Thursday, June 27, 2013

RAMAI YANG MULA RINDUKAN "ISA".

PADA zaman sebelum rakyat Malaysia kenal FB dan media sosial lain, media cetak seperti akhbar merupakan medium paling kuat pengaruhnya. Tidak dinafikan berita dari akhbar dilihat ada kesan pada jiwa rakyat. Contoh peristiwa Natrah di Singapura ada impak pada kebebasan media di republik itu.

Ketika zaman internet masih di dalam 'rahim ibu',  wartawan media cetak menganggap mereka juga sebahagian orang politik. Sebahagian kecil turut aktif dan bergerak seiring orang politik dalam kancah politik.

Maka tak hairan ada mempermodalkan profesion mereka bagi memastikan diterima pucuk pimpinan yang kemudian melantik mereka dalam Kabinet.

Sementara golongan kecil ini mempunyai peranan untuk dimainkan, ada sebahagian kecil dari wartawan memperjuangkan nasib rakyat.

Lazimnya mereka mahu melakukan sesuatu yang tidak diperjuangkan oleh orang politik. Sama ada mereka menulis artikel, berita serta sajak dan novel, mereka menyuntik fahaman mereka dalam pembentukan pemikiran rakyat.

Menyedari betapa bahayanya wartawan dan penulis yang kaya dengan idealisme, pihak pemerintah sering menggunakan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah kawalan. Justeru ramai di antara penulis ditahan dengan alasan mereka pro komunis ataupun memudaratkan keselamatan negara.

Hari ini, setidak-tidaknya dalam kerangka memperkatakan kebebasan berkarya dan berkumpul serta bersuara rasa takut ditangkap oleh pemerintah sudah tidak ada. Ini gara-gara langkah kerajaan yang dipimpin Najib Razak sebagai Perdana Menteri ke-6 memansuhkan ISA dan menggantikan satu undang-undang jauh lebih demokratik.

Akibat pemansuhan ISA kita dapati, terutama pembangkang mengeksploitasi hampir kesemua isu sehingga tidak ada lagi batas yang membezakan antara benar dan salah.

Sebagai contoh selepas PRU13, Anwar Ibrahim mengetuai roadshow demonstrasi 505 membantah keputusan itu. Konon bukan BN yang menang tapi PR dengan alasan mereka memperoleh undi popular jauh lebih dari BN.

Sedangkan bukannya Anwar tak faham amalan sistem diguna pakai di Malaysia iaitu First Past the Post.    

Selain Anwar, puak pembangkang juga sering berkonfrontasi dan melakukan provokasi dengan pihak polis. Zaman dulu tidak ada siapa berani menumbuk anggota polis, kini ia sudah jadi bahan berita.

Pelajar IPT dulunya menghabiskan masa di bilik kuliah bagi memastikan  keputusan peperiksaan cemerlang. Sekarang budak-budak Melayu dari menara gading memilih 'mengganas' di jalanan.

Banyak lagi amalan political gangsterisme berlaku dalam dunia politik Malaysia kalau mahu kita kupas satu persatu. Ini tentu tidak termasuk amalan fitnah serta rancangan RBA atau Red Bean Army pro DAP dalam memastikan pengundi menyokong parti itu.

Menghina agama lslam serta Rasulnya serta  Raja-raja Melayu seperti sudah lali di pihak pemerintah. Puak-puak ini semakin menjadi-jadi kerana mereka sedar mereka tidak akan ditahan di bawah ISA serta dikenakan tindakan tegas seperti yang berlaku di Thailand.

Bercakap mengenai ISA dan media, saya masih ingat bagaimana dalam tahun 1980-an lagi media Malaysia dicengkam oleh ISA. Maknanya wartawan terpaksa berhati-hati agar tidak direhatkan di Kamunting atas arahan Menteri Dalam Negeri.

Hari ini, menteri bertanggungjawab ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selepas pindaan undang-undang memansuhkan ISA, Zahid sudah tidak ada kuasa macam King Ghaz. Tentu saja Zahid tidak lagi digeruni.

 Bagaimanapun, Zahid nampaknya bijak guna apa juga kuasa yang ada padanya bagi mengambil tindakan agar pihak bertujuan menghuru-harakan negara demi kepentingan cita-cita politik peribadi mereka setidak-tidaknya mempunyai ruang terbatas dan menyedari betapa tangan-tangan undang-undang masih beroperasi aktif.

Walaupun tidak ada kuasa membatalkan permit surat khabar, ini tidak bermakna sesuatu tidak dapat dilakukan bagi mengekang fitnah dalam media sosial.  

Inilah menyebabkan ramai merindui ISA kerana adanya undang-undang seperti itu tiada media berani mengkritik menteri berkenaan berbanding sekarang.

Ketiadaan ISA dan kebebasan media internet yang melampaui batas,  bukan sekadar berita dan maklumat dispin, berita palsu direka untuk mengelirukan rakyat.

Nampaknya ketiadaan ISA bukan membantu menjadikan Malaysia stabil dari segi politik, tetapi kestabilan politik di Malaysia begitu merosot sebaik akta ini dimansuhkan.

Ia seolah-olah menghadiahkan kebebasan untuk anasir-anasir jahat dan kotor bermaharajalela di sebalik kebebasan, demokrasi, hak asasi manusia, dan keadilan menurut persepsi mereka.

By: Yusof Harun.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik