Wednesday, June 26, 2013

UiTM LAMBANG MARUAH PENDIDIKAN, SURVIVAL MELAYU.

Umat Melayu yang sedar perlunya kewujudan UiTM sebagai maruah dan survival Melayu rasa tertampar dengan kenyataan yang dianggap cuba menebuk benteng kedaulatan institusi Melayu yang tersohor ini.

Perlu dinyatakan bahawa kovensyen ini diperkenalkan dan dikuatkuasakan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu pada 4 Januari 1969. Bermakna konvensyen ini dilaksanakan setelah lebih kurang 13 tahun UiTM ditubuhkan.

Sebenarnya kovensyen ini mengandungi tiga bahagian utama dan 25 artikel. Malah apabila menyorot kovensyen ini tiada salahnya UiTM khusus untuk Melayu dan Bumiputera. Bahagian 1, artikel 1-4 kovensyen ini, di antara lain menyatakan bahawa "Mengambil langkah khas untuk satu matlamat menjamin kemajuan mencukupi kumpulan-kumpulan tertentu yang bersifat perkauman atau etnik atau individu memerlukan perlindungan sedemikian yang dianggap perlu, supaya memastikan kumpulan-kumpulan atau individu-individu tertentu kegembiraan yang sama atau hak-hak latihan sumber manusia dan kebebasan asasi tidak akan dianggap diskriminasi kaum".

Seterusnya artikel ini menyatakan bahawa "bagaimanapun, bahawa tindakan sedemikian tidak sebagai satu akibat atau menjurus pengurusan hak berasingan untuk kumpulan kaum berbeza dan tindakan ini tidak akan diteruskan setelah objektif yang mereka tetapkan telah tercapai".

Lalu apabila penulis mengamati setiap butiran artikel kovensyen ini, terlintas pula bahawa di banyak negara di dunia yang menubuhkan universiti khususnya untuk satu-satu bangsa atau kaum, seperti khusus untuk kaum berkulit hitam, universiti khas untuk wanita dan sebagainya. Kenapa universiti begini tidak dianggap 'perkauman'?

Lantas terfikir pula oleh penulis kenapa perlu adanya sekolah aliran Cina dan India di Malaysia? Atau dianggap rasis mereka yang bersekolah Arab atau aliran Agama yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan Islam?

Persoalannya sekarang adalah UiTM sebagai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain atau menindas mereka. Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Sehingga kini, terdapat 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Penubuhan UiTM juga selaras dengan Dasar Ekonomi Baru yang berhasrat untuk mengimbangi dari segi ekuiti, professional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia .

Perlu diingat bahawa toleransi dalam institusi pendidikan yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum menyebabkan kaum Cina dan India memahami bahawa UiTM perlu diwujudkan untuk orang Melayu dan Bumiputera. Namun kontrak sosial ini sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Ini disebabkan perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sebelum usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Hal yang demikian menjadi benteng kepada negara daripada cubaan menganggu gugat kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Perkara yang ingin dipinda ini termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan ketua agama undang-undang Islam dan juga mahkamah syariah. Ia juga mencakupi hal ehwal berkaitan pewartaan kuota itu dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agung boleh memastikan rizab bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malah dalam mana-mana universiti seperti UiTM, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya, bilangan tempat ditawarkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon layak mendapat tempat itu.

Ia adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan arahan yang perlu kepada kerajaan bagi memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak seperti difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Apa motif sebenar kenyataan individu SUARAM berkenaan? Kenapa kenyataan sebegini dilemparkan sedangkan UiTM telah wujud sejak tahun 1956 lagi. UiTM telah melalui perkembangan yang amat pesat sejak mewarnai sektor pengajian tinggi dan terus mengembangkan sayapnya ke seluruh negara dengan mempunyai sebanyak 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit dan 21 buah kolej bersekutu, serta sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.

Dengan tenaga kerja seramai kira-kira 17,000 orang dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan lebih daripada 300 buah program akademik dalam suasana yang kondusif dan ceria. Ia juga merupakan rumah kedua bagi hampir 172,000 orang pelajar.

Memang tidak dinafikan bahawa UiTM sangat komited dalam membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat akademik yang tertinggi, juga dalam persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan. Wawasannya ialah untuk memupuk kesarjanaan dan membina kecemerlangan akademik, agar mampu memimpin dalam apa juga arena.

Walaupun masih muda berbanding universiti tempatan lain, UiTM memiliki reputasi sebagai salah sebuah universiti tempatan yang inovatif. Ia menjalinkan hubungan dengan pelbagai sektor industri yang menyuburkan lagi budaya penyelidikan dan inovasi serta keusahawanan dalam kalangan warganya.

Kini UiTM meneruskan usaha murni pemimpin dan pengasasnya terdahulu, meneroka dan menguasai pelbagai cabang ilmu untuk meraih gelaran universiti bertaraf dunia. Sudah sampai masanya UiTM mengebalkan pertahanannya sebagai institusi pendidikannya dengan bernaung di bawah lindungan Institusi Di Raja yang menjadi simbol kedaulatan Melayu dan Bumiputera.

Hakikatnya kewujudan UiTM amat rapat dengan tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya. Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu perlu dihayati.

Kita harap tiada lagi suara dan kenyataan sumbang yang hanya meningkatkan sentimen perkauman dan perpecahan sesama bangsa di Malaysia. Semangat toleransi dan kerjasama yang dinikmati selama ini merupakan resipi ke arah perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

By: Ismail Sulaiman.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik