Monday, June 24, 2013

UJUDKAN KEAHLIAN TERUS BN.

MINGGU lalu, saya diundang Parti Gerakan sebagai salah seorang ahli panel perbincangan tentang masa depan BN. Temanya ialah sama ada BN perlu menjadi sebuah parti tunggal atau kekal sebagai parti gabungan.

Saya menyokong cadangan BN sebagai parti tunggal. Tetapi dengan mengambil kira bahawa kebanyakan parti komponen seperti Umno tidak bersetuju, maka alternatifnya ialah mewujudkan Keahlian Terus- dalam- parti gabungan.

Idea Keahlian Terus pernah diutarakan sebaik selepas PRU12 (2008), tetapi, tidak mendapat sambutan. Kini, ia perlu dilaksanakan.

Dalam sistem yang sedia ada, seseorang yang ingin menjadi ahli BN perlu terlebih dahulu menjadi ahli salah sebuah parti komponen. Tetapi, dengan Keahlian Terus, seseorang boleh menjadi ahli BN tanpa menjadi ahli mana-mana parti komponen.

Antara keadaannya ialah: seseorang ahli parti komponen yang juga ingin menjadi Ahli Terus; seseorang ahli parti komponen yang ingin meninggalkan parti dan hanya menjadi Ahli Terus; ahli-ahli parti komponen yang dibubarkan; dan seseorang yang belum menjadi ahli mana-mana parti komponen.

Keahlian Terus menjadi mustahak kini kerana ia antara strategi utama BN dalam memperbaiki dan mempersiap diri dalam menghadapi PRU14.  

Pertama, sejak beberapa PRU lalu, majoriti orang muda menyokong PR. Di samping itu, PR dapat melahirkan dan menonjolkan lebih ramai pemimpin muda yang menyerlah.

Contohnya ialah dalam Dewan Rakyat pada hari ini. Antara masalah BN ialah orang muda mendapati sukar untuk mendapat tempat dan menyerlah dalam parti-parti komponen.

Sekiranya Keahlian Terus diwujudkan dengan sifat yang lebih terbuka, akomodatif, kurang birokrasi dan kekangan, mesra orang muda, membicarakan isu-isu orang muda dan menekankan pendidikan politik, maka ia berpotensi menggamit imaginasi golongan ini.

Kedua, kini semakin ramai orang muda yang lahir daripada perkahwinan campur. Mereka tidak dapat mengaku akan kaum atau etniknya. Di samping itu, gagasan 1Malaysia berjaya menyebabkan lebih ramai yang mengaku mereka adalah “pertama Malaysia dan kedua kaumnya”. Kajian membuktikan bahawa perkara ini adalah satu kenyataan.

Tetapi kebanyakan parti komponen BN adalah berasaskan- kaum, walaupun tidak bersifat perkauman dan kewujudannya selaras dengan tuntutan primordial. Ada di antara mereka yang ingin bersama BN, tetapi tidak selesa menjadi ahli parti komponen atau menganggap parti komponen berlawanan dengan sifat atau pendiriannya.

Keahlian Terus yang bersifat pelbagai kaum adalah jawapannya.

Ketiga, meskipun terdapat analisis PRU13 yang membangkitkan isu polarisasi, namun pada masa sama, sebenarnya politik kita semakin rabun warna.

Kesediaan orang Melayu di kampung mengibarkan bendera DAP, orang bukan Melayu mengibarkan bendera Pas dan Pas meletakkan calon bukan Islam adalah antara contohnya. Kini, DAP mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen daripada kaum India daripada MIC.

Di samping itu, semakin ramai rakyat, khususnya orang muda dan masyarakat sivil, telah menolak politik dan polisi yang berasaskan kaum dan menyokong prinsip-prinsip berasaskan keperluan. Keahlian Terus mampu menjadi saluran politik dan polisi yang berasaskan keperluan bagi BN.

 Dan keempat, prestasi parti-parti komponen yang bersifat pelbagai kaum tidak begitu menggalakkan. Dari satu segi, mereka lebih mewakili kaum tertentu. Manakala dari segi yang lain, mereka kalah teruk di PRU-PRU mutakhir.

Mereka wajar dibenarkan terus wujud dan memperbaiki diri. Tetapi pada masa yang sama, Keahlian Terus yang benar-benar bersifat pelbagai kaum adalah jawapan yang lebih segera.

BN tiada pilihan melainkan mewujudkan Keahlian Terus. Tetapi di samping perubahan organisasi ini, apa yang lebih penting ialah BN perlu melakukan perubahan budaya politik yang diamalkan, iaitu di peringkat parti dan kerajaan.

By: Saifuddin Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik