Sunday, June 16, 2013

TAAT SETIA PADA RAJA, NEGARA.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada rencana Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah yang disiar dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2013 yang ditulis oleh Zaini Hassan dalam kolum Cuit.

KPM berterima kasih di atas kepekaan penulis mengenai pentingnya pengetahuan berkaitan Perlembagaan Malaysia dalam usaha membina kerukunan hidup dan kebijaksanaan tindakan dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

Untuk pengetahuan ramai, KPM telah memasukkan asas Perlembagaan Malaysia secara khusus atau diterapkan dalam kurikulum persekolahan melalui mata pelajaran Sejarah serta mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kedua-dua mata pelajaran ini adalah mata pelajaran teras dan wajib dipelajari oleh semua murid. Mulai tahun 2013, mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi mata pelajaran Sejarah peringkat menengah rendah (Tingkatan Tiga), tajuk tersebut diletakkan di bawah tema lima (5) iaitu Pembentukan Malaysia. Contohnya di bawah tajuk Perjuangan Rakyat Ke Arah Kemerdekaan Tanah Air, setiap murid perlu mengetahui, memahami dan menghayati tentang Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Tajuk tersebut merangkumi konsep Raja Berperlembagaan dan Majlis Raja-Raja Melayu yang mana murid diajar menghormati dan mempertahankan institusi raja sebagai satu warisan negara.

Di samping itu, murid juga diajar tentang Perlembagaan Merdeka 1957 yang menyentuh konsep Raja Berperlembagaan. Tajuk tersebut merangkumi Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Manakala bagi kurikulum Sejarah menengah atas (Tingkatan 5), di bawah tema sebelas (11) iaitu Pembinaan Negara dan Bangsa ke arah Kemunculan Negara Malaysia yang Berdaulat turut menyentuh tentang perlembagaan. Di bawah tema ini terdapat dua tajuk besar yang perlu dipelajari oleh murid tentang perlembagaan iaitu (i) Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan (ii) Sistem Pemerintahan dan Pentadbiran Selepas Merdeka.

Di bawah tajuk Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948, murid diajar secara khusus tentang kandungan Perlembagaan Malayan Union dan kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menyentuh tentang raja-raja Melayu, Majlis Raja-Raja Melayu dan Raja Perlembagaan. Dengan mempelajari tajuk tersebut, murid dapat memahami kepentingan perlembagaan dan keistimewaan kedudukan raja-raja Melayu.

Di bawah tajuk Sistem Pemerintahan dan Pentadbiran Selepas Merdeka pula, murid diajar dan diberi pemahaman tentang ciri-ciri Demokrasi Berparlimen yang membincangkan tentang beberapa tajuk, antaranya Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan.

Melalui tajuk tersebut, murid dapat mempelajari tentang sejarah penggubalan perlembagaan, keluhuran perlembagaan, kepentingan perlembagaan, pindaan perlembagaan dan bidang kuasa serta peranan Yang di-Pertuan Agong. Dengan mempelajari tajuk tersebut, murid dapat memahami, menghayati dan menjunjung kedaulatan sistem pemerintahan negara.

Selain daripada mata pelajaran Sejarah, tajuk perlembagaan ini turut diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah rendah tahap dua dan sekolah menengah di bawah tema Malaysia Negaraku dan Malaysia Negara Berdaulat.

Di bawah tema Malaysia Negaraku Tahun 5, murid diajar mengenali dan menghormati pemimpin negara dan tempatan, dan didahului dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Murid dididik menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Murid seharusnya menunjukkan perasaan bangga dan taat setia kepada Raja dan Negara.

Di bawah tema Malaysia Negara Berdaulat pula dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan Dua terdapat tajuk Raja Berperlembagaan yang menyentuh tentang sistem Raja Berperlembagaan dan peranan Majlis Raja-Raja Melayu. Melalui tajuk tersebut, murid dididik untuk menunjukkan taat setia kepada Raja dan Negara.

Manakala bagi Tingkatan Empat pula, di bawah tajuk Kepentingan Perlembagaan Malaysia, murid belajar tentang sejarah pembentukan Perlembagaan Malaysia, kepentingan Perlembagaan Malaysia, Proses Penggubalan Perlembagaan Malaysia, menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara dan menyanjungi keluhuran Perlembagaan Malaysia.

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa tajuk Perlembagaan Malaysia diajar dalam mata pelajaran Sejarah dan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. KPM amat yakin bahawa setiap murid yang mengikuti tahun-tahun persekolahan di sekolah kebangsaan, dari peringkat rendah hingga menengah, diajar dan dididik dengan Perlembagaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Sumber : Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik