Wednesday, June 26, 2013

SEMUA KITA DIKELILINGI PELANGGAN.

DALAM bicara ini, saya bermaksud memaparkan peminat bidang politik, termasuk pengikut dan pemimpin parti, sebagai pelanggan. Konsep pelanggan dalam konteks ini tidak melibatkan jual beli . 

Sesiapa yang akrab dengan kita ialah pelanggan kita.  Pelanggan begini dinamakan pelanggan dalaman (internal customers).

Konsep ini saya padankan dengan istilah pelanggan dalam buku Success, Happiness and Performance, karya Azman Taher. Menurut Azman, pelanggan dalaman boleh terdiri daripada anggota keluarga, kawan-kawan, ketua, orang bawahan dan sesama pekerja di satu-satu pejabat. Semua yang di atas itu menjadi pelanggan jika mereka  memberikan dorongan kepada pihak yang dilanggani untuk berjaya.

Azman mengatakan, our happiness could only be derived from satisfied and happy customers. Saya anggap kata-kata itu amat berilmu. Untuk memahaminya, kita tinjau pekeja di satu-satu jabatan. Kita ambil contoh penerbit buku dinamakan Penerbit KK (nama rekaan).

Jawatan-jawatan dalam Penerbit KK ialah editor, pelukis grafik, pegawai akaun, pegawai pemasaran dan lain-lain. Mereka seakan-akan bukan pelanggan, tetapi  ternyata satu pihak memerlukan pihak lain.

Keadaan saling memerlukan itu menyebabkan mereka saling berlanggan. Di bahagian produksi buku misalnya, sesiapa yang menjadi pelukis grafik, akan berurusan dengan editor. Penerbitan buku akan menjadi sempurna jika hubungan baik antara mereka sentiasa baik.

Editor ialah pelanggan pelukis grafik, demikian jugalah sebaliknya.

Hubungan sesama pelanggan dalaman adalah sama penting dengan hubungan pelanggan luaran, misalnya penulis, pembekal kertas, pencetak dan lain-lain.  

Layanan terhadap pelanggan luaran juga mestilah baik. Penulis menuntut agar buku diterbitkan pada masa yang dijanjikan, bentuk buku itu bagus, dan royaltinya memuaskan. Demikian jugalah pihak lain dalam urusan itu. Semuanya mengharapkan layanan yang sempurna.

 Pihak penerbit pula akan berusaha untuk memenuhi kehendak penulis. Harapan penerbit pula, buku dihasilkan oleh penulis diterima di pasaran. Oleh itu, buku tersebut hendaklah mempunyai daya tarikan dari segi persembahannya.

Demikianlah hubungan langganan antara penerbit dengan penulis.

Sekarang kita perhatikan pelanggan  dalam bidang politik. Azman Taher tidak menyentuh contoh ini. Konsep pelanggan dalam parti politik ternyata berbeza, walaupun asasnya sama.

Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir beri pandangan bahawa dua jawatan utama dalam Umno elok tidak ditandingkan. Beberapa orang muncul mengatakan pandangan demikian tidak demokratik.

Dr Mahathir juga sebenarnya pelanggan dalam politik Umno. Beliau berurusan dengan parti  tersebut, walaupun beliau bukan lagi presiden parti. Dalam politik, sesiapa pun (yang memberikan perhatian) ialah  pelanggan, dan masing-masing layak dihargai.

Suara pelanggan hendaklah dihargai, dan diperhatikan baik buruk nya. Pandangan Dr Mahathir adalah demokratik, kerana dalam demokrasi, sebarang pandangan dialu-alukan. Jika ada pandangan balas, pandangan itu juga dihargai.

Dalam politik, orang besar parti, ahli biasa, malah penyokong yang boleh diajak berhimpun, adalah pelanggan belaka. Cara menjaga hati orang-orang yang berhimpun amat difahami oleh penganjur perhimpunan.

Mereka mengatakan itu ialah perhimpunan rakyat atas kehendak rakyat, padahal itu ialah kehendak pihak penganjur. Demikianlah penganjur menjaga hati penyokong yang menjadi pelanggan.  

Dr Mahathir memberikan pandangan  untuk kebaikan Umno. Itu ialah sumbangannya selaku  pelanggan. Pada masa sama, orang-orang Umno ialah pelanggan Mahathir. Ahli-ahli Umno secara keseluruhannya eloklah saling berlanggan idea, dan akhirnya akan peroleh kesepakatan.  

Jika kita pernah mendengar bahawa pelanggan itu raja, kini kita hendaklah melangkah setapak lagi, “Semua yang berurusan dengan kita hendaklah dihargai.” Kita berhadapan dengan ‘ raja-raja’. Jangan berasa rendah diri, kerana kita juga raja bagi mereka, kerana kita juga pelanggan.

Orang politik tidak boleh sombong, ia boleh bawa kerugian besar. Orang politik berhadapan dengan pelanggan-pelanggan dalaman yang perlu dihormati.

Semua tokoh politik  melayani rakyat sebagai pelanggan. Itulah saranan  tersirat Azman Taher. Namun rakyat perlu sedar, dalam usaha politikus merapati mereka, dan mendapatkan sokongan mereka, hasutan dikemukakan seakan-akan realiti.

By: Rahman Shaari.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik