Sunday, June 23, 2013

YANG ENAK, YANG JELIK DI JAKARTA.

SEMALAM Jakarta meraikan ulang tahun ke-486 penubuhannya. Seiring usia penubuhannya tentu sekali sejarah yang dicatat sepanjang hayatnya bukan sedikit. Jakarta punya 1001 cerita. Jika mahu dikongsi ia pasti mengambil masa bertahun untuk diperincikan.

Kepada rakyat Malaysia, Jakarta adalah pusat percutian yang paling mudah untuk dikunjungi kerana jarak yang sangat dekat iaitu hanya dua jam perjalanan menaiki kapal terbang.

Entah kenapa orang-orang Malaysia sangat gemar berkunjung ke kota ini. Yang menjalankan perniagaan merupakan segmen yang paling kerap bertandang ke Jakarta.

Golongan ini sama ada akan tinggal sehari dua atau ada juga yang memilih untuk pulang pada hari yang sama. Ambil pesawat awal pagi dari Kuala Lumpur ke Jakarta dan kembali semula ke tanah air melalui pesawat paling akhir. Mudah bukan?

Pemimpin-pemimpin politik juga antara golongan yang kerap sekali berkunjung ke Jakarta. Khabarnya, Anwar Ibrahim antara pemimpin politik yang sangat gemar berkunjung ke Jakarta.

Ada masanya kehadirannya ke sini langsung tidak dapat dikesan oleh media. Kebiasaannya orang politik yang ke sini akan mengambil kesempatan bertemu rakan-rakan seperjuangan di negara ini.

Ada masa tertentu mereka bermain golf, membeli-belah, makan nasi padang dan ada juga yang memiliki 'cawangan' di sini. Opps...

Kenapa Jakarta menjadi pilihan? Ramai yang bertanya penulis, apa istimewanya hidup di kota metropolitan yang memiliki kepadatan lebih 10 juta orang ini.

Jakarta sebetulnya salin tidak tumpah seperti Kuala Lumpur. Cuma yang membezakannya kepadatan penduduknya berlipat kali ganda dari Kuala Lumpur. Banyak hal yang menggembirakan ada di kota ini. Tidak kurang yang 'menyakitkan hati' juga pasti akan dilalui oleh mereka yang pernah berkunjung ke sini.

Yang menyakitkan tentu sekali aliran trafik di kota yang terlalu sesak. Untuk mengelak daripada terperangkap berjam-jam lamanya, maka sebilangan warga kota di sini memilih menghabiskan masa di pusat membeli-belah.

Bercerita mengenai pusat membeli-belah boleh membuatkan anda naik rimas kerana di mana-mana saja pasti ada tempat berbelanja.

Realitinya, pusat membeli-belah yang tumbuh bagai cendawan di Jakarta dijadikan sebagai tempat 'pelarian' bagi warga kota selepas selesai bekerja.

Jika memilih untuk pulang ke rumah selepas bekerja, ia sekadar mencari nahas kerana kesesakan trafik. Lebih baik menghabiskan masa di pusat membeli-belah dengan bertemu rakan-rakan, menikmati makan malam, menonton wayang atau hiburan lain.

Demikian cara orang Jakarta 'membunuh masa' sebelum pulang semula ke rumah untuk bersama-sama keluarga. Kebanyakan yang bekerja di Jakarta memilih untuk tinggal di luar kota itu kerana harga sewa rumah atau harga rumah untuk dibeli terlalu tinggi dan tidak mampu buat mereka.

Percaya atau tidak setiap hari bekerja pihak berkuasa menganggarkan 5.4 juta orang terpaksa berulang-alik dari luar Jakarta seperti Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.

Lalu bayangkan pula jumlah berkenaan dicampur pula dengan lebih 10 juta penduduk yang menetap di Jakarta. Tidakkah ini membuatkan kota itu padat?

Faktor ini menyebabkan pertumbuhan ekonominya berkembang sangat pesat. Permintaan untuk pelbagai jenis pasaran terbuka luas.

Kepesatan ekonomi juga menyebabkan Jakarta berada di kedudukan ke-17 di kalangan kota-kota lain di dunia yang pantas berkembang berdasarkan kajian yang dibuat oleh sebuah firma bebas yang berpusat di Washington, Brooking Institution.

Membicarakan mengenai Jakarta juga, suka untuk penulis menyenaraikan perkara-perkara yang enak dan yang jelik yang ditawarkan sepanjang pengalaman hidup penulis di sini. Semoga tulisan ini boleh memberikan anda idea untuk membuat keputusan kelak.

YANG ENAK DI JAKARTA…

l Makanan

Kepada yang suka makan, Jakarta adalah destinasi yang terbaik yang menawarkan pelbagai jenis masakan dari pelbagai suku kaum di negara ini. Baik makanan Sunda, Manado, Minang, Jawa dan sebagainya tersedia menanti. Bahkan, andai waktu tengah malam ada yang kelaparan anda juga boleh memilih untuk menikmati hidangan di warung-warung tepi jalan. Tetapi harus beringat, kepada yang merasakan perut mereka sensitif, jangan sesekali mencuba. Penulis sendiri kerap berhadapan dengan keracunan makanan kerana mencuba makan di situ.

l DVD cetak rompak

Jakarta ialah syurga bagi mereka yang gemar menonton filem antarabangsa. Tidak perlu berbelanja besar membeli cakera padat digital (DVD) yang asli kerana kualiti DVD cetak rompak sahaja sudah cukup berbaloi untuk dibeli dengan harga Rupiah 6,000 (RM1.80 sekeping). Bukan sekadar murah, bahkan filem-filem baru juga turut dijual berlambak-lambak.

l Produk palsu

Seperti mana DVD cetak rompak, barangan seperti beg tangan, kasut, jam tangan jenama antarabangsa versi palsu juga sangat mudah didapati. Berkunjung sahaja ke Mangga Dua, hati anda pasti terhibur.

l Pembantu rumah atau pekerja am

Inilah faktor yang membuatkan ramai orang Malaysia selesa menetap di sini sehingga ada kenalan yang sudah berpuluh tahun mencari rezeki di sini enggan pulang ke Malaysia. Di sini anda tidak perlu sulit memikirkan siapa yang boleh membantu anda memasak, menjaga anak, melakukan kerja-kerja pembaikan di rumah. Semuanya boleh diatur.

l Perkhidmatan kiriman

Jangan fikir hanya restoran makanan segera sahaja yang mempunyai perkhidmatan kiriman ke rumah. Sebaliknya, jika anda mahukan tukang urut yang bagus, makanan dari restoran atau sekalipun pakaian yang ditempah di butik, semuanya boleh dikirim ke pintu rumah anda. Pokoknya, sediakan sahaja wang.

YANG JELIK DI JAKARTA…

l Kesesakan trafik

Masalah kesesakan trafik berada di kedudukan pertama. Barangkali, tidak perlu diulas panjang mengenai isu ini. Semuanya sedia maklum.

l Pencemaran udara

Oleh kerana kenderaan terlalu banyak di kota ini ia sekali gus menyumbang kepada pencemaran udara yang sangat serius. Biasa-biasakan diri jika batuk atau demam kerana itu adalah lumrah bagi orang asing di sini.

l Demonstrasi

Kebebasan bersuara yang diamalkan di Indonesia menyebabkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap mengadakan tunjuk perasaan menentang apa sahaja dasar kerajaan. Kadang-kadang anda akan berhadapan dengan demonstrasi setiap hari. Kemunculan puak-puak ini sangat mudah membuatkan anda rimas.

l Pemandu 'gila'

Jangan sesekali terkejut jika ada kenderaan awam seperti bas mini metro, mikrolet atau Kopaja yang boleh menakutkan anda.

Cara mereka memandu sangat merbahaya dan boleh membawa kepada kemudaratan.

By: Saharudin Musthafa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik