Wednesday, June 5, 2013

TUNAIKAN JANJI, JANGAN BUANG MASA.

By: Farush Khan.

Genap sebulan berlalunya PRU13 yang sangat sengit lagi menarik itu.

Yang menang sudah diisytiharkan menang dan yang kurang bernasib baik perlu terus berusaha dan berdoa jika masih berhajat tampil untuk berkhidmat kepada rakyat dan tanah air.

Yang penting, perancangan mesti berjalan, kerja mesti diteruskan dengan sebaiknya tanpa diganggu oleh sebarang agenda atau masalah sampingan.

Tidak kira BN atau PR, mana-mana pihak yang menguasai negeri dan kawasan, Parlimen atau Dun, wajib mencari jalan terbaik dan segera untuk YB-YB menunaikan janji yang sudah dibuat kepada rakyat yang telah membuat pilihan mereka dengan penuh harapan.

Mereka yang enggan menunaikan janji bukan sahaja akan menjawab kepada rakyat, bahkan lebih teruk, kepada Yang Maha Esa.

Menyentuh tentang masa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam perhimpunan bulanan pertama dengan pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri selepas PRU13 di Putrajaya, kelmarin, mengingatkan penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik secara berlebihan kerana ia menyebabkan masa terbuang.

Ini akan  jejas usaha kerajaan untuk terus melangkah ke hadapan dengan lancar dan berkesan.

Kerajaan juga, katanya, akan menumpukan perhatian kepada mekanisme menangani perang persepsi yang diwujudkan pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan, seperti tuduhan BN membawa masuk 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi pada PRU lepas, hingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan pengundi.

Apa pun, BN kena kerja keras jika ia mahu terus relevan dan menang pada PRU akan datang.

Secara kebetulan, dalam ucapan sulungnya di perhimpunan bulanan penjawat awam peringkat persekutuan dan negeri di Kangar, kelmarin, Menteri Besar Perlis, Azlan Man, seperti Najib, juga menyentuh tentang pengurusan masa.

Beliau nampaknya berusaha memperkenalkan perubahan untuk mengguna masa secara optimum di setiap majlis jabatan, dengan mengurangkan sebutan nama-nama ketua jabatan yang hadir. Beliau tidak mahu masa disia-siakan.

Beliau mahu mereka yang berucap menyebut nama pegawai paling kanan dan pengerusi majlis sahaja, untuk tidak buang masa.

Lebih daripada itu, beliau mahu mereka komited dan disiplin dalam menjalankan tugas yang diamanahkan rakyat.

Azlan menekankan tentang 'punctuality' (menepati masa) masuk kerja kerana jalan di Perlis (yang ada hampir 230,000 penduduk sahaja) tidak sesak dengan lalu-lintas.

Antara lain, beliau mahu mereka supaya tidak hadkan pergaulan dengan duduk bawah tempurung kerana ini hanya menghalang mereka meluaskan fikiran dan memandang jauh ke hadapan.

Sebenarnya, tiba ke tempat kerja awal atau tepat pada masa bukan satu masalah, walaupun di bandar-bandar yang padat dan sesak.

Apa yang perlu ialah pengurusan masa yang baik. Kalau sudah tahu sesak, keluarlah awal-awal untuk tidak lambat sampai ke tempat yang dituju.

Tinggal di negeri yang jalan rayanya tidak sesak pun - bukan Perlis sahaja - kalau sudah tabiat tidak menepati masa, lambat juga jawabnya.

Satu lagi; tiba tepat pada masanya pun tidak membantu kalau waktu yang ada diluangkan dengan aktiviti yang tidak memberi manfaat kepada jabatan, seperti menjual kain sesama rakan kerja, berbual kosong atau keluar ke kantin selepas lapor tugas.

Menepati masa adalah mata pelajaran yang pertama kita belajar di sekolah, tapi malangnya itulah yang menjadi masalah paling besar untuk ramai daripada kita menanganinya.

Terlanjur menyebut mengenai prestasi, ingin saya sebutkan saya percaya pegawai kerajaan sudah digalakkan bertukar fikiran antara satu dengan yang lain, tidak kira walaupun mereka daripada negeri yang diterajui parti apa pun.

Kalau sesebuah negeri itu baik dari satu aspek, contohnya pandai berjimat, negeri lain patut mempelajari ilmu itu kerana ia baik untuk jabatan, untuk negeri dan rakyat.

Harap-harap janganlah kerana perbezaan fahaman politik dan rasa malu berhadapan dengan realiti, rakyat yang merana kerana pentadbiran yang kurang berkesan.

Akhir kalam, dengan peperangan dan serangan yang berlaku sejak hari pertama keputusan PRU13 diumumkan 5 Mei lalu, tak berani saya ramalkan PRU14 akan berlangsung dengan mudah bagi pihak yang pertahankan kedudukan dan yang mengatur serangan.

Apa pun, yang terbaik hentikanlah politik melampau, tetapi kalau pun tidak boleh sebab ia sudah menjadi kebiasaan, maka pastikanlah ia tidak merugikan rakyat.

Biarlah gajah terus berlawan dengan gajah dari pagi sampai ke pagi, asalkan pelanduk dapat untungnya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik