Sunday, June 23, 2013

REFORMASI LAHIRKAN ULTRA HIPOKRIT.

DALAM agenda reformasi yang didengungkan kepada khalayak sejak 15 tahun lalu, kebebasan bersuara adalah antara perkara yang selalu dipuja-puja. Ke mana sahaja kelompok reformasi ini pergi, kebebasan bersuara menjadi agenda utama mereka.

Tanpa berselindung, kebebasan bersuara malah dijadikan alat untuk memanipulasi suara rakyat agar membenci, melaknat serta seterusnya menjatuhkan penguasa yang mereka label sebagai zalim menyalahgunakan kuasa dan korup. Setelah waktu berlalu, apa yang kita saksikan suara reformasi itu tidak lebih hanya satu tipu helah.

Tujuan reformasi yang sepatutnya untuk kemaslahatan rakyat jauh menyimpang. Kebebasan berimbang yang sepatutnya terbentuk daripada reformasi itu tidak menjadi kenyataan malah hak rakyat lain dinafikan.

Kerana apa, kerana kelompok yang memperjuangkan reformasi itu hanya berpura-pura, dengan gerakan mereka penuh agenda tersirat dan tersembunyi. Kelompok ini mahu penguasa memberikan kebebasan yang tidak bernoktah, tiada sempadan dan tak pernah cukup-cukup tetapi apa pula yang mereka balas dan lakukan?

Kelompok ini bertegas mahukan kebebasan dan suara mereka dihormati. Tetapi pada masa sama mereka sama sekali tidak menghormati suara orang lain yang bertentangan dengan kehendak kelompok ini.

Inilah yang berlaku apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan tentang langkah kerajaan yang telah berjaya menurunkan harga 10 buah model kereta secara berperingkat bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Apa reaksi kelompok ultra hipokrit ini? Mereka bukan berterima kasih atau mengalu-alukan langkah tersebut. PKR, parti yang menjuarai promosi reformasi dan beria-ia dengan kempen turunkan harga kereta mengeluarkan kenyataan bahawa laporan itu adalah cubaan memperbodohkan rakyat. Begitu terdesaknya parti ini.

Dalam kenyataan rasmi itu, kecaman ditujukan kepada Utusan Malaysia, akhbar yang mereka sendiri boikot. Kalau sudah boikot mengapa pula mahu memberi reaksi?

Dan seperti orang kerasukan, mereka menggunakan sumber-sumber yang tidak rasmi untuk memperlekeh dan mengecam berita penurunan harga itu. Beberapa penulis reformasi yang dikenal sebagai pejuang kebebasan akhbar kemudiannya menggunakan justifikasi mereka sendiri untuk mengecam laporan akhbar itu. Hipokritnya mereka!.

Mereka tidak peduli soal laporan itu yang memetik sumber paling layak iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari. MAI ialah entiti di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang khusus untuk bertindak sebagai pusat tumpuan dan penyelarasan industri automotif tempatan.

Berani

Kecaman ultra hipokrit ini hanya berpandukan kononnya penafian daripada dua pengeluar Volkswagen dan Peugeot yang disiarkan menerusi facebook. Malangnya sehingga kini tiada penafian rasmi daripada kedua-dua pengeluar kereta itu.

Selang beberapa hari, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengakui tiga modelnya telah mengalami penurunan harga sebanyak RM2,000 seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Penurunan harga itu dilakukan melalui pelancaran model S-Series pada Mac lalu. Model S-Series itu turut membabitkan beberapa tambahan spesifikasi baharu serta pakej penyelenggaraan percuma selama tiga tahun yang dianggarkan bernilai RM4,500 hingga RM5,600.

Proton pula mengambil langkah lebih berani dengan melancarkan model mampu milik, Saga Super Value (Saga SV) yang berharga antara RM33,438 dan RM36,888 iaitu kira-kira RM5,000 lebih rendah berbanding model terdahulu.

Setakat kelmarin sebanyak 4,000 tempahan telah dibuat, mengatasi jangkaan Proton yang menganggarkan 2,000 buah. Pengeluar kereta lain dan juga kerajaan djangkakan bakal membuat kenyataan rasmi tentang langkah rasionalisasi harga kereta itu. Jadi, apa lagi yang mahu dikecam oleh kelompok ultra hipokrit ini?

Reformasi 1998 yang diubahsuai untuk kepentingan seorang individu benar-benar telah mencapai matlamat iaitu melahirkan golongan ultra hipokrit. Reformasi yang dikejar-kejar dan dibangga-banggakan itu tidak lebih hanya satu utopia, sesuatu yang palsu.

Begitu juga mereka berdegar-degar menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menipu tetapi mahu pula menghadiri majlis angkat sumpah Ahli Parlimen pada Isnin ini. Hingar-bingar jelajah perhimpunan haram ke pelosok negara sehingga kemuncak di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam tidak memberi sebarang makna.

Merekalah sebenarnya yang menipu rakyat. Merekalah yang memperbodohkan sebilangan orang yang hadir pada himpunan haram Black 505 termasuk semalam yang ternyata tiada sambutan.

Mereka cuba menciplak kebangkitan rakyat di negara lain sedangkan 13.3 juta pengundi telah membuat keputusan untuk tidak memilih kelompok mereka menerajui negara. Kelompok ini berlagak tidak mengiktiraf keputusan PRU-13, menyalahkan SPR dan menuntut perkara-perkara yang di luar kemampuan suruhanjaya itu tetapi mengiktiraf pula kemenangan yang berpihak kepada mereka.

Perbuatan mereka tidak selari dengan apa yang diucapkan. Mereka menolak keputusan PRU-13 tetapi di hati Ahli Parlimen pakatan pembangkang ini berkobar-kobar merayakan kemenangan sebagai wakil rakyat.

Sebenarnya sebelum pilihan raya kelompok ini sudah pun menyalak bahawa sistem pilihan raya negara tidak adil tetapi peliknya mereka bersaing malah sanggup bergaduh sesama sendiri untuk menjadi calon. Kempen mereka pula sungguh luar biasa, tiada bezanya dengan seteru yang mereka tuduh berat sebelah dan menyalahgunakan kuasa.

Malangnya hipokrasi terlampau ini akan terus kita saksikan yang kelak akan dipertontonkan di Dewan Rakyat pula. Tahniah, inilah hasil reformasi yang bertuankan kepentingan diri semata-mata.

By: Zulkefli Hamzah.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik