Sunday, June 16, 2013

UMNO PERLU PEMIKIRAN DILUAR KOTAK.

By: Abdul Razak Mamat.

BARU-BARU ini Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn melontarkan satu idea untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti tunggal bagi menghadapi cabaran politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan untuk PRU akan datang.

Matlamatnya adalah untuk mengajak ahli-ahli UMNO khususnya dan ahli-ahli parti komponen yang lain untuk berfikir di luar kotak. Sikap untuk berfikir di luar kotak ini adalah satu kemestian di dalam mendepani sesuatu keadaan yang bersifat dinamik. Bentuk pemikiran ini menuntut penganutnya agar mengetepikan andaian ceteris paribus di dalam membuat sesuatu analisis agar hipotesisnya menjadi lebih realistik.

Sebenarnya pemikiran di luar kotak ini telah wujud di waktu Singapura dilanggar todak. Pada pendapat saya, idea menggantikan betis manusia dengan batang pisang sebagai zon penampan lebih menjurus kepada kekuatan pemikiran yang berdasarkan kepada simple logic untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Bentuk pemikiran ini amat serupa dengan cerita di mana seorang budak perempuan mencadangkan agar dipancitkan tayar sebuah lori yang sarat dengan muatan bekalan makanan yang tersekat dek palang penghadang had ketinggian di sebuah jambatan.

Setelah dipancitkan tayarnya, lori tersebut dapat melepasi palang penghadang dan berjaya menghantar bekalan makanan pada penduduk yang berada di seberang sungai tersebut setelah dipam kembali tayarnya.

Begitu juga dengan kisah kejayaan Cirque du Soleil. Syarikat ini telah memberi satu penjenamaan yang baru kepada perniagaan sarkas. Kalau dahulu pertunjukan sarkas diadakan di tempat yang lapang serta berbau hamis dan busuk tetapi sekarang ini pertunjukan sarkas diadakan di Royal Albert Hall. Debaran kepada setiap aksinya dikencangkan dengan adunan kumpulan pemuzik orkestra yang mengiringi setiap lagak aksi mereka sehingga membuatkan penontonnya terpaku. Kisah kejayaan Cirque du Soleil ini menjadi satu bahan uji kaji di makmal sektor korporat di dalam usaha merangka visi dan misi serta strategi blue ocean. Strategi lautan biru ini juga telah meletakkan Samsung sebagai pesaing yang amat menyakitkan mata kepada Apple.

Kesemua contoh-contoh di atas sangat hebat pada pandangan penulis. Namun ia masih tidak sehebat cara pemikiran di luar kotak negarawan Malaysia yang bernama Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadapi krisis kewangan 1997/98. Sesungguhnya, beliau inilah sebenarnya anugerah Tuhan buat rakyat Malaysia. Semoga Allah SWT mengurniakan umur yang panjang kepada beliau.

Seperti pertanyaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, "Di manakah terletaknya kekuatan Laksamana Hang Tuah? Di kerisnyakah? (Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya). Begitu juga dengan kekuatan pemikiran di luar kotak Dr. Mahathir. Di mana letaknya kekuatan dan keaslian pemikiran beliau?

Jawapannya adalah pada elemen unpredictability. Musuhnya yang bernama Soros berkata kepada beliau 'to see you at six'. Maksudnya Soros akan menyerang Ringgit Malaysia sehingga ke paras RM6/1USD dan seterusnya meletakkan Malaysia pada tahap bankrap secara teknikal. Dr. Mahathir mengambil pemikiran di luar buku teks dan diterjemahkan dengan tindakan yang tidak terfikir langsung oleh Soros. Soros beranggapan bahawa apabila Ringgit Malaysia lemah maka Dr. Mahathir akan datang melutut kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Melalui IMF, Soros dan sekutunya akan berjaya meletakkan aset-aset berharga Malaysia pada fire sale. Setiap satu persatu langkah-langkah yang akan dipaksakan kepada Malaysia telah diketahui oleh Soros.

Kalau nak dibandingkan dengan bentuk pemikiran seorang bekas pelajar Stanford yang berlagak pandai ini, macam langit dengan bumi. Tidak mengapalah. Saya akan tulis mengenainya di dalam rencana yang akan datang.

Alhamdulillah, Ringgit Malaysia kini berada pada paras RM3/1USD (lebih kurang). Legasi ini ditinggalkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memudahkan usaha transformasi beliau untuk membawa Malaysia sebagai negara maju tahun 2020.

Berbalik kepada idea menjadikan BN sebagai parti tunggal, pemikiran di luar kotak perlu melihat sama ada telah berlaku perubahan fundamental secara mendadak.

Maksudnya, adakah sistem pemerintahan dan politik di Malaysia telah berubah daripada Raja Berperlembagaan kepada Republik? Demokrasi kepada sosialis/komunis? Atau sistem Khalifah? Atau perubahan yang berlaku bersifat dinamik iaitu perubahan cita rasa/nafsu sesetengah pengundi. Kedua-dua keadaan ini adalah sangat berbeza. Dan sudah tentu jalan penyelesaiannya berbeza. Penulis tidak berkata bahawa idea menjadikan BN parti tunggal sesuatu yang tidak baik. Cuma ingin mengajak kita agar dapat berfikir pada landasan yang sama.

Satu kebimbangan yang amat menggusarkan saya ialah idea ini akan menjuruskan kepada akibat dilution terutamanya buat UMNO. Mungkin para pengkritik akan mengatakan penulis seorang yang rasis namun kenyataan ini berasaskan kepada Perlembagaan Malaysia yang meletakkan kedudukan Melayu dan Islam sebagai teras.

Ini adalah sesuatu yang telah diinstitusikan. Ternyata UMNO adalah satu-satunya parti yang mempertahankan hak orang Melayu dan Islam tanpa mengetepikan hak kaum-kaum yang lain di bumi Malaysia ini.

UMNO telah menghulurkan tangan persahabatan kepada semua kaum dengan seikhlas-ikhlasnya. Lainlah kalau satu kawan ini sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi!

Baru-baru ini Najib menyatakan bahawa UMNO telah memenangi 88 kerusi yang hampir menyamai jumlah kerusi gabungan ketiga-tiga parti DAP, PKR dan Pas.

Adalah sesuatu yang tidak logik bilamana kekuatan UMNO hendak dirobohkan ketika parti komponen yang lain lemah. Mungkinkah idea untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal masih pada takuk Red Ocean?

Sebagai satu permulaan, adalah sesuatu yang menarik jika makmal BN atau UMNO meletakkan kes Megasteel dan Mycron sebagai salah satu bahan uji kaji.

Saya pasti banyak perkara yang boleh kita belajar daripada kedua-dua syarikat ini. Saya yakin satu perspektif akan dapat dilihat dan difahami dari aspek perpaduan nasional, keadilan sosial, pembahagian kek ekonomi hatta behavioral finance.

Walaupun sebenarnya mereka bersaing di dalam bidang perniagaan. Kita kaji aspek monopoli serta tingkah laku survival antara kedua-dua syarikat ini. Kita teropong bagaimana monopoli boleh wujud (jika benar) serta memahami bagaimana struktur industri besi/keluli memungkinkan kewujudan monopoli. Kita ambil Perwaja Steel dalam permutasi uji kaji makmal. Kita lihat bagaimana kesannya kepada kedudukan ketiga-tiga syarikat ini apabila kita minta jasa baik Datuk Seri S. Samy Vellu berbincang dengan Mittal untuk menjalin usahasama strategik. Saya ketengahkan perkara ini kerana Najib, insya-Allah, akan melaksanakan projek mega seperti perumahan rakyat 1Malaysia, MRT dan kereta api laju KL-Singapura.

Najibnomics akan melihat suntikan perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran ke dalam ekonomi Malaysia. Sudah tentu kesan gandaannya diharap dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalaman Malaysia untuk mencapai status negara maju tahun 2020. Waima apa sekalipun bentuk pemikiran kita, kesannya mestilah membawa manfaat yang besar. Sehingga sekarang penulis masih ternanti-nanti pengumuman daripada pihak kerajaan untuk memperkasakan warga pengundi yang mengundi mereka. Harap-harap tidak lama lagilah!

Akhir kata, pemikiran di luar kotak yang mengajak penulis untuk melalui satu eksperimen bertujuan menjadikan BN satu parti tunggal agak radikal. Mungkin pandangan ini agak naïf memandangkan penulis bukan seorang politikus. Yang penulis nampak adalah menggantikan betis-betis (baca warlords) UMNO dengan kadar segera. Mereka ini telah menjadi liabiliti kepada parti.

Nilai jati diri kepada parti dan negara telah cair dan pudar. Tiada apa yang baharu tentang pandangan ini. Mereka inilah sebenarnya yang membuat rakyat meluat kepada UMNO.

Sama ada suka atau tidak, penulis kagum dengan gaya didikan pemimpin Pas kepada kesemua ahlinya sama ada di peringkat tertinggi, pertengahan mahupun ahli biasa.

Persoalannya, bagaimana sistem pendidikan parti Pas mampu menjadikan ahli-ahlinya patuh dan taat kepada pucuk pimpinan mereka. Indoktrinasi yang bagaimanakah perlu disemai agar siasah serta akhlak ahli UMNO kelihatan unggul di mata rakyat. Mungkinkah ini satu bentuk eksperimen makmal BN?

Mungkinkah dengan menjemput Pas untuk berkongsi pengalaman tarbiyah mereka akan mengorak langkah kepada perpaduan umat Melayu Islam? Tidak semua kemungkinan itu sesuatu yang mustahil.

Sangat menarik untuk kita renung bersama. Kita boleh bertanya kepada Doctor in the House.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik