Malaysia terbentuk dari negeri-negeri nau-ngan Sultan Melayu dan taklukan perdagangan serta kepentingan kerajaan British di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Negara ini bermula dengan pembentukan negara etno identiti dan semangat nasionalisme etnik. Dalam menolak Malayan Union, orang Melayu mahu membina negara Melayunya.

Ada di kalangan Melayu ini mahu menubuhkan negara Islam. Manakala pergerakan radikal Melayu-Cina pula mahu membina sebuah negara berbangsa Melayu melalui Perlembagaan Rakyat mereka.

Namun, ini adalah helah Parti Komunis Malaya untuk merampas kuasa negara ini melalui strategi dua tahap revolusi.

Mula-mula bekerjasama dengan kumpulan radikal-liberal Melayu dan setelah terbina pemerintahan rampasan kuasa untuk mengkomuniskan negara dilakukan.

Ini arahan Pergerakan Komunis Antarabangsa. Ia nyata dilaksana selepas Perang Dunia Kedua melalui keganasan bintang tiga.

Tekad mahu menyamaratakan kerakyatan, menjadikan bahasa Mandarin bahasa rasmi negara dan mengekalkan pendidikan pelbagai bahasa ibunda hingga ke peringkat pengajian tinggi masih tebal di kalangan kepimpinan politik, pendidik dan pengurus sekolah Cina.

Aliran negara idaman ini bermula semenjak Laporan Barnes dibentang hingga ke hari ini.

Pergerakan ini dan kepimpinan mereka membuat tuntutan setiap kali pilihan raya dijalankan di negara ini. Pelbagai strategi politik diambil oleh mereka, dari mendesak, bergabung dengan parti politik pembangkang dan juga parti politik kerajaan.

Mereka boleh tukar rakan kerjasama asalkan matlamat di mana kepentingan masyarakat Cina diutamakan di atas segala-galanya tercapai.

Pergerakan pendidik yang bermain politik dan king-maker negara ini berasa dipinggirkan apabila idaman mereka tidak tercapai. Tiada agenda negara dalam perkiraan mereka. Tiada kepentingan rakyat dalam aspirasi mereka. Agenda yang ada adalah kepentingan Cina tafsiran mereka bukan rakyat negara ini.

Negara sudah berubah dari miskin ke kelas menengah, dari pertanian sara diri ke ekonomi komersial-industri dan dari perdesaan ke kehidupan bandar. Masyarakat pelbagai etnik telah merencam sosialnya hingga berubah dari mengutamakan perkiraan etnik masing-masing kepada menerima, berkongsi dan meraikan perbezaan yang wujud di antara mereka.

Malaysia sudah jadi Truly Asian di mana pelancong sedunia membanjiri. Malaysia untuk menjadi economic power-house di mana multi-nasional melabur dan buruh asing berbondong-bondong datang.

Kek negara membesar untuk dikecapi semua. Kestabilan dan kemajuan ini meletakkan Malaysia di tangga ke-20 negara damai dunia. Namun perlu sedar, kek negara dikuasai golongan kaya dan berkuasa hingga yang lemah dan tidak berkuasa menggigit jari.

Namun, sebelum PRU13, ada ahli-ahli politik dan parti-parti politik yang bertanding mengutuk institusi seperti SPR, PDRM, mahkamah dan jentera kerajaan kerana rasuah, jenayah, penyelewengan kuasa dan lembap.

Selepas PRU13 tiada laporan dibuat. Bantahan keputusan pilihan raya hanya tertumpu di beberapa kawasan dan tindakan ini diambil oleh kesemua parti bertanding. Menggugat legitimasi institusi negara merupakan mainan untuk meraih undi semata-mata. Democracy sudah didemocrazykan.

Mana tidak democrazynya, black-out diadaadakan dan disebar luas melalui cyber troopers, belum menang telah mengisytiharkan diri menang dan belum digazet keputusan PRU13, yang menang tanpa malu sudah angkat sumpah jawatan, bawa rakyat taksub politik ke demonstrasi jalanan dan menafikan keputusan rakyat. Nyata rakyat pelbagai etnik mahu perubahan tapi masih belum tiba era regime change.

Golongan kaya dan berkuasa juga perlu berwatak Bill Gates yang mengorbankan kekayaannya untuk melahirkan kesejahteraan hidup di dunia ini. Manakala king-maker politik pula perlu sedar, negara idaman dipegang sudah lama berlalu dan ketinggalan masa oleh rakyat pelbagai etnik yang alami kerencaman kehidupan sesama mereka .

Identiti bahasa, budaya dan agama sesuatu etnik ada tetapi pembangunan, modeniti, penghijrahan dan teknologi telah melahirkan rasa bersama sesama kita hingga ikatan ‘aku anak Malaysia’ mendarah daging dalam diri kita. Negara pelbagai etnik yang bermula dengan nasionalisme etnik telah bergerak ke arah menyulam dirinya dengan ciri negara sivik. Kepimpinan politik perlu berubah dengan perubahan dalam masyarakat kepelbagaian di

Malaysia dari perbatasan Perlis ke Sabah pada hari ini.

By: Mansor Mohd Noor.