Thursday, June 20, 2013

RUMAH MAU MILIK JADI MAJAL.

SEORANG peserta dari Filipina dalam forum Projek Perumahan Mampu Milik Ke-4 di ibu negara baru-baru ini telah bangun bertanyakan soalan yang sebenarnya menjadi pertanyaan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau bertanyakan mengapa berlakunya masalah pemilikan rumah mampu milik di Malaysia, adakah perkara itu berpunca daripada kurang kesedaran mengenai pemilikan rumah, ketiadaan subsidi daripada kerajaan atau Malaysia tidak mempunyai syarikat pemaju yang mencukupi?

Sekiranya keadaan tersebut di Filipina, beliau cukup memahaminya kerana jurang golongan pendapatan rendah dengan golongan berpendapatan tinggi adalah amat besar, namun mengapa masalah itu berlaku di Malaysia yang mempunyai majoriti golongan berpendapatan sederhana?

Salah seorang yang berada di pentas forum berkenaan adalah Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Prof. Datuk Dr. Kamarul Salleh, yang dengan tenang mencatatkan pertanyaan peserta dari Filipina itu dan memberikan penjelasan.

"Masalah ini adalah berbalik kepada permintaan dan penawaran, semasa kegawatan ekonomi pada tahun 1997, banyak projek perumahan menghadapi masalah dan pemaju tidak berminat untuk melibatkan diri dalam projek perumahan secara besar-besaran.

"Sikap skeptikal pemaju ini berterusan tetapi dari tahun ke tahun, jumlah graduan universiti semakin bertambah dan sekarang ini, kita sedang melihat permintaan untuk rumah mampu milik adalah tiga kali ganda berbanding tahun 1997, masalah kini adalah bagaimana untuk memenuhi permintaan tinggi sedangkan penawaran begitu terhad?," katanya.

Beliau yang kemudian ditemui pemberita untuk penjelasan lanjut, memberitahu, masalah jurang besar antara penawaran dan permintaan rumah mampu milik melibatkan beberapa faktor lain sehingga menyebabkan harga pasaran rumah pada hari ini melambung begitu tinggi.

Antaranya, trend pasaran hartanah yang dipengaruhi dengan polisi membenarkan warga asing memiliki hartanah bernilai RM500,000 sehingga menyebabkan pemaju lebih yakin untuk membina rumah mewah yang sebelum ini hanya disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi di Malaysia.

Selain itu, kekurangan projek pembinaan rumah mampu milik secara besar-besaran juga berlaku kerana kenaikan harga bahan binaan sebagaimana yang dilihat semasa krisis kenaikan harga minyak dunia pada tahun 2008.

"Bagaimanapun, keadaan yang berlaku sekarang adalah tidak seimbang, kenaikan tahunan pendapatan rakyat Malaysia masih kecil tetapi harga rumah telah naik dengan begitu tinggi dan cukup dahsyat," katanya.

Masalah kenaikan mendadak harga rumah di negara ini begitu serius sehingga walaupun had pinjaman perumahan dinaikkan, golongan berpendapatan sederhana tetap tidak mampu memiliki hartanah itu.

"Rumah mampu milik seperti jenis teres dan pangsapuri sepatutnya berharga antara RM200,000 hingga RM350,000, tetapi melihat kepada pasaran sekarang, harganya sudah mencecah antara RM350,000 sehingga hampir RM500,000," katanya.

Penyelesaian bagi masalah itu telah dikemukakan oleh kerajaan menerusi akujanji untuk membina sejuta rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun. Komitmen tersebut diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin mengenai keperluan golongan berpendapatan sederhana.

Begitupun, persoalan timbul kerana harga pasaran rumah sering dipengaruhi kegiatan spekulator yang mempunyai kuasa kewangan untuk membeli sehingga lima unit rumah pada satu masa.

Golongan itu cukup licik untuk mengambil kesempatan disebalik ketidak seimbangan antara permintaan dan penawaran dalam pasaran hartanah perumahan untuk mengaut keuntungan mudah yang akhirnya menidakkan golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah impian.

Mengulas permasalahan itu, Kamarul menegaskan, masanya sudah tiba untuk kerajaan melaksanakan polisi bagi pembelian rumah mampu milik untuk melindungi pasaran hartanah berkenaan daripada tindakan spekulator.

Katanya, tindakan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sahaja tidak mencukupi kerana perkara itu juga memerlukan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri serta Pejabat Tanah di seluruh negara.

"Kementerian boleh mengawal lesen untuk proses pembinaan rumah tetapi selepas projek itu selesai, Kementerian tidak dapat mengawal kepada siapa rumah itu dijual dan pada harga berapa rumah itu dijual.

"Dalam hal ini, pihak yang sepatutnya mengawal keadaan adalah Pejabat Tanah yang terletak di bawah kuasa kerajaan-kerajaan negeri, sekiranya ada mekanisme kawalan dan syarat dikenakan, rumah-rumah itu dapat dihalang daripada dijual kepada spekulator," katanya.

Katanya, kerajaan perlu menetapkan kriteria tepat mengenai rumah mampu milik serta definisi golongan pembeli berpendapatan sederhana sebagaimana yang dilakukan dalam Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) disamping mewajibkan pembelinya untuk mendiami dalam tempoh tertentu.

Selain itu, institusi kewangan juga disarankan untuk memudahkan prosedur pinjaman bagi pembelian rumah mampu milik dan kempen kesedaran perlu digerakkan untuk menjadikan pembelian hartanah itu sebagai pelaburan masa depan yang terjamin.

Sementara itu, mengulas mengenai rancangan Kerajaan Pusat untuk membina sejuta unit rumah dalam tempoh lima tahun, beliau memuji langkah penyelesaian itu dan menegaskan kerjasama strategik perlu digerakkan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri untuk memenuhi sasaran tersebut.

Katanya, dengan sebanyak 200,000 unit rumah perlu dibina dalam tempoh setahun, gerak kerja perlu dimulakan dari sekarang dan beliau yakin Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta PR1MA dan SPNB akan bersama bagi menjayakan peranannya.

"Saya juga melihat trend di kalangan pemaju pun sudah berubah kerana mereka boleh nampak permintaan untuk pasaran rumah mampu milik ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang mapan.

"Permintaan pasaran tidak semestinya dipenuhi 100 peratus kerana pengurangan permintaan sebanyak 10 peratus pun akan banyak mempengaruhi harga rumah untuk turun dan stabil," katanya.

By: Kamil Maslih.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik