Wednesday, July 3, 2013

BERTINDAKLAH SEBELUM TERLAMBAT.

Kenyataan bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu diserapkan dalam pendidikan kebangsaan, menjadi kontroversi. Salah seorang pemimpin MCA nampak berang dalam memberikan respons terhadap kenyataan tersebut.

MCA mengatakan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi negara memang disanjung dan dijunjung SJK. Ironinya, apakah beliau sedar atau tidak, kedudukan BM di SJK, Sekolah Menengah Jenin Kebangsaan (SMJK), Sekolah Persendirian Cina (SPC) dan universiti? Jangan membuat kenyataan sembarangan, memalukan.

Jika MCA menerima BM sebagai bahasa negara atau bahasa kebangsaan, lakukan kempen untuk memandaikan orang Cina bertutur BM. Jangan cakap sahaja. Buatlah kajian di SJKC berapa ramai yang gagal BM dalam peperiksaan dan berapa ramai yang langsung tidak tahu bertutur dalam BM. Dalam MCA sendiri, cuba lihat berapa ramai yang boleh menulis dan bertutur dalam BM dengan baik, seperti mana Cina yang berada di Indonesia dan Thailand.

Saya tidak nafikan BM diajar di SJK dan SMJK, tetapi berapa kali atau berapa jam dalam seminggu? Pergilah buat lawatan dan lihat jadual waktunya.
Bila kerajaan mahu menambahkan masa BM di SJK, ditentang dengan hebat oleh Dong Zong dan sekutunya.

Syarat masuk ke IPTA mesti mendapat kredit BM. Bermakna, pelajar Cina yang masuk IPTA adalah kalangan mereka yang mendapat kredit BM peringkat SPM. Tidak ada lagi BM diajar IPTA kecuali mereka yang mengkhusus dalam BM.

Kedudukan BM di IPTS pula menyedihkan. Tanpa kredit BM peringkat SPM pun, mereka diterima masuk. Kredit BM bukan bermakna pandai bertutur BM, kadangkala mereka hafal sahaja. Kajian oleh Banci 2010 menunjukkan ramai orang Cina tidak boleh membaca, menulis dan bertutur BM, terpaksa mencari penterjemah untuk mengisi borang banci.

Saya menerima sepucuk surat daripada guru Melayu yang mengajar di SMJKC di Pulau Pinang yang mendapat anugerah Sekolah Kluster. Sekolah jenis ini yang mendapat bantuan mencurah-curah daripada kerajaan, malangnya telah menjadi sarang ultra kiasu.

Antara aduan tersebut mendakwa:
• Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) tidak dikendalikan mengikut kehendak pekeliling kerajaan. Menonton persembahan Tahun Baru Cina dan menghadiri Mesyuarat Agung PIBG dikira sebagai LDP.
• Sambutan merdeka dibuat sambil lewa sahaja. Ucapan pemimpin negara dan KPM tidak dibaca sebagaimana amalan SK yang lain.
• Sambutan Hari Guru amat menyedihkan, sekadar upacara memotong kek. Ucapan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca.
• Sambutan Tahun Baru Cina disambut meriah berbanding Hari Guru.
• Pakaian guru-guru SJK tidak mencerminkan etika keguruan dan pekeliling kerajaan.
• Penggunaan dewan sekolah oleh pihak kerajaan seperti untuk pemberian BB1M dan BR1M, tidak disukai oleh pihak pentadbir sekolah.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, berdasarkan pengalaman, saya fikir banyak betulnya. Ini dibuktikan oleh seorang pelajar Melayu yang sedang melanjutkan ijazah sarjana di salah sebuah universiti di Taiwan mengeposkan pandangannya dalam blog saya, ridhuantee.blogspot.com, mengatakan:

“Sedih saya melihat kebanyakan warga Malaysia berbangsa Cina apabila bertemu mereka, sukar sekali mereka untuk berinteraksi dalam BM, tergagap-gagap akhirnya cakap dalam bahasa Inggeris. Kenapa orang Malaysia tetapi bertahun-tahun tinggal di Malaysia, cakap pun tak reti. Sedih melihat fenomena ini di Malaysia. Sampai bila masalah ini akan berterusan. Kesemua kawan saya dari Indonesia, yang berbangsa Cina fasih berbahasa Indonesia, sehinggakan saya tidak tahu yang dia berbangsa Cina. Malahan di Indonesia sendiri, bahasa Cina tidak diajar di sekolah kebangsaan cuma dapat dipelajari di kelas-kelas bahasa. Saya dapat lihat hubungan orang Indonesia ini sangat kuat tidak kira apa bangsa sekalipun. Rasanya, sudah sampai masanya kerajaan merombak perkara-perkara yang menjauhkan jurang antara kaum di Malaysia. PERLU kita utamakan kebolehan berbahasa Malaysia sebagai syarat utama untuk layak menjadi Malaysian. Saya dapat lihat jurang yang besar antara rakyat berbilang kaum di Malaysia, orang Cina cakap Cina, orang India cakap bahasa India. Kerajaan harus mencontohi kerajaan Indonesia, bersikap tegas."

Apa lagi bukti yang kita mahu? Semua sudah terang lagi bersuluh. Jika pihak Kementerian Pendidikan masih ragu-ragu, buat kajian dan audit yang menyeluruh ke atas SJK. Bertindaklah sebelum terlambat.

By: Ridhuan Tee.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik