Monday, July 1, 2013

BENARKAH SGENDA NEGARA DI SANJUNG?

Saya ingin mengulas tulisan Tan Zhong Yan dan laporan akhbar Cina mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukanlah punca masalah perpaduan di Malaysia. Malahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) amat diberikan penekanan di SJK. Kenyataan mereka sebagai respons kepada pendapat bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah, yang mahukan SJK diserapkan dalam pendidikan kebangsaan.

Persoalan saya, apakah benar BM didaulatkan di SJK? Pernah atau tidak, mereka melakukan kajian? Jika tidak, buatlah kajian. Baru sedap bercakap.

Antara perkara yang perlu dilihat adalah jumlah jam BM diajar dalam seminggu, keputusan peperiksaan BM, kebolehan bertutur dan berkomunikasi dalam BM dan program-program yang dijalankan untuk mendaulatkan BM.

Menurut mereka, masalah perpaduan antara kaum yang kini wujud di Malaysia ini bukan berpunca daripada sekolah vernakular tetapi disebabkan faktor lain. Antaranya adalah polisi negara ini. Katanya, walaupun sudah merdeka untuk 56 tahun, kerajaan yang diperintah oleh Barisan Nasional masih mengamalkan cara penjajah British iaitu pecah dan perintah.

Parti komponen utama BN seperti UMNO, MCA dan MIC hanya mempertahan dan berjuang untuk kaum yang diwakili masing-masing, seperti UMNO (Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India). Secara langsung atau tidak, memberi persepsi kepada rakyat bahawa jika menghadapi apa-apa masalah, rujuklah pemimpin kaum kita sendiri.

Akibatnya, kata mereka lagi, secara tidak langsung menyebabkan kita melahirkan perasaan tidak percaya terhadap kaum lain lalu mengakibatkan salah faham. Mereka beranggapan bahawa hanya orang Melayu akan menolong orang Melayu, orang Cina tolong orang Cina dan India tolong orang India. Inilah punca masalahnya yang mana kita akan melihat ketidaksamaan antara kaum dan kita akan melihat kaum lain sebagai entiti berbeza dan berasingan.

Naifnya ilmu mereka ini, mereka langsung tidak merujuk kepada parti-parti kaum di Sabah dan Sarawak, yang sama juga seperti UMNO, MCA dan MIC. Kenapa perpaduan dalam kalangan mereka begitu mantap? Tidak seperti kita di Semenanjung? Di mana silapnya?

Punca kedua menurut mereka lagi, adalah disebabkan oleh sesetengah pihak yang rasis dan tidak bertanggungjawab, seperti bekas hakim mahkamah rayuan itu, mengeluarkan kenyataan rasis, juga menjadi punca masalah perkauman dan perpaduan.

Pandangan sebegini, secara tidak langsung mengakibatkan kaum lain melahirkan kebencian bukan hanya terhadap individu tersebut tetapi juga kaum individu itu. Lebih-lebih lagi jika tiada tindakan undang-undang yang diambil ke atas individu ini dan pendakwaan selektif dilakukan ke atas individu-individu yang lain.

Lebih hipokrit katanya lagi, adalah apabila Perdana Menteri, memperkenalkan konsep 1Malaysia dan sedangkan slogan 1Malaysia panas dilaung-laungkan timbalannya, yang juga Menteri Pendidikan, mengatakan beliau merupakan Malay First, Malaysian Second. Jadi apa gunanya jika kita ingin menghapuskan sekolah vernakular bagi tujuan perpaduan tetapi pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan sendiri tidak mengerti maksud perpaduan?

Apa yang lebih teruk lagi apabila Perdana Menteri kita sendiri menyalahkan "tsunami Cina" bagi keputusan teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

Kumpulan ini juga berasa amat kesal apabila pemimpin-pemimpin negara kita sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang begitu tidak bertanggungjawab sehingga ada daripada mereka yang sanggup mengatakan ini adalah pengkhianatan sesetengah kaum.

Sambung mereka lagi, apa gunanya sekolah vernakular dihapuskan jika pemimpin negara kita sendiri tidak mengerti maksud perpaduan? Jadi, untuk mencapai perpaduan, apa yang kita perlu hapuskan sekarang bukanlah sekolah vernakular tetapi rasisme yang wujud di negara kita. Pemimpin-pemimpin negara kita haruslah menunjukkan contoh yang baik dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang rasis dan tidak bertanggungjawab.

Pihak polis dan Peguam Negara haruslah menjalankan tugas secara adil dan mengambil tindakan terhadap kesemua mereka yang tidak bertanggungjawab ini, tidak kira latar belakang mereka dan tidak melakukan pendakwaan selektif. Hanya apabila kita dapat melihat tidak ada perbezaan antara kita, maka hanya pada masa itulah kita akan mencapai perpaduan. Biarlah kita ingat bahawa kita semua tidak mengira kaum adalah anak Malaysia.

Saya tidak nafikan ada juga betulnya hujah ultra kiasu ini. Jika ada yang betul, ambil. Tetapi saya ingin membuka mata pembaca, inilah hujah yang selalu digunakan oleh majoriti ultra kiasu dan akhbar-akhbar Cina. Persoalan saya, kenapa BN sahaja yang disalahkan?

Parti ultra kiasu, DAP dan PKR tidak dilabelkan sebagai perkauman? Adakah DAP parti untuk orang Melayu? Jangan kerana ada seorang dua Melayu dalam DAP maka kita sudah boleh labelkan DAP parti bukan perkauman? Begitu juga dengan PKR, adakah Cina dan India yang berada di situ tidak memperjuangkan kaum masing-masing?

Adakah pemimpin DAP tidak berpegang kepada Chinese First, Malaysia Second? Begitu juga mereka dalam PKR. Apakah dengan sedikit bantuan kepada surau dan masjid dan beberapa individu Melayu di Pulau Pinang, sudah dapat membuktikan DAP berpegang kepada Malaysian First? Jangan menipu diri sendiri.

Misalnya, ketika pembukaan Sidang Parlimen 24 Jun 2013, apalah salahnya semua Ahli Parlimen memakai pakaian kebangsaan baju Melayu sebagai menghormati istiadat negara. Ini tidak, ultra kiasu tetap dengan caranya. Mereka lebih berbangga dengan pakaian Barat daripada pakaian kebangsaan.

Hina sangatkah berbaju Melayu? Tidakkah dengan berbaju Melayu kita mendekatkan lagi hubungan dengan penduduk majoriti? Kenapa begitu ultra kiasu? Kita tidak akan jadi Melayu sekadar berbaju Melayu.

Lihat betapa ultra kiasunya contoh yang seterusnya ini. Saya menerima sepucuk surat daripada guru Melayu yang mengajar di SMJKC di Bukit Mertajam yang mendapat anugerah Sekolah Kluster oleh Kementerian Pendidikan. Sekolah jenis ini yang mendapat bantuan mencurah-curah daripada kerajaan. Malangnya, sekolah Cina ini telah menjadi sarang ultra kiasu.

Antara aduan tersebut adalah:

l Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) tidak dikendalikan mengikut kehendak pekeliling kerajaan. Menonton persembahan Tahun Baru Cina dan menghadiri mesyuarat Agung PIBG dikira sebagai LDP

l Sambutan Merdeka dibuat sambil lewa sahaja. Ucapan pemimpin negara dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca sebagaimana amalan SK yang lain.

l Sambutan Hari guru amat menyedihkan, sekadar upacara memotong kek. Ucapan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca.

l Sambutan Tahun Baru Cina disambut dengan amat meriah sehingga sebulan berbanding dengan Hari Guru.

l Pakaian guru-guru SJK seperti pakaian penari dan penyanyi. Tidak mencerminkan etika keguruan dan pekeliling kerajaan. Tidak berlengan, belah sana sini, ketat, singkat sehingga nampak bahagian yang tersirat dan tersurat.

l Penggunaan dewan sekolah oleh pihak kerajaan seperti BB1M dan BR1M tidak disukai oleh pihak pentadbir sekolah.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, berdasarkan pengalaman, saya fikir banyak betulnya. Sudah terang lagi bersuluh agenda negara langsung tidak didaulatkan. Puak-puak ultra kiasu ini pandai mengatur strategi menggunakan hujah dan bukti, bagi mengaburi kita yang menunjukkan bahawa mereka tidak rasis. Ini memudahkan mereka menuding jari dan menuduh pemimpin kita dan orang Melayu rasis.

Jika ada pihak-pihak tertentu yang mahu rakyat menghayati sejarah dan agenda negara, mereka akan dituduh rasis. Sekolah perkauman atau vernakular tidak pula dianggap rasis. NGO Cina ada lebih kurang 8,000 buah juga tidak dianggap rasis. NGO yang berakhir dengan perkataan Zong tidak juga rasis. DAP pun tidak rasis. Bila orang Melayu tubuhkan NGO mempertahankan hak Melayu, semuanya rasis. Licik sungguh perancangan mereka.

Nasihat saya, jika tidak suka dengan keadaan rasis, carilah tempat lain yang tidak rasis.

By: Dr Ridhuan Tee.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik