanya semua pihak perlu menangani permasalahan seperti ini dari akar umbinya.

Pihak Jabatan Pelajaran dan Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian yang serius terhadap isu ini dan perlu segera mengambil tindakan yang tegas terhadap guru berkenaan supaya menjadi teladan kepada yang lain. Mungkin juga wajar dipertimbangkan untuk menubuhkan satu pasukan khas di Kementerian Pendidikan yang bertujuan khusus untuk menerima aduan, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap insiden-insiden seperti ini termasuk disekolah-sekolah vernakular.

JATI juga ingin menyerukan kepada seluruh ibubapa dan pelajar-pelajar sekolah disemua peringkat agar sentiasa peka terhadap isu seperti ini dan perlu segera tampil membuat aduan kepada pihak berwajib termasuk pihak polis agar peristiwa seperti ini dapat ditangani dengan sewajarnya.

Daripada maklumat yang dikumpulkan oleh JATI adalah didapati bahawa fenomena yang menyentuh langsung tubuh kenegaraan Malaysia sedang dimamah anai-anai racism yang memungkinkan lumpuhnya tubuh kenegaraan itu.

Rasanya kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencari bukti-bukti. Bukti-bukti yang ada jika disusur galur dari sejak dahulu hingga ke saat PRU ke 13 dan pasca PRU ini jika dikumpul dan dianalisa sudah tentu dapat menemukan beberapa dapatan yang begitu mencemaskan.

Apa yang dipaparkan oleh “Red Bean Army” sejak 6 tahun lalu yang dikatakan melibatkan 200 tentera siber DAP melalui blog-blog popular memilih maudhu harian mereka menyentuh persoalan hubungan ras di negara ini.

Sebahagian daripada kita yang biasa melayari blog, facebook dan twitter dan berbagai rangkaian dunia siber akan bersetuju mengatakan bahawa apa yang berlaku selama ini seolah-olah pihak yang berkuasa tidak mempunyai taring dan seolah-olah tidak dapat melakukan sesuatu hingga terpaksa membiarkan keadaan menjadi semakin parah.

Sampailah masanya pihak-pihak yang berwajib mengambil satu tindakan yang segera, definitive dan decisive. Mungkin agensi-agensi yang berkaitan perlu dijenamasemula di samping memasukkan konten-konten yang bukan sahaja bersifat mencegah tetapi berbekal kepada peristiwa di Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah, melakarkan tindakan tegas yang bersesuaian.

Majoriti rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian ingin melihat dengan Menteri Dalam Negeri yang baru dan pimpinan birokrat yang baru di Kementerian Pendidikan dan semangat Tranformasi yang terus dinyalakan sesuatu yang lebih meyakinkan dapat ditunjukkan kepada rakyat.

JATI atas sifatnya sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan sentiasa membuka jendelanya untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menangani masalah ini. Selama ini JATI dan teman-teman NGO yang lain atas beberapa sebab terpaksa melihat fenomena ini daripada jauh. Tetapi atas kasihnya kepada negara dan sayangnya kepada negara bangsa yang ditunjangi oleh Islam, JATI komited untuk berada di gelanggang gerak kerja utama bagi bersama-sama mencari penyelesaian kepada masalah kritikal yang sama sekali tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

JATI juga ingin menyerukan disebabkan permasalahan ini bersifat multi dimensi dan memerlukan pendekatan yang berbagaian maka untuk menggerakkan lokomotif kesejahteraan Negara ini pimpinan eksekutif tertinggi negara harus tampil kehadapan. Mereka perlu menggerakkan enjin perlaksanaan dengan menghimpun para ilmuan, agamawan, karyawan, masyarakat professional untuk bersama-sama memenuhi “bandwagon” kesejahteraan ini.

Sekali lagi ingin ditegaskan seandainya manifestasi racism yang dilakukan oleh seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah tersebut terus disapu dan disimpan dibawah permaidani, JATI mempunyai sebab untuk terus rungsing, risau dan akhirnya hilang harap sekiranya teknik “sweeping under the carpet” sekali lagi diamalkan.

JATI sentiasa mendoakan kesejahteraan Negara tercinta ini. Tetapi menyedari hakikat bahawa doa semata-mata tidak cukup untuk mengubah keadaan. Maka kepada mereka yang berada dipuncak kuasa dengan berbagai instrumen yang ada ditangan sudah tentu dapat mengembalikan semangat yang hampir hilang untuk melihat satu azam, pendekatan dan tindakan yang baru dapat dirangkakan dalam masa terdekat. Rakyat sedang memerhatikan dan apa juga pendekatan yang diambil memberi isyarat kepada kemampuan dan keupayaan sebuah kerajaan yang baru dipilih.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik