Friday, July 5, 2013

APA AGENDA "MALAYSIA SPRING"?

PENGKHIANAT muncul dalam pelbagai wajah - dan punya sejarah yang panjang sejak zaman lampau. Raja Ali Haji dibunuh Belanda juga gara-gara khianat bangsa Melayu sendiri. Sejak zaman kolonial, Inggeris menggunakan kelemahan mengenai kesetiaan orang Melayu sebagai alat mencetuskan suasana tidak stabil dan seterusnya memerangkap Tanah Melayu.

Hari ini, pengkhianat muncul tidak lagi dengan wajah baruah Inggeris atau Barat dalam konteks peperangan. Pengkhianat negara bangsa yang merdeka ini, kini muncul dengan wajah kepimpinan politik.

Sejak 1998, kita melihat pengkhianatan orang Melayu di jalanan terhadap nilai kemerdekaan tanah air sendiri. Kemudian diperkudakan pula anak-anak muda Melayu untuk berarak dengan sikap dan sifat pengganas, merusuh di jalan-jalan sekitar ibu kota.

Sekali lagi, permainan politik ini adalah agenda tangan-tangan asing yang mempunyai agenda, dan tentunya menyedari orang Melayu mudah berkhianat, maka diupah dan disogok orang tertentu untuk menguasai negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam temu bual program Bicara TV Hijrah tidak lama dahulu pernah mengulas perkembangan semasa, terutama munculnya Gerakan Black 505 yang berusaha untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) melalui agenda jalan raya.

Dalam satu soalan, adakah benar akan wujudnya Malaysia Spring atau hanyalah satu propaganda semata-mata, Ahmad Zahid melihat, peristiwa yang dinamakan blackout 505 adalah sempena tarikh 5 Mei 2013 iaitu tarikh pilihan raya umum.

"Apabila berlaku cubaan memboikot proses demokrasi negara dengan menganjurkan bantahan ala Arab Spring yang dipanggil (Malaysia Spring), rakan-rakan saya di luar negara terutamanya di negara jiran, mereka tidak nampak ia seakan-akan ke arah itu.

"Lebih digelar sebagai Anwar Spring kerana Anwar Ibrahim yang merupakan pemain utama dalam "drama politik" ini dengan menyatakan ketidak puasan hati terhadap kewujudan kerajaan yang ada sekarang ini. Tidak mengiktiraf keputusan PRU-13 dan memberikan beberapa gambaran yang agak berbeza tentang proses pilihan raya serta punya matlamat tertentu bagi menentang demokrasi sedia ada. Apa yang jelas ia tidak berjaya dan kurang mendapat perhatian," kata beliau.

Kalau ada usaha untuk menyamakan politik di Mesir dengan Malaysia, kata Ahmad Zahid: "Apa yang berlaku dalam landskap politik di Malaysia dan di timur tengah amatlah berbeza. Kita lihat pemimpin-pemimpin di negara berkenaan merupakan pemimpin berada di tampuk kepimpinan dalam tempoh yang begitu lama.

Mantan Presiden Mubarak umpamanya, El Ali Zainal Abidin di Tunisia dan beberapa tokoh yang lain. Individu itu memegang tampuk pemerintahan lebih 20 tahun sehinggakan mencapai 30 tahun. Berbeza dengan apa yang berlaku Malaysia, biar pun kita di perintah oleh parti yang sama yang pada mulanya diterajui oleh Perikatan dan kini Barisan Nasional (BN).

Kita mempunyai enam Perdana Menteri yang berbeza, wadah kita tetap sama tetapi fikrah dan pendekatannya berbeza dan kita lihat keterbukaannya juga berbeza. Apa yang kita lihat dalam rancangan transformasi politik memperlihatkan pendekatan keterbukaan kerana manhajnya yang berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh yang terdahulu kerana kepimpinan itu berada dalam situasi yang berbeza dan tentulah Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut kesesuaian dengan situasi politik yang ada sekarang.

"Untuk menyamakan apa yang berlaku di antara kedua-dua situasi ini, amatlah tidak relevan," kata beliau.

Berhubung dengan masalah tangan ghaib di luar negara dalam mencampuri urusan politik negara, Ahmad Zahid menjawab, "Kita harus melihat singkapan sejarah apabila Syeikh Muhammad Abduh dari Mesir mempengaruhi kebangkitan nasionalisme di Malaysia. Dan kita lihat beberapa pengaruh daripada luar apabila Pak Sako juga meminjam semangat nasionalisme dan kebangkitan Islam ketika itu. Ini perkara luar.

"Tetapi yang tidak digambarkan dalam pengaruh luar ialah kita mengikut telunjuk asing. Kita memasang lilin sebagai tanda protes. Itu bukan budaya kita. Mereka mengadakan demonstrasi jalanan yang tidak bersesuaian dengan budaya kita. Mereka mengadakan pergaduhan antara demonstran dengan pihak polis walaupun pihak polis sering dituduh pihak yang mulakan provokasi.

"Tetapi saya fikir kalau kita mengikut garis panduan yang telah ditentukan dalam Akta Perhimpunan Aman sebagaimana yang telah mereka lakukan sekarang, tidak akan ada berlaku sebarang masalah. Dan pada saya apa pun kita mesti jadi pemimpin yang rasional sama ada kita di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang.

By: Zainal Rashid Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik