Wednesday, June 26, 2013

USAH SALAHKAN SISTEM PENDIDIKAN.

TERIMA kasih kepada Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan Malaysia kerana pada pada 12 Jun lalu melalui ruangan ini menjelaskan secara teperinci sukatan pelajaran tentang Perlembagaan Malaysia yang diajar di sekolah dalam subjek Sejarah serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Oleh itu, jika ada remaja yang mempersendakan Raja, maka tidak timbul persoalan mengapa pendidikan Perlembagaan tidak didedahkan di bilik darjah. Jika ada pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong, maka tidak timbul isu mengapa asas Perlembagaan tidak diajar di sekolah.

Malah nilai-nilai berkaitan Perlembagaan Negara secara tidak langsung diterapkan dalam perbagai aktiviti sekolah seperti sambutan hari kebangsaan, kegiatan pasukan unit beruniform, nyanyian lagu kebangsaan, upacara menaikkan bendera dan sebagainya. Jadi mahu apa lagi? Tidak cukupkah ini semua?

Tidak wajar jika ada pelajar apabila ditanya dia tidak tahu tentang Raja Berperlembagaan, maka dituduh pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tidak berkesan. Mungkin pelajar ini terlupa dari segi fakta, tetapi pada asasnya dia faham Raja hendaklah dihormati.

Sebenarnya keberkesanan sesuatu proses pendidikan agak kompleks kerana banyak faktor yang mempengaruhi.

Apakah mungkin kita mencapai suatu tahap yang ideal sehingga semua pelajar berjaya dididik dengan begitu sempurna? Jika majoriti pelajar berjaya dididik dengan mencapai sebahagian besar objektif sesuatu pelajaran pun sudah cukup baik.

Singapura terkenal dengan pendidikan yang moden. Jika ada pemandunya memecut kenderaan di lebuh raya kita melebihi had laju, wajarkah dikatakan sistem pendidikannya tidak berkesan kerana gagal melahirkan rakyat yang menghormati undang-undang?

Amerika Syarikat terkenal dengan pendidikan bertaraf dunia, namun remajanya menghadapi pelbagai masalah sosial sehingga ada menembak rakan sekelas. Bolehkah dikatakan pendidikannya tidak berkesan dan jangan hantar pelajar kita ke sana?

Oleh itu, pendidikan tentang Perlembagaan yang didakwa kurang dihayati pelajar tidak wajar dijadikan alasan sebagai helah untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

Bolehkah dinafikan hukuman mengedar dadah kerana di sekolah dulu dia tidak menerima pendidikan pencegahan dadah? Bolehkah dinafikan hukuman rogol kerana dia tidak menerima pendidikan agama yang sempurna? Jika kita berada di Thailand dan didakwa menghina Rajanya, bolehkah kita berkata, "Di Malaysia saya tidak diajar Perlembagaan Thailand."?

Ada pihak mendakwa pendidikan Perlembagaan kurang dihayati pelajar kerana pengajaran subjek Sejarah berorientasikan peperiksaan.

Maksudnya pengajaran guru berfokus kepada kaedah agar pelajar menjawab soalan dengan tepat dan lengkap. Sebenarnya keadaan ini mendorong pelajar berusaha mengingat, memahami dan mengaplikasi huraian sukatan pelajaran supaya menguasai kemahiran menjawab soalan.

Jika tiada ujian, pelajar kurang terangsang untuk belajar. Kita perlu melihat pendekatan peperiksaan dari sudut positif. Adakah dengan tiada peperiksaan, pelajaran akan lebih dijiwai pelajar? Sebab itu, ada cadangan menjadikan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus dalam usaha meningkatkan penguasaan pelajar.

Sebenarnya, tenaga pengajar kita terlatih dan profesional. Pentadbir sekolah, pegawai pelajaran di peringkat daerah dan negeri serta jemaah nazir membuat pemantauan untuk memastikan keberkesanan pengajaran guru dan pelajar menjiwai pendidikan Perlembagaan.

Tidak salah untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran subjek yang berkaitan pendidikan Perlembagaan. Yang salah jika kita bertolak-ansur dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak menghina institusi Raja.

By: Zin Markam.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik