Wednesday, June 26, 2013

TSUNAMI DEMOKRASI MELAYU-ISLAM.

MINGGU lalu saya ke Johor Bahru menyampaikan ceramah sempena Mesyuarat Agong Tahunan  Dewan Perdagangan Islam Malaysia Johor (DPIMJ) bertajuk: “Jihad Bisnes dalam konteks Tsunami PRU13”. Mesyuarat Agong ini juga membabitkan pemilihan kepimpinan baru DPIMJ, menyaksikan pelantikan Saiful Anwar Mohd Aini selaku Pengerusi baru DPIMJ.  

Pembaharuan pucuk pimpinan DPIMJ kena pada masa dan tempatnya, selaras dengan iklim pembaharuan Malaysia selepas PRU13. Hakikatnya, jika diikut cara lama tanpa sebarang pembaharuan, Melayu-Islam akan dihanyutkan arus ke sana ke mari tanpa haluan; atau lebih buruk lagi, beku dan jumud, akhirnya lemas tenggelam dilanda perubahan.  

“Tsunami Cina”?

Keputusan PRU13 pernah disifatkan sebagai “Tsunami Cina” oleh Datuk Seri Najib, Perdana Menteri, juga Presiden Umno setelah nyata majoriti pengundi Cina, termasuk ahli parti komponen BN, tidak menyokong BN. Sebaliknya keputusan PRU13 memeranjatkan Umno setelah warga Cina di kawasan majoriti Cina hampir en bloc memberi undi mereka kepada Pakatan Rakyat (PR), terutama DAP.  

Tsunami ini, sekalipun segera dipanggil “Tsunami Malaysia” oleh pucuk pimpinan DAP untuk mengelak tuduhan perkauman ekstrem Cina hasutan DAP, jelas membuktikan polarisasi perkauman politik PRU13. Apa pun perbezaan label politiknya, ia tetap satu “tsunami”, bukan sahaja pada Umno, malahan juga bagi Melayu-Islam khasnya dan warga Malaysia amnya.

Lebih-lebih lagi di Johor, tamparan tsunami amat dirasai secara langsung di Gelang Patah. Tsunami Cina menamatkan tempoh laku politik “gentleman” Melayu Johor. Selain itu, politik sopan santun “Gaya Johor” anjuran Umno Johor semasa PRU13 hapus dikambus “gelombang Cina”. Slogan Umno Johor merayu undi Cina berlandaskan konsep “the Johor way” juga turut musnah ditenggelami ombak ganas “the Chinese wave!”

Banyak teori politik diketengahkan mengenai punca “tsunami”. Saya amat tertarik pandangan pemikir politik menyatakan tsunami berlaku kerana pegangan kuat orang Cina kepada budaya dan nilai hidup “tidak mahu kalah”, iaitu semangat kuat bangsa Cina mahu berada di pihak menang dalam apa jua situasi. Kebetulan, ramai orang Cina suka berjudi lalu mempertaruhkan undi mereka ke pihak PR atas andaian BN tewas dalam PRU13.

Bangsa Cina juga terkenal mengendalikan kehidupan berlandaskan strategi, terutama  berpandukan kaedah percaturan strategi perang. Perhatikan: Buku Seni Peperangan  (“Art of War”) tulisan Sun Tze lebih 5 ribu tahun dahulu, dan rangkaian “36 Strategi Cina” dipelajari dan sebati dibudayakan, menjadikan kedua-duanya antara panduan dan pegangan Cina untuk berjaya dalam menangani cabaran hidup.

Tindakan berstrategi Cina banyak memberi mereka kelebihan. Dengan strategi mapan  kedudukan minoriti tidak menghalang Cina berjaya dalam politik mahu pun bisnes. Saya pernah saksikan sendiri bagaimana ahli bisnes Cina, sekali pun gagal dan syarikatnya kerugian besar hingga terpaksa melepaskannya kepada JCorp; namun usahawan terbabit tetap menjadi jutawan setelah berjaya menjual bisnesnya dengan harga tinggi!

Kegigihan dan kebijaksanaan bisnes Cina seperti ini sangat wajar Melayu dan warga Malaysia lain contohi untuk berjaya mempercepatkan proses menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Tsunami Demokrasi!

Justeru, saya percaya ramai pengundi Cina nampak dan faham percaturan strategi sebenar politik DAP melancar “tsunami” PRU13 bertujuan memaksimumkan kekuatan politik warga Cina sekali pun minoriti.

Tambahan pula setelah Melayu-Islam berpecah; dengan mengguna strategi tsunami mudah sekali DAP mempengaruhi bukan saja Melayu anti-kerajaan dan pengundi Cina atas pagar, malah musuh politik tradisi mereka warga Cina ahli MCA dan Gerakan sekalipun.

Apa pun, pada saya PRU13 sebenarnya suatu “tsunami demokrasi” rakyat Malaysia yang wajar masyarakat Melayu-Islam manfaatkan untuk masa depan.

Tiba masanya pemerintah,  sekali pun tanpa majoriti dua-pertiga, dengan hikmah dan bijaksana gunakan kuasa yang ada membulatkan perpaduan Melayu-Islam tanpa melampau kepartian.

Kerajaan dan pemimpin juga wajib mengetepikan segala salah laku, kelemahan dan kesilapan lama membuatkan Melayu-Islam berpecah, termasuk keangkuhan kuasa, kerakusan, korupsi dan kroni.   

Tugas paling mencabar ialah mengembalikan perpaduan Melayu-Islam dan ini hanya dapat  dilakukan dengan keikhlasan dan kesungguhan mencari jalan merapatkan saf politik.

Ia juga mustahil dijayakan tanpa menegakkan amanah dan memperteguh pegangan Melayu Islam keseluruhannya kepada Tali ALLAH SWT berteraskan konsep Islam wasatiah Malaysia. Sesungguhnya, satu formula “Jihad Politik” Melayu-Islam inklusif wajib dicari dan diamalkan.

Dalam ceramah saya anjurkan Melayu-Islam juga belajar daripada sejarah perjuangan bangsa. Bangsa Melayu pernah diancam tsunami politik sejak zaman pra-merdeka lagi, iaitu sebelum Malaysia ditubuhkan.

Tanah Melayu ketika itu pernah diancam keganasan rampasan kuasa bersenjata pasukan Bintang Tiga, iaitu cabang tentera Parti Komunis Malaya, dengan tindakan kejam membunuh beberapa pegawai atasan kerajaan.

Namun ancaman ganas bersenjata ini dapat dipatahkan setelah rakyat Melayu-Islam kampung, khasnya di Parit Sulung, Batu Pahat, Johor dan Sungai Manik, Perak, bangkit beramai-ramai menentang keganasan komunis.

Sekali pun hanya bersenjatakan parang panjang menentang senjata api komunis, semangat jihad dan kepahlawanan luar biasa rakyat memeranjatkan pihak musuh, langsung menggagalkan rancangan tsunami politik jahat mereka.

Demikian juga kemudiannya, gerakan Malayan Union bertujuan mengetepikan langsung hak  Melayu di bawah lindungan raja-raja mereka; berjaya dipatahkan setelah bangsa Melayu  bangkit bersatu dengan suara lantang rakyat jelata menentangnya dengan keras.

Dalam  konteks politik hari ini, amalan demokrasi memberi peluang keemasan kepada Melayu-Islam menggembleng kuasa majoriti rakyat membela nasib masa depan.

Inilah yang saya maksudkan dengan “Tsunami Demokrasi” cetusan PRU13 yang wajib rakyat jelata Melayu-Islam manfaatkan dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Perhatikan: Kuasa  majoriti ini lebih penting dan tinggi nilai jangka panjangnya kepada bangsa Melayu berbanding Artikel 153, dan Artikel lain seumpamanya dalam Perlembagaan Malaysia. Kerana tanpa kuasa undi majoriti, keistimewaan tidak dapat dilindungi dalam apa situasi sekali pun.

Justeru Melayu-Islam wajib mempertahan dan memperjuangkan demokrasi Malaysia.  

Paling penting, sekali pun payah bersatu di bawah payung satu parti kerana jurang perbezaan politik terlalu luas, mereka wajib menggunakan kuasa undi serentak dan sehaluan, khasnya dalam memperjuangkan aspirasi politik asasi seperti berjaya dilakukan warga Cina Malaysia memaksimumkan kuasa politik mereka.


Lima agenda Tsunami Demokrasi

Kesimpulannya, Jihad Politik Melayu-Islam wajib dijadikan strategi utama tsunami demokrasi rakyat majoriti Malaysia.

Dalam bidang ekonomi, anjuran memboikot produk atau bisnes Cina tidak akan berkesan selagi pencapaian bisnes Melayu-Islam lemah dan dependent.

Fokus wajib ditumpukan kepada menjayakan Jihad Bisnes untuk memperkasa ekonomi hingga lebih ramai Melayu-Islam menjadi jutawan dan bilionair.

Saya juga menganjurkan peniaga Melayu belajar berniaga daripada orang Cina, menggunakan strategi dan kaedah bisnes mereka serta mencontohi kegigihan dan kesungguhan mereka, asalkan bersempadankan iman, akidah dan nilai hidup ajaran Islam. Jaringan Guang-Xi (atau “kongsi”) Cina boleh diciplak dan diserasikan nilai Islam, misalnya menerusi Waqaf Korporat dijadikan institusi korporat induk mendukung dan mempercambah bisnes Melayu-Islam.

Pada akhirnya, bisnes memerlukan dukungan politik mantap untuk berkembang, sampai ke peringkat antara bangsa. Untuk itu, saya menganjurkan Lima Agenda “Tsunami Demokrasi” berikut untuk Melayu-Islam mengatasi cabaran tsunami ekonomi-politik masa depan:-

-     Melayu-Islam memperkukuh/memperjuangkan Demokrasi Malaysia tanpa kompromi
-     Melayu-Islam mencari formula “Jihad Politik”, di samping menjayakan “Jihad Bisnes”
-     Saf organisasi Melayu-Islam dalam politik, kerajaan, NGO, bisnes, pentadbiran; juga GLC, koperasi, korporat, dirapatkan berlandaskan nilai Islam dan pegangan kepada Tali Allah   
-     Transformasi ekonomi negara dimurnikan, tanpa penswastaan dan liberalisasi  merosakkan, selain menolak keras keangkuhan kuasa, korupsi, kerakusan dan kroni
-     Menjadikan wakaf (terutama Wakaf Korporat) pemacu utama sistem ekonomi negara, menegakkan amanah, mengelakkan kebocoran hak milik dan melindungi kepentingan jangka panjang negara, terutama kepentingan ekonomi generasi mendatang.

By: Muhammad Ali Hashim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik