Saturday, July 27, 2013

APAKAH KERAJAAN TIDAK BERDAULAT?

Pada 19 Julai 2013, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong), dalam sidang akhbarnya di ibu negara, menolak keputusan Kementerian Pendidikan untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC. 

Peraturan baru yang melibatkan pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam itu, dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di SJKC. Persoalan saya, siapakah mereka? Adakah mereka ini kerajaan?

Isu ini telah dibawa berbincang sekian lama, kerajaan telah membuat keputusan, tetapi tidak pernah ada penyelesaikan kerana terus menerus ditentang oleh kumpulan ultra kiasu ini. Apa jua usaha kerajaan untuk penambahbaikan dan memartabatkan BM di SJKC dilihat menggugat bahasa Cina (BC). Akhirnya, kita pun mengalah.

Maka tidak hairan, kumpulan pendidik Cina mahukan Kementerian Pendidikan mengkaji semula peraturan baru mengenai waktu P&P BM dan BI di SJKC, yang akan bermula tahun depan.

Saya boleh bersetuju jika SJKC berada di negara China. Malangnya, SJKC berada di Malaysia. Suka atau tidak, SJKC mesti menjunjung perlembagaan negara. Selaku bapa kepada anak yang berada di SJKC, saya gembira dengan peraturan ini. Laksanakanlah.

Untuk makluman semua, di bawah peraturan baru ini, waktu pembelajaran BM akan meningkat daripada 80 minit seminggu kepada 270 minit seminggu, manakala bagi BI dari 120 minit kepada 150 minit dan Bahasa Mandarin dikekalkan pada 300 minit. Justeru, apa masalah?

Melihat kepada kedudukan BM dalam perlembagaan, ternyata arahan ini tidak memadai untuk mendaulatkan agenda negara. Sepatutnya ditambah lagi menjadi sekurang-kurangnya 500 minit seminggu. Ini kerana, kerajaan telah bermurah hati membenarkan SJKC beroperasi secina-cinanya. Takkan agenda nasional tidak boleh mengakar?     

Kumpulan ini bertegas, P&P BM selama 210 minit dan BI 210 minit sudah mencukupi. Mereka mahu segera bermesyuarat Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan perkara ini. Persoalan saya, jika kerajaan bersetuju, apakah mereka boleh memberi menjamin, selepas ini sebahagian besar produk SJKC akan dapat menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam BM dan lulus cemerlang? Jika tidak sekolah ini akan diserapkan ke dalam pendidikan kebangsaan? Kerajaan perlu tegas dalam hal ini.

Perkara ini tidak perlu dimesyuaratkan lagi. Laksanakan terus, jika masih berdegil, tutup sahaja sekolah tersebut atau serapkan dalam sekolah kebangsaan. Lagipun boleh dikatakan tidak ada seorang daripada kalangan mereka yang mengundi BN, walaupun kerajaan memberikan segala bentuk bantuan kepada SJKC termasuk juga Sekolah Persendirian Cina (SPC) yang tidak kaitan langsung.

Apakah mereka sengaja tidak sedar kesan daripada SJKC telah mengurangkan P&P dalam BM. Akibatnya, ramai anak Cina tidak boleh menulis, bertutur dan berkomunikasi dalam BM kerana agenda negara dikesampingkan. Mana ada negara di dunia yang mempraktikkan amalan sebegini. Kita semakin melahirkan ramai ultra kiasu, seperti Alvivi dan kumpulan yang menterbalikkan jalur gemilang.

Saya amat yakin, walaupun mereka tidak menjelaskan, bahawa bantahan mereka terhadap peraturan kerana ia akan menjejaskan PP bahasa Cina (BC). BM akan mengambil lebih masa, pelajar SJKC akan disusahkan untuk menghafal dan memahami BM, ini akan menjejaskan penguasaan mereka dalam BC.

Apa salahnya jika pelat (kurang pandai) sedikit dalam BC. Tetapi kita baik dalam BM selaku bahasa negara. Kenapa mahu jadi Cina secina-cinanya. Cina di negara Chinapun tidak secina Cina di Malaysia.

Pendek kata, apa jua penambahan subjek di SJKC yang boleh menggugat atau mengambil sedikit masa subjek BC tidak akan dipersetujui apa jua cara sekalipun.

Keputusan kerajaan ini selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Nasihat saya kepada Kementerian Pendidikan, jika kita terlalu bertegas kepada Sekolah Kebangsaan (SK), kenapa tidak SJKC.

Apa jua agenda kebangsaan terutama melibat BM mesti dilaksanakan tanpa perlu berbincang lagi. Jika Kumpulan Pendidik NGO ini tidak bersetuju, itu hak mereka. Usah dipedulikan. Hak bernegara mesti dilaksanakan. Agenda negara mesti diutamakan berbanding agenda bangsa atau kumpulan tertentu.

Kenapa SK boleh patuh dan laksanakan apa jua polisi kerajaan tetapi tidak SJKC? Melayu tetap patuh, tetap taat. Di manakah daulat sesebuah kerajaan itu jika semua keputusannya boleh ditolak mentah-mentah? Kerajaan menjadi berdaulat adalah apabila sesuatu keputusan dibuat demi kepentingan negara, ia mesti dilaksanakan, suka atau tidak. Jika tidak suka, carilah tempat yang kita suka, tetapi bukan di sini. Nasihat saya, jangan sampai kerajaan yang berdaulat, kelihatan sudah tidak ada daulat.

Justeru, beberapa saranan berikut hendaklah diambil kira demi masa depan negara tercinta. Pertama, laksanakan keputusan yang telah dibuat tanpa menoleh lagi. Keputusan baharu ini dikira amat bertoleransi.

Kedua, Tambah guru BM di SJKC, tanpa perlu patuh kepada syarat NGO ini supaya guru BM mesti mendapat kredit dalam SPM dalam BC.

Ketiga, laksanakan peraturan agar BM dipertuturkan setiap hari. Paling kurang, separuh hari daripada masa persekolahan.

Keempat, segala pengumuman waktu persekolahan dalam BC mesti diterjemahkan dalam BM. Paling baik, BM didahulukan, diikuti terjemahan dalam BC. Itu baru nama bahasa negara didaulatkan.

Kelima, aktiviti-aktiviti BM mesti diperbanyakkan. Misalnya, pertandingan bercerita, berdebat dan menulis karangan BM. Aktiviti ini mesti dilakukan sekerap mungkin. Sediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Saya yakin PIBG mereka mempunyai banyak wang untuk menyediakan hadiah ini.

Keenam, Mereka yang gagal BM mesti mengulang sehingga mereka lulus dalam subjek ini. Mereka tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam BM. Mereka hanya boleh naik darjah jika lulus BM. Untuk berlaku adil, polisi ini hendaklah juga dilaksanakan di SK. Saya yakin, jika dilaksanakan, keputusan dan perubahan akan berlaku.

Ketujuh, sediakan buku kerja kepada anak-anak ini supaya menambah perbendaharaan kata (vocabulary) mereka setiap hari. Setiap hari perkataan BM mereka mesti bertambah.

Kelapan, ketika waktu cuti sekolah, pelajar-pelajar ini mesti diberikan assignment seperti pergi melawat kampung-kampung Melayu. Pelajar Melayu di SK juga boleh pergi ke kampung-kampung Cina.

Kesembilan, ujian lisan hendaklah diadakan sebelum boleh dibenarkan untuk pergi ke kelas menengah. Perkara ini amat penting bagi memastikan mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar Melayu. Masalah yang timbul hari ini ialah apabila mereka tidak dapat berkomunikasi, berlaku inferioriti kompleks. Mereka sukar untuk bertutur dan seterusnya bergaul.

Kesepuluh, signage atau nama-nama, termasuk nama sekolah hendaklah meletakkan BM terlebih dahulu, diikuti dengan bahasa ibunda, dan BI jika perlu. Seperti amalan hari ini, BM hanya berada di tempat ketiga selepas BC dan BI, selepas itu baharulah BM.

Kesebelas, ibu bapa pelajar SJKC mesti membantu anak-anak mereka berkomunikasi dalam BM. Biasa-biasalah menonton dan mendengar saluran TV dan radio dalam BM, terutama siaran berita. Sosialisasi ini amat penting supaya pelajar tersebut tidak terasa asing dalam persekitaran Melayu. Jika saban hari mendengar membuka dan mendengar saluran Cina (Tamil) 24 jam, bagaimana sosialisasi ini boleh membantu.

Saya amat yakin, jika kita melaksanakan sebahagian daripada cadangan inipun sudah cukup untuk membantu anak-anak kita untuk memandaikan mereka dalam BM. Jika kita terus bermain tarik tali, sampai bila-bilapun negara ini akan terus bermasalah, sedangkan orang lain telah jauh meninggalkan kita. Kita pula tidak habis-habis membuang masa dan tenaga serta harta benda, memikirkan untuk menyelesaikan perkara yang sepatutnya telah selesai sekian lama, tanpa perlu dibicarakan lagi. Berdaulatkah kerajaan kita sebenarnya?

By: Dr. Ridhuan Tee.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik