Monday, July 8, 2013

AMBIL IKTIBAR, BUKAN BERGURUKAN CINA....

Rakan blogger Hj Ariffin mencadangkan supaya Melayu berguru dengan Cina jika mahu berjaya dalam politik. Katanya, banyak yang Umno dan Pas boleh pelajari daripada cara, ketegasan dan kesepakatan orang Cina dalam politik. Misalnya;

1. Menolak jawatan dalam kerajaan. Lihat bagaimana MCA dan Gerakan sepakat tidak mahu terima jawatan dalam kabinet jika parti mereka kalah teruk. Malah MCA sampai sanggup memecat ahlinya hanya kerana terima jawatan exco dalam DUN Johor.
2. Mempertahankan kepentingan bangsa, bahasa dan kebudayaan Cina. Lihat bagaimana MCA, Gerakan dan DAP walau pun tidak dalam kem yang sama, sepakat bangun mempertahankan sekolah vernakular SJKC.
3. Membantah Hudud. Lihat bagaimana DAP walau pun sama kem dengan Pas, menyokong bantahan MCA dan Gerakan terhadap cadangan mengHUDUDkan negara jika Pas berjaya menerajui Putrajaya.
4. Membantah penutupan Jonker’s Walk. MCA sungguh pun dalam satu kelambu dengan Umno senada dengan DAP, mengecam tindakan yang diambil oleh Ketua Menteri Melaka.

Nasihat saya sebelum mengulas lanjut, jangan pandang rendah pada kekuatan dan kebaikan bangsa sendiri. Terlalu banyak untuk dibicarakan. Cuba buat muhasabah dan rujuk sejarah, tentu ada jawapannya. Melekehkan bangsa diri sendiri bermakna memandang rendah diri sendiri.

Pada pendapat saya, isu yang dibangkitkan Hj Arifin, tidak berhenti setakat itu. Masih ingat lagi kita kempen-kempen PRU13? Bagaimana bukan Islam begitu berani menghina cuti umum pada hari jumaat, salon berasaskan jantina, larangan arak, zina dan judi dan sebagainya. Saya tidak pernah lupa penghinaan sebegini, hanya kerana mahu menyindir PAS.

Ini belum termasuk betapa beraninya peguam mereka menghina Islam di mahkamah. Lihatlah betapa bersatunya mereka menghalang Majlis Agama Islam dalam isu penentuan agama anak-anak jika ibu bapa memeluk Islam. Mereka tidak mahu sama sekali anak-anak tersebut diIslamkan.  

Boleh dikatakan semua Mufti bersependapat, Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntuk persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk tukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam tidak boleh dipertikaikan.

Keputusan Kabinet 2009 bahawa agama kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak tidak boleh diguna pakai kepada penganut Islam.  Menurut Mufti Selangor, dari segi hukum hadanah (penjagaan anak), anak bawah umur asalnya adalah di bawah penjagaan ibu. Namun, dalam isu berlainan agama, anak itu perlu mengikut agama ibu atau bapanya yang Islam. Misalnya, jika si bapa memeluk Islam, tetapi si ibu tidak, maka agama anak mereka yang di bawah umur akan mengikut si bapa. Perkara ini telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan dan dipersetujui Majlis Raja-Raja.

Mufti Perak menyatakan, Islam merupakan agama rasmi dan negara ini terikat dengan undang-undang Islam. Peruntukan menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam yang memerlukan persetujuan salah seorang ibu bapa sudah dipakai sejak sekian lama. Mengapa perkara ini dibangkit sekarang? Undang-undang itu dibuat berdasarkan undang-undang Islam dan tidak boleh dipertikai!

Amat malang lagi, bila ada pemimpin Umno yang berjawatan menteri tidak bersetuju dengan peruntukan yang memihak kepada Islam. Menteri ini jugalah yang turut memberi amaran kepada ketua pemimpin negeri Melaka (Umno) supaya mengkaji balik keputusan mahu menutup Jonker’s Walk.

Memetik kata-kata blogger itu lagi, kewujudan Jonker’s Walkitu tidak sedikit pun membawa kebaikan kepada orang Melayu Umno sendiri. Kebelakangan ini ramai pemimpin Umno (Menteri) sudah menjadikan orang Melayu sendiri naik meluat. Mereka kononnya mahu menjadi jaguh kepada kaum bukan Melayu tanpa menyelidiki fakta yang sebenar.

Faktanya bukan Jonker’s Walk yang ditutup, tetapi membuka laluan Jonker’s Walk kepada kenderaan, supaya tidak berlaku kesesakan bandar Melaka berpanjangan. Alasan ini amat kukuh. Bayangkan jika Jonker’s Walk itu milik Melayu. Apakah menteri itu akan tampil membela?

Ini tidak, pantang hak ultra kiasu disentuh. Heboh satu dunia bagi menunjukkan betapa mereka teraniaya dan kejamnya Umno.

Nasihat saya kepada orang Melayu Islam dan Umno, dalam memahami semua isu ini, perlu mengaji dan belajar dahulu, beberapa asas dan aspek agama Islam. Paling kurang, bacalah kitab fiqh awlawiyyat atau buku memahami keutamaan oleh Yusuf al-Qaradawi supaya tidak jadi jahil murakab.

Bukan apa, saya cukup bimbang dengan trend politik hari ini, kerana mahu sangat menjaga hati orang lain, hati sendiri terluka. Tidak ada siapa mahu mengubatnya. Akhirnya, luka tersebut menjadi semakin mendalam. Kebimbangan saya, luka mendalam itu tidak dapat disembuh dengan apa jua ubat selepas itu. 

Kesimpulan, tidak payah berguru dengan Cina untuk bersatu, bergurulah pada bangsa sendiri  berteraskan Islam. Saya pasti ada jawapannya. Nabi Muhammad SAW, tidak pula berguru kepada orang lain, walaupun buta huruf. Baginda hanya berpandukan kepada wahyu Allah. Hasilnya, Rasulullah dan umatnya menjadi orang hebat.

Hari ini, Nabi telah tinggalkan kepada kita wahyu Allah (al-Quran) dan sunnahnya. Rujuklah sepenuhnya. Saya yakin kita akan menjadi hebat. Ini tidak, hak sendiri yang begitu bermakna tidak dirujuk, tetapi terlalu obsess dengan orang lain.

By: Dr Ridhuan Tee.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik