Tuesday, June 4, 2013

SEGALANYA MUNGKIN BERLAKU.

"KEPUTUSAN PRU-13 adalah kemenangan buat BN dan kekalahan buat pakatan pembangkang. Pas melalui Presidennya menyeru rakyat menerima kekalahan. Ini adalah takdir Allah," kata Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh turut menyifatkan janji-janji Anwar Ibrahim sekadar janji manis. Anwar berjanji untuk menawan Putrajaya. Ia tidak berlaku. Anwar boleh merancang tetapi ketentuan akhirnya ditentukan Allah. Apabila ketentuan Allah tidak diterima, ia suatu penyakit.

Penyakitnya ialah Anwar masih galak ingin melakukan demonstrasi di seluruh negara tanpa menerima ketentuan takdir. Dia mengajak rakyat melanggar peraturan dan undang-undang. Ini penyakit yang dihidapinya sekian lama.

Sebagai orang Islam dan pernah menjadi 'pejuang Islam' dalam ABIM, ketentuan takdir adalah milik Allah dan jangan dipaksakan menjadi ketentuan kita manusia.

Terimalah kekalahan dengan jiwa besar seperti yang disebut oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Kata Syukri, "Kita sebagai orang yang beragama, apa saja yang kita putuskan, pendekatan yang kita ambil mesti sesuai dengan tuntutan agama.

"Kita tidak boleh buat sesuatu mengikut nafsu, sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW, "Orang yang lemah itu adalah orang mengikut hawa nafsunya". Ini sebenarnya orang yang lemah. Oleh itu apabila kita hendak bertindak perlulah secara bijak, secara rasional dan tidak terkeluar daripada agama," katanya.

Budaya kebencian terhadap orang lain tanpa asas yang kukuh tidak harus jadi amalan di Malaysia. Jangan sampai penyakit yang menimpa banyak pihak menjadi wabak yang tidak boleh dibendung lagi.

Penyakit super ego yang merasakan diri semua betul dan orang lain semuanya salah adalah suatu penyakit yang tidak ada ubat melainkan seseorang menerima hakikat bahawa takdir Allah adalah penting. Kalau tidak ia menyalahi sunnatullah.

Penulis tidak pasti apakah agenda tersembunyi Anwar ialah tiga perkara yang menghantuinya seperti yang disebut oleh Ezam Mohd Noor, bekas orang kuat Anwar suatu ketika dulu yang mendorong Anwar terus mengumpul pengaruh dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda seolah-olah ada agenda tersirat bagi mengatasi masalah peribadinya.

Kata Ezam, kes liwat Anwar- Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dibicarakan semula tidak lama lagi, kes Kiram di Lahad Datu yang menghantuinya dan pendedahan bekas rakan karibnya Datuk S.Nallakarupan berhubung aktiviti seks beliau yang melibatkan banyak pihak juga merisaukannya.

Ia terkait juga dengan perjanjian yang dibuat oleh Anwar-Najib-Yusof Kalla disaksikan oleh Abdul Hamid Awalaudin bekas Menteri Pertahanan dan Hak Asasi Manusia Indonesia.

Kata Abdul Hamid yang menyaksikan perjanjian itu, "Sehari selepas kemenangan Najib, beliau tetap optimis perjanjian itu akan terus terpakai dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Tetapi Anwar memungkirinya. Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik".

Hakikat politik ialah Barisan Nasional menang dan pakatan pembangkang kalah. Hakikat politiknya ialah Anwar gagal menjadi Perdana Menteri seperti yang diidam-idamkan.

Ramainya orang hadir sewaktu berlaku kempen bukanlah bukti mutlak, bila ia diterjemahkan di peti undi. Yang akhirnya dikira dan ditentukan kemenangan ialah apa yang masuk di peti undi.

Begitu juga hasil kajian rambang yang dibuat bukanlah menunjukkan setiap responden pengundi dapat diteliti. Ia juga tidak boleh dijadikan ukuran mutlak akan kemenangan. Ia hanya mampu memperlihat gejala, bukan natijah akhir.

Lalu sikap tidak demokratik Anwar menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan isu dakwat, undi hantu, kehadiran 40,000 orang Bangladesh sebagai pengundi. Orang yang rasional bertanya mana buktinya.

Sepatutnya bukti itu diadukan di balai polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

Pas nampaknya sudah mula menyuarakan tidak bersetuju dengan Anwar Spring atau usaha menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik. Ini menunjukkan dalam tempoh lima tahun akan datang, apa-apa boleh berlaku antara Anwar dengan Pas.

Sumber: UMO.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik